Skip to main content

Singapura

Sekurang-kurangnya 6 mata demerit, denda S$200 jika pandu lebihi had kelajuan mulai 1 Januari 2026

Denda lebih berat bagi kesalahan memandu dengan laju akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Dendanya adalah dalam bentuk mata demerit dan jumlah kompaun yang lebih tinggi, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Rabu (28 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 6 mata demerit, denda S$200 jika pandu lebihi had kelajuan mulai 1 Januari 2026

Kenderaan di jalan raya di Kallang, Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 28 May 2025 05:05PM
SINGAPURA: Denda lebih berat bagi kesalahan memandu dengan laju akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Dendanya adalah dalam bentuk mata demerit dan jumlah kompaun yang lebih tinggi, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Rabu (28 Mei).

Seorang pemandu yang memandu melebihi had kelajuan kurang daripada atau sama dengan 20 kilometer sejam akan dikenakan enam mata demerit berbanding empat mulai Januari tahun depan.

Mereka juga akan didenda S$200 atau S$250 bergantung pada kenderaan yang dipandu.

Mereka yang memandu melebihi had kelajuan sebanyak 50 kilometer sejam atau lebih daripada itu akan dikenakan 24 mata demerit. Bermakna lesen memandu akan digantung serta merta dan didakwa di mahkamah.

Denda sedia ada bagi kesalahan memandu dengan laju tetap berkuat kuasa sehingga hujung tahun ini.

Menurut MHA, denda lebih berat bagi kesalahan memandu dengan laju dilaksanakan untuk "mencerminkan dengan lebih baik" tahap serius kesalahan memandu dengan laju dan potensi kesan akibatnya, serta mencegah perbuatan memandu secara berbahaya.

Ia sebelumnya diumumkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Hari Keselamatan di Jalan Raya Polis Trafik pada Februari lalu.

Namun butiran mengenai denda lebih berat bagi kesalahan memandu dengan laju tidak didedahkan pada ketika itu.

PANDU LAJU PUNCA UTAMA KEMALANGAN

Situasi keselamatan di jalan raya tetap menjadi kebimbangan utama, menurut MHA.

Jumlah kemalangan dan kes cedera meningkat setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, tambah MHA.

Pada 2024, terdapat 7,188 kemalangan jalan raya dan 142 kematian jalan raya.

MHA menukil kesalahan memandu dengan laju sebagai punca utama berlaku kemalangan, dengan jumlah kes kesalahan mencecah tahap tertinggi dalam tempoh sedekad pada 2024.

Terdapat hampir 192,000 kesalahan memandu dengan laju pada 2024, iaitu kenaikan 64.8 peratus berbanding 2023.

Terdapat juga kenaikan 43.8 peratus dalam kemalangan maut berkaitan kesalahan memandu dengan laju, iaitu daripada 32 kes pada 2023 kepada 46 kes pada 2024.

"Hukuman lebih berat ini menggariskan komitmen MHA untuk mengekalkan keselamatan jalan raya. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama," menurut MHA.

Ia juga menggesa para pemandu supaya mematuhi had kelajuan dan memandu dengan selamat demi keselamatan diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

MHA menambah ia akan terus menyemak undang-undang dan dasar Singapura sewajarnya demi menjaga keselamatan jalan raya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita