Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekurang-kurangnya 3 jemaah umrah S'pura diuji positif COVID-19 setakat ini

Ketiga-tiga mereka merupakan jemaah dari Shahidah Travel & Tours.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya tiga jemaah umrah bulan Disember diuji positif COVID-19 setiba mereka di Singapura.

Ketiga-tiga mereka merupakan jemaah dari Shahidah Travel & Tours.

Walaupun sudah ada kes COVID di kalangan jemaah, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) memberitahu BERITAmediacorp, ia belum ada sebarang rancangan untuk menggantung perjalanan umrah buat masa ini.

Ini disahkan Presiden AMTAS, Ustaz TM Fouzy kepada BERITAmediacorp hari ini (5 Jan).

3 JEMAAH DIUJI POSITIF 26 DIS LALU

Shahidah Travel memberitahu kami, tiga jemaah umrahnya itu didapati positif COVID-19 setelah tiba di Lapangan Terbang Changi pada 26 Disember.

Lantaran itu, mereka diarahkan supaya menjalani pengasingan diri selama 10 hari.

rosila salim
Pengarah Shahidah Travel, Cik Rosila Salim.

Pengarah Shahidah Travel, Cik Rosila Salim berkongsi: "Sebenarnya bila jemaah itu pulang dari Tanah Suci, mereka ada PCR di Saudi. Alhamdulillah semuanya negatif, sebab itu mereka dapat berangkat.

"Setibanya di airport Singapura, lagi satu ujian PCR yang diperlukan, tapi kita dapat maklumat hari keesokannya yang tiga jemaah kami yang positif. Jadi dengan arahan MOH, sama seperti jemaah lain, mereka kuarantin di rumah, tapi untuk 10 hari."

TIDAK TAHU BAGAIMANA BOLEH TERKENA COVID-19

Jemaah Shahidah yang positif COVID-19 itu bagaimanapun tidak terkena varian Omicron yang semakin berleluasa sekarang.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, salah seorang jemaah terbabit, Cik Mastura Mohd Dan, menyatakan tidak tahu bagaimana beliau boleh terkena virus tersebut.

Namun mujur gejala yang dialami adalah ringan.

Cik Mastura, 63 tahun, berkata: "Kita pun tak tahu (bagaimana boleh terkena COVID) pasal di sana kita pun amalkan pakai pelitup. Di sana semuanya pakai pelitup, cuma jarak tidak dijaga. Kita macam ibadah biasa sajalah.

jemaah shahidah
Jemaah Shahidah Travel, Mastura Mohd Dan.

"Masa nak pulang, saya rasa macam tekak kering begitulah. Macam ada sikit haus-haus. Lepas ambil ujian PCR, malam lepas itu mula batuk-batuk, hidung tersumbat, tekak kering, gatal. Yang lain-lain yang macam sesak nafas itu semua tak adalah, Alhamdulillah."

Menurut Cik Mastura lagi, mujur rakan sebiliknya di Tanah Suci tidak terkena COVID.

Ketiga-tiga jemaah umrah berkenaan sudahpun sembuh setelah selesai menjalani kuarantin 10 hari.

BAGAIMANA DENGAN AGENSI UMRAH LAIN?

Syarikat umrah seperti Noor Mohamad Services & Travel dan Jalaluddin Travel enggan mengulas semasa ditanya BERIAmediacorp sama ada ia mencatat sebarang kes COVID-19 di kalangan jemaahnya.

Noah Travel pula mengesahkan tiada kes positif di kalangan rombongan umrahnya.

Menjawab pertanyaan kami, Presiden AMTAS menyatakan badan itu tiada sebarang perangkaan terkumpul mengenai bilangan jemaah umrah yang positif COVID-19.

Ini kerana ia bergantung kepada jemaah sendiri untuk memaklumkan hasil ujian PCR kepada agensi umrah masing-masing.

"Secara umum, umrah berjalan seperti biasa. Kalau ada GSA (syarikat umrah) yang nak buat perubahan, itu kita tidak tahu," kata Ustaz TM Fouzy.

Pendirian AMTAS untuk tidak menggantung perjalanan umrah setakat ini, turut diambil Shahidah Travel walaupun ia sudah mencatat kes COVID-19 di kalangan jemaahnya.

"Kami semua lengkap divaksin dan keadaannya diuruskan dengan baik. Kalau kita dapat terus konsisten, dapat disiplin diri dan jaga diri dengan baik, insyaAllah. Saya tidak rasa perjalanan umrah harus dihentikan," ujar Cik Rosila bagi pihak syarikatnya.

MUIS TIADA DATA BUAT KESIMPULAN PENGGANTUNGAN UMRAH

Semasa dihubungi hari ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pula menjelaskan penggantungan ibadah umrah bergantung kepada budi bicara Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) dan Kementerian Kesihatan (MOH).

"Kami tiada datanya untuk membuat sebarang kesimpulan (bagi menggantung umrah)," terang seorang jurucakap MUIS kepada BERITAmediacorp.

Tidak seperti ibadah haji yang dipantau dan diselia rapi oleh MUIS, ibadah umrah merupakan urusan komersil yang dikendalikan agensi-agensi pelancongan Islam tempatan.

Malaysia pada 1 Januari sudahpun mengumumkan penggantungan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan