Skip to main content

Singapura

Sekurang-kurangnya 20% pengambilan pelajar Menengah 1 dari sekolah rendah bukan bersekutu

Sekolah-sekolah menengah tempatan yang sering dilihat sebagai sekolah eksklusif, akan mengambil pelajar dari pelbagai latar belakang bermula Januari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Dec 2019 06:28PM Dikemas Kini : 29 Dec 2019 10:28PM

SINGAPURA: Sekolah-sekolah menengah tempatan yang sering dilihat sebagai sekolah eksklusif, akan mengambil pelajar dari pelbagai latar belakang bermula Januari ini.

Langkah tersebut menyusuli dasar tentang sekolah bersekutu yang dikuat kuasakan semasa proses pemilihan sekolah menengah tahun ini.

Sekurang-kurangnya sebuah sekolah telah membuka tempat bukan sahaja untuk pelajar dari sekolah bersekutu.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), para pelajar dari sekolah rendah bukan bersekutu akan membentuk sekurang-kurangnya 20 peratus pelajar Menengah Satu tahun depan, di sekolah-sekolah menengah bersekutu.

Sejak dua tahun lalu, sekolah tersebut hanya mengambil pelajar dari sekolah rendah yang bersekutu dengannya, untuk kohort Menengah Satu aliran Ekspres.

Namun tahun depan, hampir 30 peratus pelajar barunya akan datang dari sekolah-sekolah rendah yang bukan bersekutu dengannya.

Ini kerana sekarang, sekolah-sekolah menengah perlu memperuntukkan 20 peratus tempat kosong untuk para pelajar sekolah rendah yang tiada talian dengannya.

Misalnya, Paya Lebar Methodist Girls' School tidak perlu menolak sebarang pelajar sekolah rendah yang bersekutu dengannya dengan adanya satu kelas tambahan.

Pada 2020, sekolah itu akan mempunyai 200 pelajar Menengah Satu aliran Ekspres - satu kenaikan berbanding 160 pelajar tahun ini.

Sekolah tersebut memanfaatkan ruang-ruang kosong untuk menjadikannya sebagai bilik darjah agar para pelajar boleh dibahagi-bahagikan kepada kumpulan lebih kecil.

Ini sejajar dengan permulaan sistem perintis Pengumpulan Berdasarkan Mata Pelajaran atau SBB, tahun depan.

Sekolah Anglo-Chinese di Barker Road juga kali ini mengambil lebih ramai pelajar sekolah rendah bukan bersekutu dengannya.

Menurut ACS Barker, untuk kohort tahun depan, sekurang-kurangnya 20 peratus pelajar Menengah Satu aliran Ekspres adalah bukan dari sekolah rendah bersekutu, berbanding 13 peratus pada tahun ini.

Para pelajar barunya kali ini bahkan datang dari 64 sekolah rendah berbeza.

Bagi Sekolah ACSI pula, lebih 20 peratus pelajar barunya kali ini juga dari sekolah-sekolah rendah yang bukan bersekutu dengannya.

Sekolah Menengah St Andrew turut memaklumkan jumlah "angka yang sihat" iaitu para pelajar yang cemerlang dalam ragbi juga sudah mendapatkan tempat di sekolahnya menerusi program Kemasukan Langsung Sekolah (DSA) yang tidak menawarkan keutamaan bagi sekolah-sekolah rendah bersekutu dengannya. 

Sumber : CNA/AA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita