Skip to main content

Singapura

Sekurang-kurangnya 180 mangsa kerugian $2.6j dalam skim penipuan media sosial

Jika anda menerima tawaran pekerjaan yang hebat namun sukar untuk dipercayai, jangan terpedaya olehnya.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jika anda menerima tawaran pekerjaan yang hebat namun sukar untuk dipercayai, jangan terpedaya olehnya.

Demikian nasihat yang diberikan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).

Polis ingin meningkatkan kesedaran ramai terhadap satu jenis skim penipuan di mana para penipu akan berpura-pura sebagai wakil TikTok atau syarikat-syarikat pemasaran online untuk memancing mangsa bagi melakukan tugasan demi mendapatkan ganjaran.

Pada Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya 180 mangsa terpedaya oleh skim penipuan sedemikian dan menanggung kerugian sekitar S$2.6 juta.

Para mangsa akan mendapat kiriman mesej selepas disertakan ke dalam kumpulan sembang di wadah-wadah seperti WhatsApp atau Telegram.

Mereka akan disuruh untuk bantu meningkatkan tarikan kepada akaun-akaun media sosial dengan mengikuti atau memberi tanda suka kepada akaun tersebut, untuk mendapatkan ganjaran.

Ada sesetengah mangsa yang tertarik untuk melakukan tugasan selepas diberitahu bahawa mereka telah memenangi hadiah.

Setelah meyakinkan mangsa bahawa mereka boleh memperolehi lebih ganjaran, para penipu akan mengarahkan mangsa untuk ke laman skim penipuan dan memindahkan sejumlah wang ke akaun-akaun bank atau dompet kripto.

Mangsa hanya menyedari bahawa mereka telah ditipu setelah mereka tidak dapat mengeluarkan hasil 'pendapatan' yang diperolehi atau disuruh untuk memindahkan lebih banyak wang.

Justeru untuk melindungi diri, polis menasihati orang awam supaya merujuk kepada sumber-sumber rasmi untuk memeriksa jika tawaran pekerjaan berkenaan adalah betul.

Mereka juga tidak harus menerima tawaran pekerjaan yang menawarkan pulangan besar dengan usaha yang minimal, atau percaya dakwaan dalam kumpulan-kumpulan sembang yang mereka dimasukkan atau dipelawa secara rambang.

Selain itu, mereka juga tidak harus menekan sebarang pautan kepada laman yang mencurigakan atau memuat turun aplikasi dairpada sumber-sumber yang tidak diketahui.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita