Sekumpulan rakan kumpul lebih $65,000; belikan barangan dapur untuk 2,000 pekerja hijrahan
Lebih 2,000 pekerja hijrahan menerima barangan dapur bernilai S$30 setiap seorang pada Ramadan ini.
BERITAmediacorp: Lebih 2,000 pekerja hijrahan menerima barangan dapur bernilai S$30 setiap seorang pada Ramadan ini.
Ia menerusi satu inisiatif masyarakat yang dipanggil 'Bags for Brothers'.
Menariknya, inisiatif itu bukan di bawah naungan mana-mana badan amal, sebaliknya diterajui oleh sekumpulan kawan dan ahli keluarga.
Dalam masa lima hari sahaja, mereka berjaya mengumpul lebih S$65,000 iaitu lebih dua kali ganda jumlah yang dijangkakan.
RINGANKAN PERBELANJAAN HARIAN PEKERJA HIJRAHAN
Cik Nabillah Jalal serta ahli keluarga dan rakan-rakannya memulakan satu inisiatif 'Bags for Brothers' untuk mengagihkan barangan dapur dalam jumlah cukup untuk sebulan kepada lebih 2,000 pekerja hijrahan.
Menurut Cik Nabillah, walaupun dormitori-dormitori pekerja hijrahan mempunyai kedai runcit di mana para pekerja boleh membeli bahan-bahan untuk masak seperti beras dan minyak, harga dan kesegaran barangan yang dijual mencuri perhatian beliau.
"Sebenarnya mereka boleh membeli barang-barang runcit di kedai-runcit di dormitori mereka tetapi saya mendapat tahu bahawa barangan runcit ini lebih mahal daripada kedai di luar. Selalunya mereka hanya boleh membeli barangan runcit ini pada penghujung hari dan kebanyakan daripada barang ini sudah tidak segar dan ia juga lebih mahal," kongsi Cik Nabillah.
Prihatin akan masalah dan kegusaran yang dihadapi para pekerja hijrahan, beliau dan ahli keluarga serta rakan-rakannya berhasrat untuk memulakan satu inisiatif bagi membantu sebilangan golongan pekerja hijrahan.
Guru piano sepenuh masa itu berkata: "Misalannya di kedai luar, 1 kilogram tomato berharga dalam lingkungan S$2 hingga S$3. Di dalam dormitori, 1 kilogram tomato berharga sehingga S$4. Jadi untuk mereka yang bekerja, setiap hari mereka mungkin mendapat $25-$30 pada satu hari walaupun sehari suntuk di luar bekerja."
"Ia tetap mahal untuk mereka ingin membeli barangan runcit di dalam dormitori. Terutama sekali dengan inflasi jadi setiap dolar itu amat penting untuk mereka," tambah Cik Nabillah.
JUMLAH SUMBANGAN DAN SUKARELAWAN MELEBIHI JANGKAAN
Pengumpulan dana bagi 'Bags for Brothers' dimulakan pada 31 Mac lalu.
Pada asalnya mereka merancang untuk mengumpul S$30,000 bagi membantu 1,000 pekerja hijrahan.
Namun, dalam masa lima hari sahaja, jumlah yang dikumpul sudah mencecah lebih S$65,000.
Cik Nabillah berkata: "Untuk itu kita sudah dapat membeli barangan runcit untuk hampir 2,200 pekerja hijrahan dari 28 dormitori. Sumbangan ini amat memberangsangkan."
Inisiatif 'Bags for Brothers' yang dijalankan selama dua hari - pada Ahad (17 Apr) dan dua minggu seterusnya pada 1 Mei -
juga menerima sambutan baik daripada para sukarelawan.
Pada Ahad (17 Apr), hampir 100 sukarelawan turun padang ke Kelab Masyarakat Keat Hong untuk menyingsing lengan membungkus hampir 1,400 pek barangan dapur.
Pek-pek barangan dapur yang bernilai sekitar S$30 itu diagihkan ke dormitori-dormitori di kawasan barat Singapura.
Setiap bungkusan itu mengandungi bahan masakan seperti beras dan minyak masak serta buah-buahan dan sayur-sayuran.
Inisiatif yang diadakan pada bulan Ramadan ini juga mendapat penyertaan dari masyarakat bukan Muslim.
"Saya sebagai seorang bukan Islam juga memahami bahawa bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi. Saya rasa ia penting untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, terutama sekali untuk para pekerja hijrahan kerana mereka merupakan golongan penting dalam masyarakat kita. Mereka sudah membantu membina rumah dan infrastruktur di negara kita," kata Derek Chew, seorang sukarelawan.
Cik Nabillah berkata: "Kita ingin memupuk sifat-sifat kebaikan, kesyukuran dan untuk sebarkan rahmah kepada semua dalam masyarakat kita. Mereka yang berada dalam kedudukan lebih senang, kita mengalu-alukan mereka untuk mengongsi rezeki mereka kerana rezeki mereka adalah rezeki orang lain juga."
Menjelang Aidilfitri iaitu pada 1 Mei nanti, lebih 750 pek barangan runcit akan diagihkan pula ke dormitori-dormitori di kawasan timur Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.