Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekumpulan rakan dari SG pergi ke Qatar untuk saksikan Piala Dunia

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Selepas sekian lama menunggu, hasrat Encik Nasser Ismail, 60 tahun, untuk menyaksikan Piala Dunia secara fizikal, akhirnya menjadi kenyataan.

Ini selepas permintaannya terkabul dengan bantuan rakannya, Encik Abdul Rohim Sarip, yang sering mengikuti perlawanan Piala Dunia di merata dunia.

Lawatan Encik Rohim ke Doha, Qatar kali ini merupakan Piala Dunia keempat bagi beliau.


Paling kiri: Encik Abdul Rohim Sarip (Gambar: Abdul Rohim Sarip)

"Semenjak tahun 1998, (iaitu) kali pertama saya ke Piala Dunia, kawan saya Nasser ini selalu tanya saya, kalau ke Piala Dunia mesti jemputnya. Tetapi pada Piala Dunia tahun seterusnya, beliau tidak berkesempatan. Tidak ada masa dan waktu," kongsi Encik Rohim, seorang peguam, kepada BERITAmediacorp.

"Tetapi pada kali ini, beliau meluangkan masa dan memberitahu saya, (beliau) mesti pergi tahun ini. Jadi saya cuba mendapatkan tiket untuknya dan Alhamdulillah dapat tiket dan beliau akan ke Qatar dengan saya," tambahnya lagi.

Mendapatkan tiket perlawanan adalah antara perkara yang paling penting sebelum dapat menyaksikan Piala Dunia di Qatar, namun ini agak mencabar.

Menurut Encik Rohim, ada yang sampai menunggu berjam-jam semasa tempoh bidaan untuk mendapatkan tiket online.

SUASANA, SORAKAN PENONTON ANTARA YANG DINANTI-NANTIKAN


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Mujur, nasib menyebelahi kedua-dua rakan itu.

"Tentu sekali gembira. Pada mulanya, macam tidak percaya bahawa saya mendapat tiket untuk ke Doha," kongsi Encik Nasser.

"Berkat doa semua, terkabul keinginan saya untuk menyaksikan Piala dunia ini buat pertama kali," tambah beliau.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Bagi Encik Nasser yang baru pertama kali akan menyaksikan Piala Dunia secara fizikal, antara perkara yang beliau amat nantikan adalah suasana di stadium perlawanan.

"Bila anda berada di stadium itu, suasana, sorakan para penonton, bunyi-bunyian dan bau-bauan ini semua berbeza daripada di rumah bukan?" ujar Encik Nasser sambil menambah bahawa menonton di kaca televisyen jauh berbeza daripada menyaksikannya secara fizikal.

DARIPADA RAKAN SEKOLAH KEPADA RAKAN GUAMAN DAN KINI RAKAN MELANCONG

Daripada rakan di bangku sekolah, kepada rakan guaman dan kini pula rakan melancong.

Encik Nasser turut berkongsi bahawa beliau tidak sabar meluangkan masa bersama rakan-rakannya.


(Gambar: Abdul Rohim Sarip) 

Beliau dan Encik Rohim akan menyertai kumpulan seramai 25 rakan, yang akan menikmati Piala Dunia di Doha, Qatar.

"Semua dah dirancang. Semua bersama-sama pergi jadi tidak rasa janggal ataupun tercari-cari tempat yang ingin dituju. Itu yang membuatnya menarik," kata Encik Nasser.

Beliau akan menyaksikan enam perlawanan di sana, dengan perlawanan antara Perancis dengan Denmark, serta Perancis dengan Jerman menjadi antara perlawanan yang dinanti-nantikan.


(Gambar: Abdul Rohim Sarip)

Antara harapan beliau apabila di sana nanti adalah untuk bergambar dengan beberapa pemain bola sepak yang diminati, termasuk mereka yang mungkin beraksi buat kali terakhir.

Bagi Encik Rohim pula, beliau tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan peringkat suku akhir.

"Saya anggarkan Brazil akan bertemu Sepanyol dalam peringkat suku akhir. Dan saya berharap ia akan berlaku dan saya dapat menonton perlawanan itu, yang saya rasa akan menjadi satu perlawanan yang hebat," menurut Encik Rohim.

PENGALAMAN BERLAINAN DI QATAR

Meskipun bukan kali pertama melancong untuk menyaksikan Piala Dunia, beliau yang kini berusia 59 tahun, percaya bahawa pengalaman kali ini berlainan.


(Gambar: Abdul Rohim Sarip) 

"Pada kali ini, tidak perlu menaiki kapal terbang, (tetapi) terus menaiki kereta api untuk ke stadium-stadium yang dibina, sebanyak lapan kesemuanya. Dan semua berdekatan jadi itu yang saya rasa agak berbeza sekali. Kita tidak perlu bertukar-tukar hotel," kata Encik Rohim.

Pada masa yang sama, beliau juga senang dengan santapan makanan halal yang tersedia di sana.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

"Tidak ada masalah dengan makanan, tempat penginapan ataupun budaya kerana kita sudah biasa di sana," ujar Encik Rohim.

Encik Rohim dan Encik Nasser merupakan sebahagian daripada kumpulan 20 rakan yang berangkat pada Selasa (22 Nov), dengan lima lagi bakal menyertai mereka di Qatar pada hari-hari berikutnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan