Skip to main content

Singapura

Sekumpulan lelaki dirakam serang, bunuh ular sawa; ACRES mohon maklumat

Anggaran Waktu Membaca:
Sekumpulan lelaki dirakam serang, bunuh ular sawa; ACRES mohon maklumat

(Tangkapan skrin: eyesofacres/Instagram)

SINGAPURA: Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES) Singapura memohon maklumat mengenai sekumpulan lelaki yang dirakam menyerang dan membunuh seekor ular di pasar. 

Pertubuhan kebajikan haiwan itu memuat naik di media sosial satu rakaman video yang diterimanya pada pukul 11.25 malam Selasa (18 Apr). Video itu menunjukkan beberapa lelaki memukul seekor ular sawa di luar Pasar Boon Lay Place menggunakan tong dan baldi. 

Mereka juga dilihat menendang ular sawa itu dan menarik ekornya lalu mengheret haiwan itu. 

Setelah membawa ular sawa tersebut ke pasar, salah seorang lelaki menggunakan pisau untuk memancung kepalanya, sekali gus menyebabkan haiwan itu mati. 

Kumpulan itu boleh didengar ketawa sepanjang video itu, yang menurut ACRES, adalah tangkapan skrin yang dihantarkan oleh seorang anggota masyarakat yang prihatin.

ACRES sedang merayu untuk mendapatkan saksi dan maklumat mengenai kumpulan lelaki dalam video itu. 

ACRES menyatakan, ia "terkejut dan terganggu mendengar mereka seakan-akan menyambut dan bersorak semasa menyebabkan penderitaan dan kematian" spesies ular yang dilindungi dan berasal dari Singapura. 

Ia menarik perhatian, tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ada individu dalam video tersebut yang menghubungi pihak berkuasa relevan seperti Lembaga Taman Negara (NParks) atau ACRES untuk bantuan.

"Insiden melibatkan pembunuhan atau penderaan ular dicatatkan beberapa kali sejak kebelakangan ini. Kami berharap kes ini akan melihat pendakwaan individu-individu yang terbabit, sekali gus menjadi satu langkah pencegahan tegas bagi masa depan haiwan dalam masyarakat kami," menurut ACRES. 

ACRES menyatakan, ia menjalankan siasatan dan temu bual di Pasar Boon Lay Place pada pagi Isnin (19 Apr), dan menyerahkan maklumat kepada NParks untuk siasatan.

Mediacorp sudahpun menghubungi Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) di bawah NParks untuk maklumat lanjut.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita