Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekumpulan belia anjur acara amal 'Recite for Rohingya'

Bagi tujuan memberi sokongan kemanusiaan, sekumpulan belia menganjurkan acara amal deklamasi sajak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi tujuan memberi sokongan kemanusiaan, sekumpulan mahasiswa dan alumni Universiti Nasional Singapura (NUS) menganjurkan acara amal deklamasi sajak.

Acara tersebut turut menyaksikan penglibatan para belia lain dalam menjayakannya.

Berlangsung semalam, acara 'Recite for Rohingya' itu berjaya menarik hampir 70 orang muda dari pelbagai latar belakang.

Usaha mengumpul dana menerusi puisi bagi sokongan kemanusiaan tersebut dianjurkan bagi memupuk semangat dermawan golongan muda.

Acara 'Recite for Rohingya' sekaligus mendorong para belia untuk berbuat sesuatu bagi memperbaiki keadaan. Ramadan yang bermula esok juga menjadi pemangkin kepada usaha tersebut.

Penganjur acara, mahasiswa NUS, Seri Ariyani, berkata: "Acara ini adalah satu tempat, satu wadah bagi mereka untuk dapat menolong.

"Sempena bulan Ramadan saya rasa amat penting kalau para belia dapat bersatu untuk meraikan dan menolong mereka dalam kegiatan seperti ini yang dapat memupuk lebih sifat berperikemanusiaan."

Acara berkenaan juga menyatukan pihak penganjur, yang merentasi kaum dan budaya dalam penyatuan matlamat.

Seorang lagi penganjur acara, siswazah NUS, Ow Yeong Wai Kit, berkata: "Kami menggunakan puisi sebagai wadah untuk meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana. Sebagai belia, walaupun kami berlainan agama, kami tetap bersatu dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan."

Seramai enam orang tampil mendeklamasikan sajak. Mereka termasuk Cik Yasmin Zaini, sukarelawan yang pernah menyertai usaha-usaha sokongan kemanusiaan di Syria dan Palestin.

"Saya harap agar para remaja dalam masyarakat tidak merasa diri mereka tidak mampu atau takut untuk melibatkan diri dalam isu-isu kemanusiaan. Ia akan menguatkan peranan di dalam masyarakat dan membina semangat jati diri," ujar Cik Yasmin.

Para hadirin turut meluahkan rasa puas hati. "Kalangan orang yang berbeda-beda, rasa berbeda-beda tetapi mereka bersama-sama di sini," ujar seorang yang hadir.

Jumlah sumbangan terkumpul menerusi acara amal terebut pula melebihi $1,200.

Anda boleh mengikuti perkembangan usaha para belia ini di www.facebook.com/ReciteSG.

Sumber : BERITA Mediacorp/nd/hs

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa