Skip to main content

Singapura

Sektor telko 'sasaran nilai tinggi' penyerang siber, firma SG dinasihat segera tangani risiko AI: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor telko 'sasaran nilai tinggi' penyerang siber, firma SG dinasihat segera tangani risiko AI: Shanmugam

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam bercakap kepada media di Yishun Ring Road pada 9 Mei 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 09 May 2026 12:41PM
SINGAPURA: Para pelaku ancaman canggih yang berterusan (APT) semakin mengambil kesempatan daripada kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkatkan serangan mereka, dengan sektor telekomunikasi (telko) Singapura menjadi "sasaran bernilai tinggi" untuk diserang, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pada Sabtu (9 Mei).

Bercakap kepada para wartawan, Encik Shanmugam yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri berkata sektor telekomunikasi "sangat kritikal" dan beliau turut membangkitkan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan APT, UNC3886, yang telah melancarkan serangan ke atas syarikat-syarikat telko Singapura tahun lalu.

Sambil menggesa firma-firma di Singapura untuk meningkatkan tahap keselamatan siber masing-masing, Encik Shanmugam berkata bahawa 'frontier AI' - merujuk kepada sistem AI yang paling berkemampuan dan canggih buat masa ini - kini membantu para pelaku mencetuskan huru-hara terhadap mangsa.

Beliau menambah: “Ini mestilah tanggungjawab di peringkat lembaga, bukan diserahkan bulat-bulat kepada jabatan IT sahaja. Lembaga pengarah perlu mengatakan bahawa kami harus bertanggungjawab terhadapnya.”

Mengenai bagaimana penyerang siber memanfaatkan AI untuk mencapai tujuan tersebut, Encik Shanmugam berkata mereka boleh menyerang dengan lebih pantas, lebih murah, pada skala besar, dan serangan itu boleh dilakukan oleh orang yang "tidak begitu mahir".

"Sesetengah penyerang siber sedang mengintegrasikan AI ke dalam operasi siber mereka. Penyerang yang paling berkebolehan, paling banyak sumber, akan menjadi mereka yang menyesuaikan diri dengan AI canggih, dengan cepat mengintegrasikannya ke dalam keupayaan mereka," katanya lagi.

"Ia merupakan satu isu serius bagi Singapura. Ia juga merupakan isu serius bagi negara-negara lain," kata Encik Shanmugam, yang berucap kepada media di Yishun Ring Road.

IMDA MENGELUARKAN NASIHAT KEPADA TELKO

Beliau menambah bahawa Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah mengeluarkan nasihat, termasuk panduan mengenai langkah-langkah keselamatan kepada firma-firma telekomunikasi untuk "mengingatkan mereka betapa pentingnya perkara ini".

Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk menggunakan sendiri AI untuk meningkatkan tahap keselamatan siber mereka, serta mengemas kini pelan pengurusan risiko masing-masing untuk mengambil kira ancaman yang dikuasakan AI.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, IMDA turut mendedahkan bahawa nasihat itu telah dikeluarkan kepada firma-firma telekomunikasi, termasuk lembaga pengarah mereka.

Ia menyediakan "panduan tambahan" tentang langkah-langkah yang boleh mereka ambil untuk mengukuhkan benteng pertahanan keselamatan siber mereka terhadap ancaman-ancaman yang berpotensi ditimbulkan oleh model 'frontier AI' , termasuk mengemas kini model risiko dalaman dan pelan kesinambungan perniagaan untuk menangani garis masa yang lebih pantas dan peningkatan kerumitan serangan yang dikuasakan oleh Al.

"Ini merupakan satu usaha berterusan, memandangkan landskap teknologi dan siber sangat dinamik, di mana risiko boleh muncul dan berkembang dengan pantas. Lantaran itu, IMDA sentiasa memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi dikemas kini tentang ancaman dan risiko terkini terhadap rangkaian mereka, dan langkah-langkah penting yang boleh mereka ambil untuk menanganinya," kata IMDA.

Pada Sabtu (9 Mei), Encik Shanmugam berkata Singapura juga bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang mempunyai akses langsung kepada kaedah untuk memahami implikasi 'frontier AI', mengulangi apa yang telah ditegaskan oleh pemerintah di parlimen awal minggu ini dalam respons kepada para Anggota Parlimen yang mengemukakan soalan mengenai teknologi tersebut.

Pada Selasa lalu, Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital Tan Kiat How berkata bahawa pemerintah menyifatkan risiko siber yang didayakan AI sebagai penguatan risiko sistemik sedia ada, bukannya kategori baharu, dan agensi-agensi perlu berwaspada terhadap risiko keselamatan siber akibat AI.

Mythos milik Anthropic merupakan salah satu contoh 'frontier AI'. Diperkenalkan awal bulan lalu, model previunya merupakan yang paling canggih setakat ini dan berupaya mengenal pasti kelemahan pada sistem komputer dan mampu membaiki atau mengeksploitasinya dalam masa beberapa jam dan bukannya berbulan-bulan.
 
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita