Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sektor privet dijangka beri bonus lebih rendah susuli langkah 'berhemat' Perkhidmatan Awam

Para pekerja sektor privet dijangka menerima bonus tahunan yang lebih rendah bagi tahun kewangan ini berbanding tahun sebelumnya disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor privet dijangka beri bonus lebih rendah susuli langkah 'berhemat' Perkhidmatan Awam

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 06 Dec 2019 09:41AM Dikemas Kini : 06 Dec 2019 09:47AM

SINGAPURA: Para pekerja sektor privet dijangka menerima bonus tahunan yang lebih rendah bagi tahun kewangan ini berbanding tahun sebelumnya disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar.

Menurut para penganalisis sumber manusia yang ditemui Mediacorp, bonus sepanjang tahun dalam kalangan syarikat sektor swasta dijangka antara 1.5 dengan 2.3 bulan gaji.

Pada Isnin (2 Dis), Jabatan Perkhidmatan Awam mengumumkan pembayaran bonus "berhemat" bagi tahun ini disebabkan oleh "ketidaktentuan ekonomi semasa". Sebahagian besar kakitangan awam akan menerima bonus sekitar 1.55 bulan gaji - tidak termasuk bayaran sekali gus - bonus paling rendah sejak 2009.

Rakan Kongsi Bersekutu Korn Ferry Singapore, Kartikey Singh berkata berdasarkan kiraan mereka, secara purata bayaran bonus bagi tahun kewangan 2019 yang berakhir pada Mac adalah 1.9 bulan gaji, merosot 15 peratus berbanding tahun kewangan 2018.

Dengan keadaan ekonomi kekal mencabar, bonus bagi tahun kewangan 2020 dijangka lebih rendah, tambah Encik Singh.

Para penganalisis mengenal pasti sektor runcit dan pengilangan sebagai antara sektor yang akan memberikan bonus lebih kecil.

Menurut perangkaan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), kedua-dua sektor itu mengalami kemerosotan pada tiga suku pertama tahun 2019.

BONUS LEBIH BAIK BAGI SEKTOR TEKNOLOGI, KEWANGAN

Meskipun syarikat-syarikat khidmat kewangan turut terjejas oleh pertumbuhan perlahan ekonomi global. para pakar menjangkakan syarikat-syarikat ini akan menawarkan bonus lebih tinggi daripada paras purata.

Permintaan tinggi bagi bakat dalam sektor teknologi mungkin mendorong pemberian bonus yang lebih baik.

Walaupun pengumuman mengenai bonus sektor awam mungkin akan diambil kira dan mendorong sektor swasta untuk lebih berhemat dengan pemberian bonus mereka, ia tetap bergantung kepada prestasi syarikat masing-masing, tegas para penganalisis.

SME BERI BONUS LEBIH RENDAH UNTUK SELAMATKAN PEKERJAAN

Para penganalisis bagaimanapun bersetuju bahawa para pekerja yang bertugas di syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) mungkin akan mendapat bonus yang lebih lumayan berbanding syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME). Syarikat SME lazimnya tidak mempunyai dasar rasmi berhubung bonus, dan bergantung kepada kebijaksanaan dan budi bicara pemilik syarikat untuk menentukannya.

Naib Presiden Keanggotaan dan Latihan bagi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME), Ang Yuit bersetuju dengan pandangan itu. Sesetengah SME mungkin tidak akan menawarkan bonus, katanya, sementara kebanyakan akan memberikan bonus sederhana tahun ini.

Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat SME menawarkan kestabilan pekerjaan yang lebih tinggi meskipun dalam masa-masa mencabar, tambah beliau.

"Kami akan cuba mengekalkan tenaga kerja kami tetapi mengurangkan perbelanjaan bagi bonus."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan