Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sektor prasekolah cuba pikat lebih ramai guru lelaki

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Encik Koh Yi Rong adalah seorang guru tarian selama lima tahun, namun sepanjang tempoh itu, beliau menemui minatnya yang sebenar iaitu untuk mendidik kanak-kanak kecil.

Encik Koh melalui Program Penukaran Kerjaya (CCP) dan sejak itu beliau sudah bekerja dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak selama sembilan bulan. Minat beliau dalam tugasnya itu berputik semasa beliau mengendalikan kelas tarian bagi kanak-kanak prasekolah, kata beliau.

"Saya rasa ia benar-benar satu kerjaya yang sangat berkesan, kita dapat mengajar kanak-kanak kecil, melihat sendiri perkembangan mereka dan memupuk generasi seterusnya. Justeru, ia sesuatu yang sangat bermakna," kata beliau kepada Mediacorp.

HANYA SEGELINTIR LELAKI DALAM SEKTOR PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Jumlah guru lelaki seperti Encik Koh semakin meningkat tetapi secara keseluruhannya, mereka membentuk kurang satu peratus daripada guru prasekolah di Singapura, kata Cik Cynthia Leow, Pengarah Dasar dan Pembiayaan Sektor Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Terdapat 185 guru prasekolah lelaki pada tahun lalu, meningkat 63 peratus berbanding 114 guru enam tahun lalu.

Namun dengan rancangan untuk menubuhkan lagi 10,000 pusat jagaan sepanjang hari menjelang 2023, sektor prasekolah harus memanfaatkan bakat lelaki dan wanita.

"Guru lelaki boleh memainkan peranan yang berharga dan bermakna kerana mereka membawa kekuatan dan perspektif yang berbeza kepada prasekolah kita," kata Cik Leow.

"Guru lelaki juga boleh menjadi peran contoh kepada kanak-kanak dan menunjukkan peranan bermakna yang boleh dimainkan oleh kaum lelaki dalam menyokong pembangunan awal kanak-kanak."

Cik Leow menambah bahawa sedang pendidikan awal kanak-kanak terus berkembang pesat, maka akan ada lebih banyak peluang untuk kepimpinan serta bidang tukikan lain seperti pengajaran bahasa ibunda, pembelajaran di luar bilik darjah dan pembangunan sosioemosi.

Sungguhpun demikian, Cik Leow menekankan bahawa terdapat salah tanggapan masyarakat yang berpendapat seolah-olah sektor pendidikan awal kanak-kanak hanya dikaitkan dengan khidmat jagaan dan lebih sesuai untuk kaum wanita.

Pakar kanan kurikulum di Odyssey Global Preschools, Encik Liang Jian sendiri pernah mengalami perkara sedemikian.

"Ibu bapa berasa sedikit bimbang dengan kehadiran guru-guru lelaki. Mereka kerap bertanya kepada rakan sekerja saya: Bagaimana sikap guru ini? Adakah dia sangat garang terhadap kanak-kanak?," kata beliau kepada Mediacorp.

Untuk membetulkan salah tanggapan itu, ECDA melancarkan kempen nasional untuk meningkatkan kesedaran mengenai sektor tersebut dan peluang kerjaya serta memupuk rasa hormat dan pengiktirafan yang lebih tinggi terhadap kerjaya dalam industri itu, kata Cik Leow.

PRASEKOLAH CUBA PIKAT LEBIH RAMAI GURU LELAKI

Odyssey juga berhasrat untuk mengambil masuk lebih ramai pekerja lelaki, kata penolong pengarah pusat itu, Ethel Chia.

Sekalipun terdapat kekangan untuk mengambil guru lelaki, tidak menghalang Odyssey daripada mengambil masuk pekerja lelaki secara aktif, kata beliau. Peranan baru juga diwujudkan untuk para guru lelaki.

My First Skool, yang buat masa ini menggajikan 16 guru lelaki di 15 pusat prasekolahnya berharap dapat memikat lebih ramai lelaki dalam sektor berkenaan.

ECDA juga sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada ibu bapa.

"Sedang kami menggalak lebih ramai lelaki untuk menceburi kerjaya dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak, kami berharap ibu bapa juga akan mengiktiraf peranan yang boleh dimainkan oleh guru lelaki dalam pembangunan kanak-kanak dan menyokong usaha prasekolah untuk menarik lebih ramai lelaki ke dalam sektor ini," kata Cik Leow.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan