Sektor penerbangan terima suntikan bantuan S$500 juta
SINGAPURA: Pemerintah akan memperuntukkan S$500 juta untuk menyokong kakitangan serta syarikat dalam sektor penerbangan pada tahun kewangan akan datang sedang perjalanan udara beransur pulih, umum Menteri Pengangkutan S Iswaran di Parlimen pada Rabu (9 Mac).
Berucap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya, Encik Iswaran berkata Pakej Daya Tahan OneAviation akan membantu sektor penerbangan untuk meningkatkan keupayaannya dalam menguruskan kenaikan jumlah pelawat bagi membangunkan serta menuntu semula status Singapura selaku hab penerbangan antarabangsa.
Pakej Daya Tahan OneAviation itu termasuk S$60 juta untuk membangunkan semula tenaga kerja sektor itu, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan media berasingan.
Syarikat penerbangan akan menerima sokongan gaji melalui peluasan Geran Pengekalan Tenaga Kerja Penerbangan selama enam bulan. Geran ini meliputi 10 peratus gaji yang dibayar kepada pekerja tempatan dari April hingga September tahun ini.
Had gaji bulanan kasar sebanyak S$4,600 dikenakan bagi setiap kakitangan.
Sementara itu, lagi S$390 juta akan diperuntukkan untuk pelepasan kos dan sokongan bagi perlindungan kesihatan awam.
Ini termasuk melanjutkan rebat yuran yang perlu dibayar oleh syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar buat enam bulan.
Bantuan selanjutnya akan dihulurkan bedasarkan tahap pemulihan perjalanan udara, menurut MOT.
Pemerintah juga akan terus membiayai kos melaksanakan langkah-langkah pengurusan kesihatan dan keselamatan awam, yang menurut MOT, akan membolehkan perjalanan udara yang selamat di samping melindungi pekerja penerbangan serta masyarakat lebih luas.
Baki S$50 juta akan diperuntukkan bagi Dana Pembangunan Penerbangan untuk melabur dalam usaha transformasi industri dan tenaga kerja buat jangka panjang.
PERKEMBANGAN TENTANG TERMINAL 5
Pada 2020, pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi ditangguhkan dek pandemik COVID-19.
Sepanjang tempoh dua tahun lalu, pemerintah memanfaatkan peluang itu untuk "menyemak semula reka bentuk T5 berdasarkan pengalaman semasa pandemik dan cita-cita kemampanan yang semakin meningkat," kata Encik Iswaran.
Butiran lanjut berhubung semakan tersebut akan diberikan apabila ia sudah siap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.