Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sektor penerbangan SG giat penuhi permintaan, namun kekurangan buruh boleh hambat pertumbuhan

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor penerbangan SG giat penuhi permintaan, namun kekurangan buruh boleh hambat pertumbuhan

Singapura menyumbang kira-kira 10 peratus daripada output MRO global sedia ada, menjadikannya hab utama di Asia. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Sektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan Singapura dijangka meningkat, dengan lebih banyak kemudahan bakal disediakan.

Dengan 'selera' global yang lebih besar bagi pengangkutan udara - agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan peningkatan tahunan sebanyak 4.3 peratus dalam tempoh dua dekad akan datang - permintaan untuk MRO dijangka melonjak.

"Terdapat barisan panjang syarikat penerbangan yang menunggu penghantaran pesawat baharu yang telah mereka pesan," kata Encik Sia Kheng Yok, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Association of Aerospace Industries (Singapore).

"Oleh itu, beberapa pesawat yang lebih lama - perkhidmatan mereka perlu dilanjutkan. Lantaran itu juga, lebih banyak penyenggaraan diperlukan untuk memastikan pesawat-pesawat ini kekal dalam keadaan yang sangat baik."

LEBIH BANYAK KEMUDAHAN

Syarikat terkemuka seperti ST Engineering sedang berusaha untuk melakukan lebih banyak untuk memenuhi permintaan, seperti membina struktur perlindungan atau hangar penyenggaraan kerangka pesawat tambahan di Singapura dan luar negara.

"Kami merancang untuk membuka bengkel enjin baharu pada akhir tahun ini supaya kami mempunyai lebih banyak kapasiti untuk baik pulih enjin," kata Encik Jeffrey Lam, presiden aeroangkasa komersial di ST Engineering.

Kemudahan itu akan menyediakan perkhidmatan MRO untuk enjin LEAP-1A dan LEAP-1B yang mengerakkan pesawat badan sempit, termasuk Boeing 737 generasi baharu dan Airbus A320.

Ia dijangka menyediakan kapasiti 200 lawatan bengkel enjin setiap tahun.

Syarikat itu menyatakan penambahan ini akan meningkatkan jam kerja mereka di Singapura sebanyak satu pertiga tahun depan - kepada lebih 4 juta setiap tahun.

"Kami sedang mengambil lebih ramai pekerja - terutamanya di Singapura - supaya kami dapat meningkatkan jumlah perkhidmatan yang boleh kami tawarkan kepada pelanggan global kami," kata Encik Lam.

Firma itu ingin menambah sehingga 500 pekerja kepada jumlah pekerjanya dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, dengan peranan jurutera dan juruteknik yang disahkan dalam avionik dan gear pendaratan antara permintaan kemahiran, tambah Encik Lam.

SEKTOR PENERBANGAN YANG KUKUH

Singapura menyumbang kira-kira 10 peratus daripada output MRO global sedia ada, menjadikannya hab utama di Asia.

Pemain industri percaya negara ini berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan tersebut.

"Bagi negara kecil seperti Singapura, 10 peratus daripada bahagian pasaran global adalah sangat besar" kata Encik Sia, sambil menunjukkan sektor penerbangan telah pulih dengan baik sejak pandemik COVID-19.

Antara 2022 dan 2024, Singapura telah mendapat komitmen pelaburan melebihi S$750 juta daripada syarikat aeroangkasa.

Tahun lalu, Lapangan Terbang Changi mengendalikan hampir 68 juta penumpang, iaitu 99 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan anak syarikat tambang jimatnya Scoot membawa 39 juta penumpang pada tahun yang sama, 12.7 peratus lebih banyak berbanding 2023.

"Singapura mengikut sejarahnya telah berjaya menarik pemain penerbangan dan MRO yang berkualiti tinggi untuk menubuhkan kemudahan mereka di sini," kata Encik Joshua Ng, pengarah Alton Aviation Consultancy.

"Kami berpendapat bahawa Singapura adalah salah satu daripada beberapa negara yang berada dalam kedudukan untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat dalam sektor MRO."

KEKURANGAN TENAGA KERJA

Walau bagaimanapun, pemain industri berkata kekangan tenaga kerja yang berterusan boleh menghambat pertumbuhan.

"Kapasiti MRO agak terhad, dan pada masa yang sama, rantaian bekalan sangat terhad dan bakat sangat kurang," kata Encik Sia.

Beliau menambah bahawa cabaran masih ada dalam memastikan cukup orang dapat mengakses peluang dalam aeroangkasa, serta dalam meningkatkan kemahiran dan kemahiran silang tenaga kerja sedia ada.

Buat masa ini, usaha untuk membina saluran bakat termasuk kerjasama dengan institusi pendidikan dan pameran kerjaya.

PERANAN AI DALAM MRO

Pemerhati pasaran menyatakan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu menangani kekurangan tenaga kerja dengan membantu mekanik dan jurutera dengan kerja rutin dan membosankan.

Kecerdasan buatan sedang memacu transformasi dalam sektor ini, membolehkan pekerjaan berkembang untuk menyediakan produk dan perkhidmatan bernilai lebih tinggi.

"Pada masa lalu, pembaikan hanya akan dilakukan apabila sebarang cela ditemui. (Kecerdasan buatan akan menjadikan proses) lebih proaktif dan lebih tertumpu kepada perkhidmatan... memanfaatkan data untuk meramalkan sama ada penyelenggaraan (harus) berlaku," kata Encik Ng.

Kecerdasan buatan membolehkan ramalan kegagalan sebelum ia berlaku, dengan memantau data prestasi dan mengenal pasti corak kemerosotan, untuk mengelakkan situasi di mana pesawat tidak boleh terbang kerana bahagian yang rosak, tambahnya.

"Peranan manusia sekarang akan lebih kepada menjadikan ia lebih mudah difahami, mentafsir data... melakukan pemeriksaan mutu akhir, pembaikan dan pengesahan untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik untuk pesawat itu terbang," jelasnya.

Dengan Terminal 5, Encik Ng berkata sektor MRO Singapura bersedia untuk meraih pencapaian baharu, mengukuhkan statusnya sebagai hab udara global.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan