Skip to main content

Singapura

Sektor pelancongan SG raih pendapatan paras rekod S$32.8 bilion pada 2025

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 May 2026 11:44AM Dikemas Kini : 24 May 2026 10:37PM
  • Sektor pelancongan Singapura mencatat rekod pendapatan S$32.8 bilion pada 2025, didorong oleh peningkatan pelawat dan prestasi Lapangan Terbang Changi serta kapal pesiaran.
  • Kerajaan menambah S$740 juta ke Dana Pembangunan Pelancongan untuk lima tahun, menyokong Pelancongan 2040 dan membantu perniagaan melalui geran pemasaran serta akses pasaran baharu.
  • Pembangunan infrastruktur baharu termasuk kemudahan kapal pesiaran di HarbourFront, potensi terminal baharu di Straits View, dan pelan pembangunan Greater Sentosa serta Pulau Brani.
  • STB bekerjasama dengan syarikat penerbitan antarabangsa dan Universal Music Singapore untuk mempromosikan pelancongan melalui projek TV, filem, dan muzik, sambil menghadapi cabaran global seperti krisis Timur Tengah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sektor pelancongan Singapura mencapai tahap tertinggi baharu pada 2025 dengan pendapatan mencecah paras rekod S$32.8 bilion, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu pada Jumaat (8 Mei).

Rekod sebelumnya ialah S$29.8 bilion pada 2024.

Di samping prestasi yang kukuh itu, Cik Fu mengumumkan dana tambahan sebanyak S$740 juta untuk Dana Pembangunan Pelancongan bagi tempoh lima tahun akan datang, tambahan kepada suntikan lebih S$300 juta yang dibuat pada 2024.

"Prestasi kukuh kita pada tahun 2025 sangat menggalakkan, tetapi kita tidak boleh berpeluk tubuh. Terdapat cabaran di masa hadapan, memandangkan krisis tenaga di Timur Tengah dan kesan rantaiannya terhadap perbelanjaan pengguna," kata Cik Fu di Persidangan Industri Pelancongan 2026.

"Pembiayaan ini akan menyokong cita-cita kita di bawah Pelancongan 2040, merencana babak pertumbuhan seterusnya dan memastikan Singapura kekal sebagai destinasi yang menarik," kata Cik Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran.

Antara lain, dana tersebut akan memperuntukkan S$5 juta bagi geran yang bertujuan untuk membantu perniagaan menjalankan aktiviti pemasaran dan meningkatkan kehadiran untuk acara perniagaan di Singapura.

Lagi S$5 juta akan disalurkan kepada dana akses pasaran untuk membantu firma-firma mengembangkan kehadiran mereka di pasaran baharu.

Di bawah Pelancongan 2040, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengunjurkan hasil pelancongan akan mencecah antara S$47 bilion hingga S$50 bilion menjelang tahun 2040.

Turut berucap di persidangan yang sama, Ketua Eksekutif STB Melissa Ow berkata Singapura menyambut 16.9 juta pelawat pada 2025, menandakan kemajuan ke arah matlamat Pelancongan 2040.

Pertumbuhan itu didorong oleh pencapaian utama tahun lalu, dengan Lapangan Terbang Changi menyambut rekod tertinggi hampir 70 juta pergerakan penumpang.

Trafik kapal pesiaran juga melebihi dua juta penumpang tahun lalu.

Sekalipun demikian, Cik Ow memberi amaran bahawa permintaan dijangka mendatar dalam masa beberapa bulan akan datang berikutan hambatan global, dengan konflik di Timur Tengah menimbulkan cabaran terhadap industri pelancongan.

"Perniagaan pelancongan kita tertekan akibat krisis dan ketidaktentuan global yang berterusan," kata Cik Ow, sambil menambah bahawa walaupun ketibaan pelawat meningkat 3 peratus pada suku pertama berbanding setahun lalu, permintaan mungkin melemah dalam masa beberapa bulan mendatang.

STB mengunjurkan hasil pelancongan antara S$31 bilion hingga S$32.5 bilion tahun ini, dan ketibaan antara 17 juta hingga 18 juta pelawat antarabangsa.

KEMUDAHAN BAHARU BAGI SEKTOR KAPAL PESIARAN

Dalam pada itu, Singapura sedang mempergiatkan pembangunan baharu untuk memperkukuh prestasi dan daya tahan sektor tersebut.

Bagi sektor kapal pesiaran, Cik Ow berkata Pusat Kapal Pesiaran Singapura di HarbourFront akan berpindah ke kemudahan baharu yang dibina khas, bersebelahan terminal sedia ada, yang dijadual dibuka pada 15 Julai 2026.

Kemudahan tersebut akan menampilkan ruang menunggu VIP khas untuk pelancong premium dan sistem pengendalian bagasi automatik.

Pihak berkuasa juga sedang mengkaji potensi pembangunan Terminal Kapal Persiaran dan Feri Bersepadu untuk menyokong permintaan masa depan.

Cik Fu berkata pihak berkuasa sedang menilai kesesuaian lokasi terminal tersebut di Straits View, bersebelahan Marina Bay Cruise Centre Singapore (MBCCS), sebagai sebahagian daripada pembangunan Kawasan Pesisiran Selatan (Greater Southern Waterfront) yang lebih luas.

Terminal yang dicadangkan itu berupaya menampung tiga tempat berlabuh bagi kapal pesiaran dan sehingga 10 tempat berlabuh bagi feri, dengan kapasiti penumpang kira-kira 1.5 kali ganda berbanding MBCCS sedia ada.

PEMBANGUNAN DI SENTOSA

Cik Fu berkata Pelan Induk Greater Sentosa, yang merangkumi Sentosa dan Pulau Brani, akan dibangunkan dalam tempoh dua dekad akan datang menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Pulau Brani, yang seluas 120 hektar, akan mempunyai ruang untuk hotel, daya tarikan, dan pengalaman baharu, sambil mengekalkan elemen-elemen semula jadi pulau tersebut.

STB juga membangunkan buku panduan AI untuk sektor pelancongan bagi membantu perniagaan mempercepatkan penggunaan teknologi tersebut dalam operasi mereka.

Selain itu, inisiatif Program Cenderamata Singapura (Singapore Collectibles Programme) akan dilancarkan untuk membantu perniagaan tempatan menghasilkan cenderamata dengan identiti unik Singapura.

TV DAN MUZIK

Bagi menarik pelawat, STB bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbitan antarabangsa untuk menampilkan pemandangan dan ciri tempatan Singapura melalui beberapa projek.

Cik Ow mengumumkan perkongsian tiga tahun dengan syarikat produksi Korea Selatan, Mr Romance.

Projek pertamanya, drama berjudul "Buy King", difilemkan di Singapura dan dibintangi pelakon Ju Ji Hoon serta Lee Jun Ho.

STB juga bekerjasama dengan firma penerbitan Indonesia, MD Entertainment, untuk filem romantik "Ahlan Singapore" yang akan ditayangkan di Netflix hujung tahun ini.

Projek akan datang termasuk filem Jepun "Magical Secret Tour" dan drama keluarga Malaysia "The Causeway".

STB juga memanfaatkan masyarakat peminat muzik global dengan menandatangani perjanjian tiga tahun dengan Universal Music Singapore untuk mempromosikan pelancongan melalui rangkaian artis antarabangsa mereka.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita