Sektor khidmat sekitaran lakar rangka kerja lebih baik bantu pekerja tingkat kemahiran
Pada 1979, Encik Raship Othman mencari sesuap nasi sebagai seorang pekerja kawalan serangga. 40 tahun kemudian, beliau kini seorang pengarah teknikal sebuah syarikat kawalan serangga.
SINGAPURA: Pada 1979, Encik Raship Othman mencari sesuap nasi sebagai seorang pekerja kawalan serangga. 40 tahun kemudian, beliau kini seorang pengarah teknikal sebuah syarikat kawalan serangga.
Beliau menjadi peran contoh yang membuktikan usaha gigih mampu membawa seseorang ke menara gading.
Sepanjang dalam sektor berkenaan, Encik Raship terus-menerus belajar bagaimana menggunakan alat-alat baru kawal serangga. Bukan itu sahaja, lelaki berusia 60 tahun itu sudah mahir menggunakan sistem-sistem sofwe dan emel!
(Gambar-gambar: V Care Pest Management Pte Ltd)
"Saya tingkat kemahiran saya, dari situ saya boleh jadi profesional. Bantu pekerja-pekerja muda juga," kata Encik Raship.
Beliau juga rajin berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan rakan-rakan kerjanya.
"Sebagai seorang penyelia, kita harus cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggan. Kalau gagal, apa pandangan mereka? Kita juga tidak boleh 'pandai cakap tetapi tidak tahu buat'. Kita perlu jadi contoh bagi pekerja-pekerja muda," tambah Encik Raship.
Antara mereka yang sudah dibimbing Encik Raship termasuk para teknisyen, pengurus dan penyelia pengurusan serangga.
RANGKA KERJA KEMAHIRAN KHIDMAT SEKITARAN DIPERBAHARUI
Jumlah pekerja lanjut usia dan berpengalaman seperti Encik Raship, kian meningkat dalam industri Khidmat Sekitaran.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (7 Dis) mengumumkan lebih 3,000 pekerja akan meraih manfaat daripada Rangka Kerja Kemahiran industri itu.
Rangka kerja yang diperbaharui kini merangkumi panduan kerjaya dan latihan bagi pekerja dalam sektor pengurusan serangga, pembersihan dan pengurusan sisa.
Misalnya, dengan latihan yang relevan, pekerja pembersihan umum juga boleh menjadi pekerja kawalan serangga. Golongan karyawan pula boleh membuat perancangan untuk mendaki tangga kejayaan.
"Sedang permintaan bagi khidmat sekitaran meningkat, kami perlu melihat bagaimana untuk mempertingkat kemahiran para pekerja dalam sektor ini, meningkatkan produktiviti mereka, misalnya dengan memberi tugasan baru dan membolehkan mereka menggunakan teknologi," kata Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air, Dr Amy Khor.
RAHMATUNNISHA ANTARA 27 PEKERJA DIIKTIRAF PRESIDEN HALIMAH
Semua ini diumumkan sempena Hari Tenaga Kerja Khidmat Sekitaran hari ini (7 Dis), di mana Presiden Halimah mengiktiraf 27 pekerja yang cemerlang dalam sektor masing-masing.
Selain Encik Raship, seorang lagi pekerja Melayu dalam sektor pembersihan menerima Anugerah Bintang Khidmat Sekitaran yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya.
Cik Rahmatunnisha Mohamed Abdul Karim mendapat tempat pertama dalam kategori penyeliaan.
(Gambar-gambar: Horsburgh Integrated Services Pte Ltd)
Sudah lapan tahun beliau berkhidmat. Bermula sebagai seorang eksekutif pembersihan, Cik Nisha 'naik pangkat' jadi Penyelia dan Pakar Pembersihan sebuah syarikat privet pada 2011.
Siapa sangka pada usia 52 tahun, beliau sudah mengikuti 10 kursus Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dan empat kursus diploma sebagai penyelia.
"Saya melakukan ini agar dapat masa depan lebih cerah. Saya ingin orang lain mengikut langkah saya, seperti dari permulaan, saya hanya seorang pembersih tetapi saya mengikuti kursus sampai jadi penyelia," kata Cik Nisha.
Presiden Halimah turut melancarkan inisiatif #ServingSG. Pelbagai acara akan dianjurkan untuk menghargai pekerja yang menyumbang tenaga di belakang tabir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.