Skip to main content

Singapura

Sektor kesihatan semakin berkembang, masyarakat digalak teroka peluang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sedang Singapura berdepan rakyat yang semakin menua, sektor kesihatan turut berubah bagi memenuhi keperluan kesihatan yang kian meningkat.

Ia bukan lagi sekadar mengenai doktor dan jururawat, tetapi satu ekosistem luas yang merangkumi pelbagai peranan daripada penyelidikan dan farmasi hingga kerja sosial dan teknologi kesihatan.

Namun di sebalik peluang yang semakin meluas, timbul juga persoalan tentang daya tahan mereka yang berada dalam sistem tersebut.

Demikian antara yang dibincangkan dalam sesi Kopi with Healthcare, anjuran AMP Singapura yang berlangsung di Pusat bagi Inovasi Jagaan Kesihatan Ng Teng Fong pada Sabtu (9 Mei).

Pengurus Pendekatan Masyarakat, AMP Singapura, Farahyn Banu, berkata: “Kami melihat sektor kesihatan semakin penting dan relevan di Singapura terutama sekali dengan keperluan penjagaan kesihatan yang terus meningkat akibat masyarakat yang semakin menua.”

Ini di samping ramai golongan muda dan profesional sedang mencari kerjaya yang stabil, perkembangan jangka panjang dan yang memberi makna kepada masyarakat.

"Melalui sesi kopi ini, kami ingin memberi gambaran yang lebih jelas dan praktikal tentang peluang serta cabaran membina kerjaya dalam sektor ini," tambah Cik Farahyn.

Sesi Kopi with Healthcare merupakan sebahagian daripada inisiatif Muslim Professionals Collective (MPC).

PELUANG PEKERJAAN DAN SALAH TANGGAP DALAM SEKTOR JAGAAN KESIHATAN

Bertemakan 'From First Steps to Long-term Careers in Healthcare', sesi tersebut bertujuan memberi perspektif lebih menyeluruh kepada golongan muda dan karyawan pertengahan kerjaya tentang sektor kesihatan sebagai bidang yang menawarkan kestabilan, perkembangan kerjaya jangka panjang serta peluang untuk menyumbang kepada masyarakat.

Antara panel yang tampil berkongsi pandangan termasuk Felo Penyelidik Hospital Besar Singapura (SGH), Dr Humairah Zainal; ahli farmasi dan Pengarah Urusan Alami Klinik, Imran Shah, serta Ketua dan Pekerja Sosial Perubatan Utama Hospital Thye Hua Kwan, Mardiana Sabtu.

Sepanjang sesi perbincangan, panelis turut menyentuh tentang pelbagai salah tanggapan terhadap kerjaya dalam sektor kesihatan, termasuk persepsi bahawa bidang tersebut hanya terbuka kepada laluan klinikal tradisional seperti doktor dan jururawat.

Bagi peserta Cik Marsita Aman, 43 tahun, menghadiri sesi tersebut untuk memahami dengan lebih lanjut tentang peluang dalam sektor kesihatan.

Sebelum ini, beliau beranggapan bidang tersebut hanya sesuai bagi mereka yang mempunyai kelayakan akademik tinggi.

“Saya rasa seperti umum, kalau ingin berada di sektor penjagaan kesihatan ini seseorang itu harus mempunyai pelajaran yang tinggi atau baik tapi saya rasa itu tidak semestinya,” kata Eksekutif Kanan Perkongsian itu.

Menurut beliau, sesi itu turut membuka matanya bahawa sektor kesihatan hari ini tidak lagi bersifat terlalu klinikal dan tradisional seperti yang sering digambarkan.

“Dalam sektor ini ada lagi banyak bidang yang kita boleh ceburi seperti keselamatan siber, teknologi digital dan banyak lagi,” tambahnya.

Bagi peserta, Encik Syafiq Faruq, 30 tahun pula, beliau juga lebih memahami tentang peluang pekerjaan yang luas dalam ekosistem jagaan kesihatan.

"Bidang pekerjaan Healthcare selain pada doktor atau jururawat, ada bahagian fisioterapi, ada bahagian farmasi, ada bahagian pembimbing kesihatan masyarakat, ada bahagian fisiologis dan banyak lagi, " kata Fisiologis Senaman Klinikal Kanan itu.

Panelis turut berkongsi tentang laluan bagi mereka yang ingin beralih kerjaya ke sektor kesihatan, termasuk pilihan melanjutkan pengajian secara sambilan, menyertai penyelidikan menerusi peluang sebagai pembantu penyelidik, serta peluang dalam bidang kejururawatan lanjutan dan kerja sosial perubatan.

Dalam pada itu, mereka turut menggalakkan orang ramai mendapatkan pendedahan awal menerusi kegiatan kesukarelawanan atau latihan industri sebelum membuat keputusan untuk menceburi sektor tersebut dalam jangka panjang.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita