Sektor keselamatan siber S'pura raih status negara pentauliah
Syarikat-syarikat keselamatan siber tempatan akan dapat menjimatkan masa dan kos untuk mendapatkan pentauliahan bagi produk-produk mereka selepas Singapura diiktiraf dengan status negara pentauliah di bawah Aturan Pengiktirafan Kriteria Umum (CCRA).

(Gambar fail: AFP)
SINGAPURA: Syarikat-syarikat keselamatan siber tempatan akan dapat menjimatkan masa dan kos untuk mendapatkan pentauliahan bagi produk-produk mereka selepas Singapura diiktiraf dengan status negara pentauliah di bawah Aturan Pengiktirafan Kriteria Umum (CCRA).
Bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan hari ini (4 Mac), Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Janil Puthucheary mengatakan bahawa syarikat-syarikat tempatan sedang mempertimbangkan untuk membangunkan produk-produk keselamatan yang diiktiraf di peringkat global. Dengan ini, Singapura menjangkakan akan menyaksikan penjimatan masa dan kos lebih 20 peratus.
Kriteria Umum (CC) tersebut, yang juga dikenali sebagai ISO/IEC 15408, adalah piawai teknikal yang digunakan bagi penilaian dan pensijilan produk-produk keselamatan IT. Ia juga merupakan piawai bagi pensijilan produk yang diiktiraf pemerintah dan industri, menurut MCI.
Terdapat 30 negera di bawah CCRA, dan 18 daripadanya adalah negara-negara dengan kuasa untuk mengiktiraf produk-produk seperti itu. Singapura menyertai Britain, Amerika Syarikat, India dan Korea Selatan dalam kumpulan kedua itu. Satu-satunya negara Asia Tenggara lain yang mendapat status ini ialah Malaysia.
Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura memberitahu Mediacorp bahawa ia memutuskan untuk mendapatkan status tersebut selepas "kebanyakan pembangun tempatan" melahirkan sokongan bagi langkah tersebut serta semakan terhadap keahlian Singapura dalam CCRA.
Mantan Menteri Perhubungan dan Penerangan Yaacob Ibrahim berkata pada Mac 2017 bahawa sektor keselamatan siber di sini dijangka menjana pertumbuhan sekitar S$900 juta menjelang 2020.
CSA sudah menubuhkan badan pensijilan CC, yang bertanggungjawab memastikan penilaian produk yang dijalankan memenuhi syarat-syarat ketat piawai teknikal, tambahnya.
Badan itu juga bertanggungjawab di atas makmal-makmal ujian yang diluluskan bagi menjalankan penilaian produk.
Kementerian itu menambah, dengan status tersebut, Singapura boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.