Sektor dron S'pura kian berkembang; kegunaannya makin pelbagai
Industri dron di Singapura sedang pesat membangun dengan lebih banyak syarikat berpaling kepada kenderaan udara tanpa pemandu bagi tujuan seperti pemeriksaan prasarana dan penghantaran.
Dron DrN-15L oleh ST Engineering digunakan untuk menghantar lima bungkus ayam penyet. (Gambar: Hanidah Amin)
SINGAPURA: Industri dron di Singapura sedang pesat membangun dengan lebih banyak syarikat berpaling kepada kenderaan udara tanpa pemandu bagi tujuan seperti pemeriksaan prasarana dan penghantaran.
Pada April, firma pemula tempatan F-Drones menjadi syarikat pertama yang melakukan penghantaran di sini. Ia menandatangani perjanjian setahun dengan gergasi perkapalan Eastern Pacific Shipping, melancarkannya dengan melakukan penghantaran dari Marina South Pier ke sebuah kapal yang berlabuh sejauh 2.7 kilometer di laut.
Satu lagi syarikat pemula, Aerolion Technologies, diberikan pembiayaan dana oleh agensi-agensi pemerintah utnuk membangunkan sebuah dron bagi membersihkan bangunan. Baru-baru ini ia memenangi kontrak agensi air negara PUB untuk mengerahkan dron bagi memeriksa terusan.
Pada Khamis lalu (13 Ogos) pula, foodpanda mengumumkan ia bekerjasama dengan ST Engineering untuk menguji penggunaan dron bagi penghantaran makanan dengan menerbangkan lima bungkus nasi ayam penyet ke sebuah kapal yang terletak 3 kilometer di laut.
(Foodpanda bekerjasama dengan ST Engineering bagi menguji khidmat penghantaran dron yang dipanggil PandaFly. Gambar: Hanidah Amin)
Masyarakat Sistem Pesawat Tanpa Pemandu Singapura (SG UAS), yang mewakili kepentingan industri baru itu, menyaksikan peningkatan pada jumlah ahli persatuan dari 22 pada tahun lalu kepada 39 baru-baru ini.
Jumlah itu dijangka berkembang lebih lanjut, kata Encik Sia Kheng Yok, ketua eksekutif Persatuan Industri Aeroangkasa (Singapura) di mana Masyarakat SG UAS adalah sebahagian daripadanya.
Para ahli termasuk penyedia khidmat UAS yang berpangkalan di Singapura, pengeluar, pembekal dan institut pengajian tinggi serta pengguna akhir.
Masyarakat memainkan peranan dalam menyokong perkembangan dan akses pasaran serta pembangunan piawaian dan sokongan dasar. Kemudahan-kemudahannya termasuk sebuah tapak ujian tertutup di Taman Aeroangkasa Seletar JTC bagi tujuan demonstrasi dan menguji dron.
DRON DAN PANDEMIK
Penggunaan dron membolehkan banyak tugasan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, kata Encik Sia, sambil menambah bahawa pandemik COVID-19 merangsang minat lebih tinggi terhadap pesawat tanpa pemandu itu.
“Pesawat tanpa pemandu ada manfaat penting di mana ia boleh mengurangkan kontak bertemu muka dan keperluan bagi interaksi sesama manusia semasa menjalankan tugasan lantas, membolehkan perniagaan dan agensi awam untuk melaksanakan khidmat penting sambil mengurangkan risiko pendedahan kepada virus."
Pada April, Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan ia mengerahkan 30 dron untuk memantau keadaan sesak di taman serta kawasan alam semula jadi terpilih bagi memastikan para pengunjung mematuhi langkah jarak selamat.
Pasukan Polis Singapura (SPF) juga mengumumkan pada Mei mengenai penggunaan dron untuk meronda estet-estet perindustrian semasa tempoh 'circuit breaker' negara.
Pada bulan yang sama, syarikat Drone Solutions Services yang berpangkalan di Singapura memulakan sebuah program dipanggil "Dron pada era COVID-19" untuk menggalak penggunaan dron bagi tujuan-tujuan seperti pemantauan semasa pandemik itu.
CABARAN DAN KEKANGAN
Encik Sia, bagaimanapun, menarik perhatian bahawa masih terdapat keterbatasan teknologi pada prestasi dron termasuk kekangan ke atas berat muatan dan aksesnya kepada jalur lebar serta liputan rangkaian komunikasi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dron sudahpun mengakibatkan gangguan pada operasi lapangan terbang di pelbagai bandar di seluruh dunia.
Pada 2018, dron menjejas penerbangan di Lapangan Terbang Gatwick London selama tiga hari, yang menjejas sekitar 140,000 penumpang dan 1,000 penerbangan.
Tahun lalu, operasi dron tanpa kebenaran di sekitar Lapangan Terbang Changi pula menjejas 38 penerbangan dan mengganggu operasi di salah satu landasan selama 10 jam.
Mempunyai sistem pengurusan lalu lintas pesawat tanpa pemandu, atau UTM, dapat membantu penguatkuasaan agensi dalam menentukan lokasi yang tepat dron-dron meta dan bukan mengesannya secara visual, kata pengarah urusan Nova Systems Asia, Ryan Lee.
Pada 2018, Kementerian Pengangkutan dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) memberikan projek kepada sebuah konsortium yang diterajui oleh Nova Systems untuk menjalankan kajian dan pengembangan teknologi UTM di sini.
Para penyelidiknya sudahpun meluangkan dua tahun untuk mempelajari dan membangunkan langkah-langkah yang boleh mengkhususkan dan menggandakan dengan selamat operasi di Singapura yang padat dengan penduduk dan mempunyai persekitaran bandar.
Disember lalu, konsortium itu menyatakan ia berjaya menyelesaikan peringkat kedua percubaan penerbangan bagi UTM di Singapura, termasuk kajian mengenai rangkaian telekomunikasi dan kesesuaian operasi rangkaian 4G serta 5G.
Walaupun sistem UTM akan menguruskan rancangan penerbangan dron, sama seperti kawalan lalu lintas udara konvensional yang serupa dengan pesawat dengan juruterbang, ia sebenarnya lebih rumit, kata Encik Lee.
Ini kerana sistem tersebut tidak hanya perlu menguruskan banyak dron di laluan yang berlainan tetapi juga mengatasi hadangan seperti bangunan, pokok dan bahkan juga burung, jelasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.