Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sektor binaan, pengangkutan penyumbang utama kemalangan di tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah pertubuhan bukan meraih untung (NGO) yang mewakili para pekerja hijrahan menyatakan mereka yang membuat aduan mengenai amalan-amalan tidak selamat perlu dilindungi dengan lebih baik daripada dihantar pulang.

Seruan itu menyusuli satu lagi kemalangan pada awal bulan ini, yang menaikkan jumlah kes kematian akibat kemalangan di tempat kerja kepada 44 pada tahun ini.

Ini merupakan jumlah yang tertinggi dalam masa enam tahun, dengan sektor binaan membentuk hampir sepertiga daripada perangkaan ini.

Syarikat binaan United Tec Construction menganjurkan taklimat setiap minggu, melibatkan semua orang.

Semasa mesyuarat, pasukan kerjanya akan membincangkan protokol keselamatan dan menjadikan insiden yang dilaporkan kepada satu pengajaran.

"Kami akan sering berkongsi pemberitahuan dari MOM (Kementerian Tenaga Manusia) dan WSH (Keselamatan & Kesihatan di Tempat Kerja), serta syarat kawal selia. Yang penting sekali, kami kongsi apa sebenarnya punca utama sesesuatu kejadian, apakah pengajaran yang boleh dipelajari dan bagaimana untuk mencegahnya daripada berlaku pada masa hadapan," kata Poovanur Swaminathan Venkatesh, Penasihat Keselamatan & Kesihatan di Tempat Kerja, United Tec Construction.

Ia juga menggalak para pekerja untuk mengambil tanggungjawab atas keselamatan mereka.

Namun, tidak semua syarikat mahu mendampingi para pekerja mereka.

Sebuah pertubuhan bukan meraih untung berkata satu faktor yang membuatkannya susah bagi para pekerja untuk menyuarakan bahaya keselamatan adalah rasa takut.

"Para pekerja takut untuk bersuara dan melaporkan amalan di tempat kerja yang tidak selamat kerana mereka takut akan kehilangan pekerjaan," kata Jaya Anil Kumar, Pengurus Kanan, Pertubuhan Kemanusiaan bagi Pekerja Hijrahan (HOME).

Beliau menambah: "Kami harus memastikan yang kami boleh menawarkan pengambilan semula (pekerjaan) bagi mereka yang buat aduan dan memastikan mereka terus dilindungi daripada dihantar pulang."

Selain itu, jalan raya di Singapura terus menjadi tapak pekerjaan yang tidak selamat.

Tahun ini, kemalangan yang melibatkan kenderaan kekal sebagai dalang utama kecederaan yang membawa maut.

Satu kemalangan di jalan raya berlaku pada bulan Julai lalu yang melibatkan seorang pekerja penghantaran makanan Abdul Hadi.

Selain mengalami kecederaan dan kos rawatan yang mencecah $2,000, motosikalnya yang merupakan sumber pendapatannya, juga rosak.

Encik Hadi yang kini memandu bagi platform kereta sewa, mengakui isu keselamatan dalam pekerjaannya amat sukar untuk dipastikan.
 
Seorang perunding cara berkata kursus keselamatan boleh bantu melindungi para pekerja ini.

Namun, persoalannya adalah sama ada para majikan mahu memperuntukkan masa dan wang untuk kursus ini.

Ini kerana bagi perniagaan, masa sangat bernilai.

Pemeriksaan lebih ketat oleh pihak berkuasa terhadap proses kerja juga dipercayai dapat menjadikan tempat kerja lebih selamat.
Sumber : CNA/IA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan