Sektor berisiko tinggi wajib semak prosedur keselamatan selepas kecederaan, kematian di tempat kerja meningkat
Syarikat-syarikat dalam sektor berisiko tinggi akan diwajibkan melaksanakan tempoh berhenti kerja bagi menyemak dan menilai semula prosedur-prosedur keselamatan sebelum 15 Sep, di tengah-tengah kenaikan kes insiden maut dan kecederaan serius di tempat kerja.
Syarikat-syarikat tersebut mesti melakukan langkah yang diwajibkan itu sebelum 15 Sep, menurut kementerian tersebut, sambil menambah sesiapa saja yang gagal berbuat demikian akan diharamkan daripada mengambil pekerja hijrahan yang baru selama sebulan.
Ini merupakan kali pertama pemberhentian seumpama itu dilaksanakan. Dalam kenyataan medianya pada Khamis (1 Sep), MOM menyatakan tempoh berhenti kerja itu haruslah "cukup panjang" bagi menyemak dan menilai risiko selaras dengan skala operasi berkenaan.
Tuntutan itu - yang akan diperlukan bagi semua syarikat dalam industri binaan, pengilangan, marin, pemprosesan atau pengangkutan dan penyimpanan serta industri-industri yang menggunakan kenderaan perindustrian atau kenderaan berat - adalah antara langkah-langkah baru yang diperkenalkan pada Khamis (1 Sep) bagi menangani jumlah kes kematian di tempat kerja yang semakin meningkat.
Sejak awal tahun, Singapura melaporkan 36 insiden maut di tempat kerja, dengan lima daripadanya berlaku bulan lalu.
Sebagai perbandingan, sebanyak 37 insiden maut dilaporkan bagi seluruh tahun lalu, dan 30 pada 2020.
Bercakap kepada para wartawan di sidang media pada Khamis, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata meskipun beliau memahami syarikat-syarikat masih menyesuaikan diri dengan rentak kerja yang baru, keselamatan di tempat kerja tidak boleh dikompromi.
Menggesa para pemimpin syarikat supaya meningkatkan perlindungan bagi para pekerja mereka, Encik Zaqy berkata: "Anda berada di kedudukan terbaik untuk menetapkan budaya keselamatan dan kesihatan positif di tempat kerja serta membentuk amalan-amalan keselamatan di lapangan."
"Sebarang gangguan yang anda hadapi hasil amalan keselamatan yang diambil mudah adalah sementara, namun impak kecederaan dan maut terhadap para pekerja dan keluarga mereka adalah selama-lamanya."
Bagi mengukuhkan keselamatan di tempat kerja, MOM memperkenalkan tempoh "keselamatan yang dipertingkat" selama enam bulan, yang berkuat kuasa Khamis sehingga 28 Feb.
Sepanjang tempoh ini, syarikat-syarikat yang didapati mempunyai kelemahan keselamatan yang serius di tempat kerja, serta pengurusan kanannya, akan lebih dipertanggungjawabkan.
Antara langkah-langkah baru itu, syarikat dengan keadaan persekitaran yang tidak selamat di tempat kerja atau dengan kawalan risiko yang lemah menyusuli insiden serius atau maut di tempat kerja, boleh diharamkan daripada mengambil pekerja hijrahan yang baru sehingga tiga bulan.
Para ketua eksekutif syarikat-syarikat ini juga perlu hadir sendiri ke MOM dan bertanggungjawab atas sebarang pembetulan.
Sambil merujuk kepada lebih separuh daripada insiden maut di tempat kerja dan kecederaan tahun ini melibatkan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), Encik Zaqy berkata MOM akan memperluaskan skala program sedia ada yang menyediakan SME dengan akses kepada para perunding, yang boleh membantu mereka mengenal pasti risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan melaksanakan amalan-amalan yang baik.
Antara Januari hingga Jun, MOM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lebih 9,000 pelanggaran keselamatan di tempat kerja - naik seganda berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Dengan sektor binaan sebagai penyumbang terbesar insiden maut dan kecederaan serius, langkah-langkah bersasar bagi mempertingkatkan keselamatan di tempat kerja dalam sektor itu akan bermula bulan depan.
Ini termasuk mengurangkan had bagi mengeluarkan mata demerit di bawah sistem sedia ada bagi sektor binaan, bermakna lebih banyak mata demerit akan dikeluarkan bagi pelanggaran keselamatan di tempat kerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.