Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sektor awam sumbang 60% permintaan binaan pada 2022: BCA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jan 2022 06:19PM Dikemas Kini : 26 Jan 2022 08:56PM

SINGAPURA: Permintaan bagi sektor binaan di Singapura pada tahun ini diramal bernilai S$27 bilion hingga S$32 bilion, dengan 60 peratus permintaan itu disokong oleh sektor awam. 

Demikian menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada Rabu (26 Jan). 

Jumlah permintaan binaan dalam sektor awam diunjurkan antara S$16 bilion hingga S$19 bilion, menurut BCA. 

"Ini disokong projek-projek perumahan akan datang termasuk Program Peningkatan Rumah selain kemudahan jagaan kesihatan serta kerja-kerja pembangunan prasarana   seperti Laluan MRT Rentas Pulau (CRL) (Fasa 1)." 

Sementara itu, permintaan binaan bagi  sektor privet dijangka mencecah  antara S$11 bilion hingga S$13 bilion tahun ini, serupa dengan permintaan pada 2021. 

"Memandangkan langkah-langkah meredakan pasaran hartanah yang baru diumumkan, permintaan bagi pembangunan kediaman dijangka merosot  berbanding tahun lalu berikutan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati," menurut BCA lagi. 

Namun, permintaan bagi pembangunan komersil dijangka meningkat sedang hotel dan tempat daya tarikan menjalani kerja-kerja ubah elok naik taraf untuk bersiap sedia menerima pelancong luar negeri. Bangunan komersil lebih tua juga dijadual dibangunkan semula untuk meningkatkan nilai aset mereka. 

Selain itu, permintaan bagi pembangunan perusahaan dalam sektor privet dijangkakan akan menerima sokongan daripada pembinaan kemudahan penyimpanan tenaga dan juga loji pengeluaran biofarmaseutikal. 

PERMINTAAN BINAAN PADA 2021 NAIK 42 PERATUS

Laporan awal permintaan binaan pada 2021 naik sebanyak 42 peratus kepada kira-kira S$30 bilion berbanding 2020, kebanyakannya melibatkan projek-projek perumahan awam dan prasarana, serta sentimen pelaburan lebih baik, menurut BCA. 

Jumlah permintaan itu naik sekitar 7 peratus lebih tinggi berbanding ramalan BCA sebelum ini, iaitu antara S$23 bilion hingga S$28 bilion, sebahagian besarnya disebabkan  harga tender lebih tinggi akibat kos bahan dan tenaga manusia yang lebih mahal. 

Permintaan binaan bagi sektor awam meningkat kepada S$18.2 bilion pada 2021 berbanding S$12.2 bilion pada 2020, dirangsang oleh projek-projek besar seperti CRL, Laluan Daerah Jurong (JRL), Loji Pemulihgunaan Air Tuas dan flat baru Bina-Ikut-Tempahan (BTO). 

Permintaan binaan bagi sektor privet juga meningkat daripada S$8.9 bilion pada 2020 kepada S$11.8 bilion pada 2021, didorong permintaan lebih tinggi untuk pembangunan kediaman, komersil dan perusahaan sedang ekonomi pulih. 

RAMALAN BAGI 2023-2026 

BCA menjangkakan permintaan binaan secara keseluruhan akan mencecah antara S$25 bilion hingga S$32 bilion setiap tahun dari 2023 hingga 2026. 

Unjuran ini tidak termasuk pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbangan Changi dan projek-projek infrastruktur berkaitan, serta projek peluasan dua Resort Bersepadu. Ini disebabkan ketidakpastian berhubung pandemik COVID-19 yang mungkin menjejas jadual binaan.

Sektor awam dijangka memacu permintaan tersebut, menyumbang sebanyak S$13 bilion hingga S$18 bilion setiap tahun dari 2023 hingga ke 2026, menurut BCA. Kira-kira setengah permintaan tersebut dirangsang projek-projek binaan dan kerja-kerja kejuruteraan sivil, tambah BCA. 

Selain projek perumahan awam, terdapat juga pelbagai pembangunan besar lain yang sedang dirancang. 

Ini termasuk projek MRT seperti Fasa 2 dan 3 CRL, Lanjutan Laluan Punggol dan Laluan Downtown ke Sungai Kadut. Terdapat juga projek Pembangunan Bersepadu Toa Payoh, pembangunan semula Hospital Alexandra dan sebuah hospital bersepadu baru di Bedok. 

"Permintaan binaan bagi sektor privet dijangkakan untuk kekal stabil pada tempoh sederhana, mencapai kira-kira S$11 bilion hingga S$14 bilion setiap tahun dari 2023 ke 2026, memandangkan rentak pelaburan yang sihat di tengah-tengah asas ekonomi Singapura yang kukuh," kata BCA. 

Hasil binaan kesleuruhan ataupun nilai bayaran bertahap, dijangkakan naik kepada antara S$29 bilion hingga S$32 bilion pada 2022, tambah BCA, berdasarkan anggaran awal sekitar S$26 bilion pada 2021. 

Ini disebabkan permintaan yang stabil dan kerja-kerja tertunda akibat pandemik sejak 2020, menurut BCA lagi.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan