Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Seksyen 377A: PERGAS hargai pendirian Pemerintah junjung tinggi nilai moral majoriti

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) melahirkan penghargaannya kepada Pemerintah kerana "menjunjung tinggi nilai moral yang dipegang oleh majoriti masyarakat".

Kenyataan itu dikeluarkan pada Jumaat (4 Mac) bagi mengulas isu LGBT yang dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini.

"Ucapan penghargaan ditujukan kepada pihak Pemerintah yang menjunjung tinggi nilai moral yang dipegang oleh majoriti masyarakat dan mengambil pendekatan yang bijak dan seimbang dalam menangani perkara ini," ulas PERGAS.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Khamis (3 Mac) mengatakan di Parlimen bahawa Pemerintah sedang menimbangkan "huraian terbaik" bagi Seksyen 377A.

Ini setelah tiga individu mencabar seksyen berkenaan yang menetapkan bahawa hubungan seks sesama lelaki adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. Permohonan mereka kemudian ditolak Mahkamah Rayuan.

Encik Shanmugam menegaskan bahawa keluarga heteroseksual kekal sebagai norma sosial dan "bidang kuasa undang-undang sedia ada mencerminkan norma, nilai dan sikap masyarakat".

Sungguhpun demikian, "pelbagai sudut pandangan berbeza" mahu dipertimbangkan dan Encik Shanmugam akur dasar-dasar perlu dipinda selaras dengan perubahan yang ada dalam masyarakat.

Pendirian ini disokong badan-badan agama termasuk MUIS, dengan PERGAS turut menyuarakan harapan agar "dasar yang menyokong nilai-nilai moral universal dikekalkan".

"Pandangan Islam tentang nilai moral yang universal adalah jelas dan konsisten. Ia tidak berubah sepanjang zaman walaupun terdapat para Nabi yang bersilih ganti. Inilah asas yang membentuk pandangan majoriti ulama Islam tentang larangan perbuatan hubungan seks di antara dua lelaki," menurut PERGAS.

"PERGAS bersama masyarakat Islam bersyukur bahawa nilai ini masih kukuh dan menjadi pegangan majoriti masyarakat beragama di Singapura. PERGAS bersama institusi keagamaan yang lain serta majoriti masyarakat Islam di Singapura ingin agar dasar yang menyokong nilai-nilai moral yang universal dikekalkan," tambahnya lagi.

PERGAS bagaimanapun akur akan pentingnya memupuk sikap saling hormat-menghormati dalam masyarakat.

Persatuan tersebut malah sebelum ini tampil untuk berdialog dengan golongan LGBT dan kini mahu mengeluarkan satu panduan keagaaman berkaitan isu ini.

BADAN AGAMA LAIN JUGA ALU-ALUKAN DIALOG

Pada Jumaat (4 Mac), kira-kira lima badan agama lain mengeluarkan kenyataan.

Majlis Kebangsaan Gereja-Gereja Singapura (NCCS), yang mewakili sekitar 200 gereja di sini, bersetuju dengan pendirian Pemerintah dan Pejabat Peguam Negara (AGC), iaitu Seksyen 377A boleh dikekalkan tetapi tidak dikuatkuasakan secara proaktif.

Menerusi kenyataannya, ia menyifatkan pendirian itu sebagai "berjaya mencapai keseimbangan antara kepentingan yang berbeza (dan bertentangan) pelbagai kumpulan".

"'Kata sepakat unik ini' yang dikecapi Singapura berkesan dalam mencegah kerenggangan yang lebih lebar dalam masyarakat," tambah majlis itu.

MUIS sependapat dengan kenyataan tersebut dan menyatakan ia mengalu-alukan komitmen Pemerintah untuk "mengekalkan norma dan nilai-nilai kekeluargaan di Singapura".

Lembaga Penasihat Sikh turut menyuarakan sokongan terhadap "pendekatan seimbang yang diambil mahkamah terhadap rayuan yang mencabar Seksyen 377A".

"Kami percaya ini mengambil kira dan mengimbangi kepentingan semua lapisan masyarakat serta memelihara keharmonian dan perpaduan sosial dalam menggalak semua pihak yang berkepentingan untuk meneruskan dialog yang membina mengenai isu ini."

The Roman Catholic Archdiocese of Singapore, yang menyelia 32 gereja Katolik di sini, juga menyatakan bahawa Singapura "beruntung kerana mempunyai Pemerintah yang mementingkan kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama - dan bukan hanya memihak kepada sesebuah kumpulan tertentu".

Ia menambah, ia tidak akan membiarkan perbuatan meminggir "mereka yang tidak menganuti nilai-nilai (gereja), termasuk mereka yang tergolong dalam LGBT+".

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan