Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Seksyen 377A: Pemerintah sedang kaji cara lindungi kedudukan undang-undang berhubung perkahwinan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jul 2022 09:01PM Dikemas Kini : 30 Jul 2022 09:39PM
SINGAPURA: Pemerintah Singapura sedang meneliti dan mengkaji bagaimana ia boleh melindungi pendirian dan kedudukan undang-undang buat masa ini berhubung perkahwinan terhadap sebarang tuntutan dan pertikaian yang dikemukakan di mahkamah

Ini sedang ia mempertimbangkan langkah-langkah seterusnya bagi Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan.

Demikian menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Sabtu (30 Jul).

Encik Shanmugam menjawab pertanyaan daripada pihak media mengenai kemas kini dalam usaha pemerintah untuk mendapatkan pandangan berhubung undang-undang yang menjadikan hubungan seks sesama jenis satu jenayah.

Berhubung Seksyen 377A, pihak berkuasa sudah mengadakan "perbincangan yang meluas" sejauh ini dengan para pemimpin agama yang berbeza, pemimpin akar umbi, rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang serta wakil daripada kumpulan-kumpulan LGBT (lesbian, gay, biseksual, transjantina), kata Encik Shanmugam kepada para wartawan di Tzu Chi Humanistic Youth Centre.

"Pandangan secara amnya semasa perbincangan itu adalah seperti berikut - ramai bersetuju bahawa lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jenis tidak patut dipenjara. Hubungan seks sesama jenis tidak sepatutnya dianggap sebagai jenayah," kata beliau.

"Pada masa yang sama, ramai tidak mahu seks sesama lelaki dijadikan sebagai jenayah sehingga ia mencetuskan perubahan besar yang lain".

Khususnya, kebanyakan orang inginkan pendirian sedia ada berhubung perkahwinan - yang menurut undang-undang adalah antara seorang lelaki dan wanita - terus dikekalkan.

"Masyarakat tidak mahu ia berubah dan mereka juga tidak inginkan perubahan terhadap dasar sedia ada yang merujuk kepada definasi perkahwinan tersebut, kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa pemerintah memahami pandangan itu dan kini sedang mempertimbangkan cara terbaik untuk mencapai satu keseimbangan.

"Dua soalan yang sedang kami tangani adalah: Pertama, apa yang harus dilakukan dengan Seksyen 377A. Kedua, pada masa yang sama, kami juga sedang sedang meneliti dan mengkaji bagaimana ia boleh melindungi pendirian dan kedudukan undang-undang buat masa ini berhubung perkahwinan terhadap sebarang tuntutan dan pertikaian yang dikemukakan di mahkamah," tambah Encik Shanmugam.

"Perkara-perkara ini harus dibincangkan di Parlimen dan diputuskan di Parlimen dan bukan di Mahkamah".
Ditanya tentang Protect Singapore Townhall, iaitu satu perhimpunan yang diadakan pada 23 Julai yang menggesa perlindungan bagi institusi perkahwinan, keluarga dan kanak-kanak sedang Pemerintah mempertimbangkan untuk memansuhkan Seksyen 377A.

Perhimpunan tertutup itu dianjurkan oleh Dads for Life dan Pengasas Projek Reben Kuning, Jason Wong serta Ketua Pegawai Eksekutif SuChi Success Initiaves, Mohamed Khair.

Aduan polis dibuat mengenai perhimpunan tersebut namun pihak berkuasa tiada tindakan akan diambil terhadap penganjurnya kerana acara itu tidak melanggar sebarang undang-undang.

Menjelaskan keputusan itu, Encik Shanmugam merujuk kepada acara Pink Dot yang diadakan pada bulan lalu.

"Begitu juga, pihak yang menganjurkan Protect Singapore Townhall melaksanakan hak mereka," kata beliau, sambil menambah acara itu tidak melanggar undang-undang.

Sungguhpun demikian beliau menekankan bahawa pihak berkuasa "akan campur tangan jika berlaku sebarang hasutan dan serangan daripada mana-mana kumpulan oleh mana-mana pihak".

"Kita boleh menjangkakan lebih banyak perkara sedemikian sedang kedua-dua pihak mahu didengari, dan acara-acara seperti ini benar-benar menggambarkan apa yang dikatakan Pemerintah sejak sekian lama - bahawa jika satu-satu pihak menggesa, maka akan ada reaksi tindak balas dan kita sudah melihat perkara seperti ini berlaku di banyak negara," tambah beliau.

"Jika ia berlaku di sini di Singapura...perbezaan itu akan menjejas fabrik sosial kita (dan) mencetuskan banyak bahaya."

Inilah sebab mengapa pemerintah menyokong kesederhanaan dan mengambil langkah berhati-hati dalam menangani isu berkenaan dan "tidak memaksa pendirian yang boleh merosakkan masyarakat", kata Encik Shanmugam.

"Masyarakat sangat percaya antara satu sama lain dan kita harus cuba untuk menangani isu-isu ini dengan minda dan hati terbuka. Elakkan daripada pendirian dan tuntutan yang ekstrem," tambah beliau.

"Ambil langkah ke hadapan, cuba dan kekal bersatu, berusaha menangani perbezaan kita dalam keadaan yang tenang, demi Singapura."

Seksyen 377A sudah mencetuskan banyak perdebatan dan juga cabaran undang-undang selama ini.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan