Skip to main content

Singapura

Seksyen 377A: MUIS sokong langkah Pemerintah tegakkan nilai kekeluargaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan ia menyokong pendekatan Pemerintah untuk terus berbincang berkaitan isu Seksyen 377A dan MUIS akan terus memberikan maklum balas kepada Pemerintah bersandarkan norma dan nilai-nilai agama.

"Kami mengalu-alukan komitmen Pemerintah untuk menegakkan norma dan nilai-nilai kekeluargaan di Singapura kerana ia masih sangat penting dan akan terus begitu. Pada masa yang sama, kita harus terus melayani semua orang dengan rasa hormat dan penuh ihsan," menurut MUIS hari ini (4 Mac).

Kenyataan MUIS itu dikeluarkan sehari selepas Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata di Parlimen pada Khamis (3 Mac) bahawa Pemerintah sedang menimbangkan "huraian terbaik" bagi Seksyen 377A.

Di bawah seksyen itu, hubungan seks sesama lelaki adalah satu kesalahan jenayah. Tiga individu tampil untuk mencabar seksyen berkenaan di mahkamah tetapi rayuan mereka akhirnya turut ditolak Mahkamah Rayuan pada awal minggu ini.

Mengulas tentang perkembangan ini, Encik Shanmugam menegaskan bahawa keluarga heteroseksual kekal sebagai norma sosial dan "pendirian undang-undang sedia ada mencerminkan norma, nilai dan sikap masyarakat".

Pun begitu, "pelbagai sudut pandangan berbeza" mahu dipertimbangkan dan beliau akur dasar-dasar perlu dipinda selaras dengan perubahan yang ada dalam masyarakat.
 

Kenyataan ini dialu-alukan MUIS yang menitikberatkan tentang pentingnya mengekalkan nilai-nilai kekeluargaan mahupun sikap saling hormat-menghormati.

"MUIS akur pentingnya dan wujudnya cabaran dalam memelihara perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat yang terus berubah-ubah - di mana timbul pelbagai pandangan dan amalan berlainan. Kami hargai penekanan Pemerintah terhadap pemeliharaan perpaduan sosial sedang ia menangani kerencaman yang ada supaya masyarakat ini inklusif," menurut MUIS.

Badan penguasa Islam tertinggi itu juga sependapat bahawa undang-undang boleh melindungi semua kumpulan berbeza - walaupun mereka dari keyakinan atau latar belakang yang berlainan.

"Bagi Muslim, (kehidupan) kami berpandukan kepada ajaran dan nilai-nilai moral agama kami, termasuk dalam urusan berkaitan seksualiti, perkahwinan dan pembentukan keluarga sebagai sebuah unit sosial yang penting," ulas MUIS lagi.

Maka itu, MUIS ingin juga terus berganding bahu dengan rakan-rakan untuk memperkukuh institusi keluarga di sini.

Sebuah lagi badan Islam tempatan, iaitu Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), baru-baru ini turut tampil untuk membangkitkan isu LGBT dalam konteks masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Persatuan itu sudahpun berdialog dengan 15 anggota LGBT Muslim dan aktivis LGBT. Ia difahamkan mahu mengeluarkan satu panduan keagaaman berkaitan isu ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita