Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Seksyen 377A: Kepelbagaian pendapat tambah kepada penggubalan dasar yang teliti, kata DPM Heng

Kepelbagaian pendapat adalah sesuatu yang semula jadi dan harus digalakkan, tetapi Singapura mesti tidak membiarkannya "membawa kepada kelumpuhan", kata DPM Heng.

Anggaran Waktu Membaca:
Seksyen 377A: Kepelbagaian pendapat tambah kepada penggubalan dasar yang teliti, kata DPM Heng

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menyampaikan ucapan secara maya di perasmian Expo China-ASEAN ke-18. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Kepelbagaian pendapat menambah kepada penggubalan dan pelaksanaan dasar yang teliti, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (23 Ogos).

Kepelbagaian seumpama itu adalah sesuatu yang semula jadi dan harus digalakkan, tetapi Singapura mesti tidak membiarkannya "membawa kepada kelumpuhan", kata Encik Heng semasa berucap di pelancaran buku 'The Singapore Synthesis: Innovation, Inclusion, Inspiration' oleh ketua Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Ravi Menon.

Buku itu berdasarkan empat Ceramah IPS-Nathan yang disampaikan Encik Menon pada Julai 2021.

DPM Heng berkata Singapura perlu mengambil pendekatan praktikal dan membina bagi membangunkan asas bersama.

"Meskipun nilai-nilai kita mendorong kepercayaan kita, mengambil pendekatan yang terlalu mengikut ideologi dengan mudah boleh membawa kepada kebuntuan," tambah beliau.

Tambah beliau, sedang Singapura mahukan kepelbagaian pandangan dan membahaskan perspektif berbeza, kita juga memerlukan pemimpin dengan wawasan dan keberanian untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

"Sebaik sahaja keputusan itu diambil, tiba masanya untuk bertindak secara bersama dan dengan tegas, dengan kerjasama semua pihak. Kita mesti sekali-sekala menyemak pilihan yang dibuat, bagi melihat sama ada kita dapat melakukan dengan lebih baik lagi," kata DPM Heng.

"Inilah cara bagaimana dijalankan di Singapura, dan membuat kita berjaya."

RAIKAN KEPELBAGAIAN

Dalam ucapannya, DPM Heng menarik perhatian tentang perlunya memastikan wacana itu membina ruang bersama dan bukan menghapuskannya.

"Tentu sekali, kepelbagaian adalah salah satu ciri masyarakat berbilang kaum dan budaya, sesuatu yang harus terus didakapi dan diraikan," kata beliau.

"Tetapi kita tidak perlu melihat jauh ke belakang untuk tahu bahawa keharmonian yang kita raih hari ini bukanlah sesuatu yang harus diambil mudah."

Beliau menambah ada beberapa isu sukar dan penuh emosi yang harus ditangani masyarakat, di peringkat negara dan global.

Isu-isu itu mesti ditangani dengan sensitif dan dengan kesabaran, dengan apapun kemajuan tidak boleh dicapai dengan "menyokong dengan teguh satu sudut pandangan sahaja".

DPM Heng merujuk kepada wacana berhubung Seksyen 377A Kanun Keseksaan, undang-undang zaman penjajahan yang menjatuhkan hukuman bagi hubungan seks sesama lelaki.

Pada Ahad, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan berkata seksyen undang-undang itu akan dimansuhkan, manakala Perlembagaan akan dipinda bagi melindungi definisi perkahwinan daripada dicabar di mahkamah.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan