Skip to main content

Singapura

Sekolah Yayasan Palsi Serebrum Singapura, Politeknik Republik rintis program pembelajaran luar darjah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu perjanjian yang pertama seumpamanya untuk membina sebuah masyarakat inklusif, dimeterai pada Jumaat (20 Okt) antara Politeknik Republik dan Sekolah Yayasan Palsi Serebrum Singapura (CPASS).

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, RP dan CPASS melancarkan sebuah program pembelajaran luar bilik darjah untuk pelajar berkeperluan khas.

PROGRAM TINGKATKAN KEYAKINAN, KEMAHIRAN PARA PELAJAR PALSI SEREBRUM

Dianggarkan lebih daripada 110,000 atau hampir tiga peratus rakyat Singapura mempunyai beberapa bentuk kecacatan.

Ini termasuk palsi serebrum, gangguan neurologi yang menjejaskan pergerakan dan postur.

Program selama tiga tahun itu membolehkan pelajar CPASS mengalami aktiviti luar di Singapura dan perjalanan pembelajaran perkhidmatan ke luar negara semasa tahun akhir program.

Ia juga disesuaikan dengan objektif pembelajaran unik pelajar CPASS untuk melengkapi mereka dengan kemahiran kehidupan yang penting dan kemahiran insaniah, termasuk keyakinan diri, komunikasi, kerja berpasukan, dan penyelesaian masalah.

'

Dalam dua tahun pertama, para pelajar CPASS akan berpeluang melakukan pelbagai kegiatan di Pusat Pembelajaran Xperential (XLC) di Politeknik Republik dan di tempat-tempat lain seperti tapak perkhemahan.

Persekitaran pembelajaran yang selamat dan inklusif untuk pelajar CPASS menjadi keutamaan apabila kakitangan RP dari Sekolah Sukan, Kesihatan dan Riadah merangka program pembelajaran luar berstruktur untuk mereka.

Semua aktiviti disesuaikan dengan kebolehan mereka yang berbeza-beza.

'

Misalnya jumlah batu ditambah pada tembok memanjat untuk memudahkan para pelajar tersebut melakukan aktiviti itu.

"Ini satu usahasama dan program yang baik antara CPAS dan Politeknik Republik. Ia mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk mewujudkan sifat inklusif dalam kehidupan kita.

"Ia juga mempertingkatkan keyakinan diri para pelajar dalam melakukan perkara yang mereka mungkin tidak pernah fikir mereka dapat lakukan. Ia juga memberikan ibu bapa visi bahawa anak-anak mereka juga boleh melakukan kegiatan-kegiatan itu," kata Pengarah Eksekutif CPAS, Cik Latha Kutty.

Sebagai permulaan, lebih 20 pelajar CPASS akan menyertai program selama tiga tahun itu.

'

"Para pelajar dalam program ini dipilih daripada mereka dalam Aktiviti Ko-Korikular (CCA) Renang, Pengakap dan Olahraga. Mereka semuanya berusia tujuh tahun hingga 18 tahun," kata Cik Latha.

Menurut Cik Latha, para pelajar dari CCA sebegitu lebih berdikari secara fizikal, serta mempunyai keupayaan kognitif yang lebih tinggi berbanding rakan-rakan mereka yang lain.

Para pelajar jurusan Pembelajaran Luar dan Pengembaraan (DOAL) RP akan bertindak sebagai fasilitator semasa para pelajar CPASS melakukan kegiatan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RP, Cik Jeanne Liew berkata: "Para pelajar RP akan dapat menggunakan dan memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan yang mereka timba di dalam kelas. Mereka akan dapat menyelaras program-program bagi orang lain dengan keupayaan berbeza. Mereka juga akan dapat pelajari bahawa mereka sendiri memainkan peranan penting dalam kehidupan inklusif."

PEMBELAJARAN LUAR YANG INKLUSIF DAN SERONOK

Antara kakitangan dan pelajar RP yang akan terlibat dalam program tersebut adalah Adibah Farhanah Ramli, 21 tahun.

Adibah merupakan bekas pelajar jurusan DOAL dari RP, dan kini bertugas sebagai Pegawai Keselamatan dan Latihan (TSO) di sana.

Adibah bertanggungjawab memastikan keselamatan para pelajar CPASS semasa menjalani program itu.
'
Adibah berkata: "Kita perlu menyesuaikan peralatan yang digunakan mengikut kepada keperluan mereka. Misalnya, 'carabiner' yang kita gunakan adalah jenis yang dikunci dengan pin. Ini kerana kita tidak mahu apa-apa yang terjadi sekiranya mereka picit atau mengacau peralatan itu," kata Adibah.

Tambahnya, kursus DOAL yang dilaluinya semasa di RP telah mempersiapkan beliau untuk menjalankan tugas nya dengan baik.
itu.

"Kita juga belajar tentang kehidupan secara inklusif. Jadi kita tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan kanak-kanak ini. Dengan cara itu, agak mudah untuk saya gunakan apa yang saya pelajari di dalam diploma saya untuk di tempat kerja," kata Adibah.

Lebih 10 kakitangan dan pelajar RP akan terlibat dalam program sepanjang tiga tahun itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita