Skip to main content

Singapura

Sekolah Vokasional Mountbatten akan ditutup jelang hujung tahun ini

Sekolah Vokasional Mountbatten (MVS) bagi pelajar berkeperluan khas berusia antara 14 dengan 21 tahun akan ditutup pada Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah Vokasional Mountbatten akan ditutup jelang hujung tahun ini

Sekolah Vokasional Mountbatten (MVS), yang menampung pelajar berkeperluan khas berusia 14 hingga 21 tahun, akan ditutup pada Disember ini. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Sekolah Vokasional Mountbatten (MVS) bagi pelajar berkeperluan khas berusia antara 14 dengan 21 tahun akan ditutup pada Disember ini.

Harapan untuk menubuhkan sebuah institusi baharu juga tidak kesampaian, walaupun sebuah tapak baharu berjaya diperolehi dengan bantuan pemerintah.

Beberapa ibu bapa yang dimaklumkan secara rasmi mengenai penutupan sekolah itu pada Jun lalu, memberitahu Mediacorp bahawa mereka bimbang peluang anak-anak mereka untuk membina kehidupan selepas tamat persekolahan kini terancam.

Sekolah itu yang ditubuhkan 50 tahun lalu, bertujuan melengkapkan para belia kurang upaya dengan kemahiran dan keyakinan yang penting untuk mendapatkan pekerjaan dan hidup secara berdikari.

LANDSKAP PENDIDIKAN SUDAH BERUBAH

Sementara itu, pihak berkuasa memberi jaminan pihaknya akan memberi sokongan kepada para pelajar dan keluarga yang terjejas.

Landskap pendidikan dan latihan bagi golongan kurang upaya "sudah berubah dengan ketara sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini", menurut sekolah itu dalam satu kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf).

Ia menambah bahawa perubahan itu menyebabkan jumlah pelajar yang berdaftar di MVS merosot sejak beberapa tahun lalu, selain "cabaran yang semakin meningkat untuk melatih pelajar menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin berkembang".

Mediacorp difahamkan sekolah itu pernah menampung lebih 70 pelajar pada satu-satu masa.

Menyusuli semakan bersama pada 2022, MOE dan SADeaf iaitu agensi khidmat sosial yang mengendalikan MVS, bersetuju untuk menamatkan operasi sekolah tersebut menjelang hujung tahun ini.

Kementerian Pendidikan (MOE) membiayai sebahagian daripada kos mengendalikan sekolah itu.

MVS henti menerima kemasukan pelajar baharu pada Januari lalu untuk memastikan pelajar-pelajar sedia ada dapat menamatkan pengajian mereka tahun ini.

Menjelang penutupan MVS, ahli SADeaf, MVS dan beberapa individu lain mengusulkan pembukaan pusat latihan vokasional baharu yang dinamakan Institut bagi Masa Hadapan Inklusif atau Institute for Inclusive Futures (IIF).

Cadangan itu diharapkan bukan sahaja dapat mengisi kekosongan akibat penutupan MVS, tetapi juga bertujuan mengatasi "jurang selepas usia 18 tahun", di mana ramai golongan kurang upaya hilang tempat bergantung selepas meninggalkan sistem pendidikan.

Sepanjang dua tahun lalu, SADeaf, MSF dan SG Enable meneroka kebolehlaksanaan cadangan itu.

MOE dan MSF juga bantu mendapatkan tapak baharu bagi inisiatif tersebut.

Walaupun dengan usaha-usaha itu, kedua-dua kementerian itu dimaklumkan oleh lembaga pengarah IIF bahawa peralihan itu tidak boleh diteruskan kerana ia melibatkan peralihan operasi yang ketara bagi MVS, menurut kenyataan bersama.

Lembaga IIF dalam satu kenyataan berasingan, menukil pelbagai faktor sebagai sebab menghentikan usaha itu, termasuk kurang kebolehlaksanaan kewangan jangka panjang dan perbezaan pendirian dengan pihak berkuasa yang mahu tumpuan diberikan kepada latihan bagi golongan berusia lebih 21 tahun.

CARI PILIHAN ALTERNATIF

MVS mengadakan majlis tamat pengajian terakhirnya pada 19 Julai.

Mediacorp difahamkan bahawa sekurang-kurangnya 20 pelajar lagi yang dijadual menamatkan pengajian mereka pada hujung tahun ini tidak akan mempunyai majlis rasmi.

PENGAMBILAN PEKERJA YANG INKLUSIF

Ramai graduan MVS meraih manfaat besar daripada pendidikan mereka di sekolah itu.

Antara mereka termasuk alumni yang diambil kerja oleh Siloso Beach Resort dalam pelbagai peranan termasuk pengemasan bilik dan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

Dalam satu kenyataan, pihak resort menyatakan bahawa ramai graduan MVS sudah menerima latihan dalam perkhidmatan F&B sebagai pelayan, pencuci pinggan, tukang kemas, pembersih dan pembantu hotel.

“Mereka diberi peluang untuk mencuba pelbagai jenis peranan, tetapi peranan yang kekal bagi mereka bergantung kepada kebolehan dan minat masing-masing.”

Resort itu, yang hanya baru-baru ini dimaklumkan mengenai penutupan MVS, menyatakan bahawa syarikat yang mengamalkan pengambilan kerja inklusif dapat memanfaatkan bakat yang lebih luas serta membentuk budaya tempat kerja yang lebih sihat.

“Tetapi bagi syarikat kami, sebab yang lebih penting ialah ia memberi makna kepada apa yang kami lakukan, kerana jika kami mahu memberi semula kepada masyarakat, inilah antara cara paling berkesan untuk memberi impak,” tambahnya.

“Kami dapat lihat sendiri kesannya terhadap kehidupan mereka, bagaimana pekerjaan yang bermakna dan keupayaan untuk menyara diri meningkatkan kesejahteraan dan keyakinan diri mereka.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita