Skip to main content

Singapura

Sekolah Sukan Singapura pecat jurulatih badminton setelah siasatan ke atas kematian pelajar dedah pelanggaran protokol keselamatan

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah Sukan Singapura pecat jurulatih badminton setelah siasatan ke atas kematian pelajar dedah pelanggaran protokol keselamatan

Pelajar Sekolah Sukan Singapura Pranav Madhaik meninggal dunia pada 11 Oktober 2023 selepas dia dimasukkan ke hospital berikutan ujian kecergasan yang dijalaninya enam hari sebelumnya. (Gambar: Raj Verma)

SINGAPURA: Siasatan ke atas kematian Pranav Madhaik, seorang atlit-pelajar Menengah 2 di Sekolah Sukan Singapura, mendedahkan kelemahan langkah-langkah keselamatan.

Ini memandangkan jurulatih badminton terbabit gagal untuk memeriksa kebajikannya sebelum meninggalkan litaran tersebut.

Jurulatih terbabit sudahpun diberikan notis pemecatan.
Pelajar berusia 14 tahun itu, yang merupakan sebahagian daripada akademi badminton sekolah tersebut dilaporkan ada impian untuk menjadi seorang juara Olimpik.

Pranav berasa kurang sihat selepas menjalani ujian kecergasan 400 meter pada 5 Oktober lalu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima panggilan meminta bantuan pada sekitar 6.50 petang pada hari yang sama.

Pranav dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan meninggal dunia pada Rabu (11 Okt).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu (14 Okt), Sekolah Sukan Singapura membentangkan garis masa sehingga kematian mendiang remaja itu serta hasil dapatan siasatan yang dijalankan.

Setelah menyelesaikan sesi ujian masanya pada 11 Oktober pada kira-kira 6.26 petang, Pranav mengadu kepada jurulatih badmintonnya bahawa dia berasa kurang sihat.

Ujian masa dan sesi penyesuaian adalah sebahagian daripada rancangan latihan atlit-pelajar, menurut sekolah itu.

Pranaz berehat di satu sudut di titik permulaan litaran sementara jurulatihnya menguruskan data percubaan-masa di telefon bimbitnya.

Dia kemudian meninggalkan kawasan tersebut untuk memberi taklimat kepada atlit-pelajar yang lain mengenai hal-hal pertandingan, tanpa menyedari bahawa Pranav masih berehat di lokasi yang sama.

Jurulatih itu seterusnya meninggalkan premis sekolah berkenaan selepas selesai menyampaikan taklimat.

Jurulatih badminton tersebut sepatutnya memeriksa Pranav demi memastikan kebajikannya sebelum meninggalkan kawasan berkenaan, menurut sekolah itu.

Dia tidak mengambil kira kesemua atlit-pelajarnya sebelum menamatkan latihan, tidak sejajar dengan protokol keselamatan sekolah tersebut.

"Sekolah Sukan Singapura memandang serius terhadap hal ini. Jurulatih itu telah diberikan notis pemecatan," nyatanya.

"Sekolah itu juga sedang menyemak semula dan mengukuhkan kesemua protokol keselamatannya, dan menekankan kepada jurulatih dan kakitangan tentang peri pentingnya untuk mematuhi protokol."

Sedang Pranav berehat, dia berinteraksi dengan dua kumpulan atlit-pelajar yang lalu di situ.

Ada daripada mereka yang mendekatinya, menurut perkongsian mereka, dan tidak nampak apa-apa yang aneh tentang Pranav ketika itu.

Kumpulan terakhir berinteraksi dengan Pranav pada kira-kira 6.35 petang.

Sekitar 5 minit kemudian, seorang jurulatih balapan dan padang yang sedang lalu di situ, ternampak Pranav di tepi litaran tersebut lalu bertanya tentang keadaannya.

Jurulatih itu menyuruh seorang atlit-pelajar untuk mengambil air bagi remaja tersebut. Setelah kembali dengan air, atlit-pelajar itu pergi sekali lagi untuk mendapatkan air sejuk atas permintaan Pranav.

Jurulatih balapan dan padang itu kemudian mendapati Pranav tidak dapat berdiri meskipun dengan bantuan atlit-pelajar yang lain, dan mengarahkan kakitangan sekolah tersebut untuk membantu pada 6.45 petang.

Ambulans dipanggil sekitar 6.50 petang dan kakitangan sekolah tersebut menghubungi ibu bapa Pranav sekitar tiga minit kemudian.

Ambulans berkenaan tiba pada kira-kira 7.02 malam dan membawa remaja itu ke Hospital Universiti Nasional pada 7.19 malam.

Pranav diiringi dalam ambulans oleh jurulatih badminton tersebut, yang kembali selepas meninggalkan premis sekolah itu pada mulanya.

Pranav dimasukkan ke hospital dan diberi jagaan perubatan, tetapi meninggal dunia pada 11 Oktober.

Punca kematiannya adalah serangan jantung dengan sejarah kecacatan kongenital saluran koronari, menurut sekolah itu.

Sekolah itu menambah bahawa ia sudah berjumpa dengan ibu bapa Pranav pada Jumaat lalu dan berkongsi dengan mereka hasil dapatan tersebut.

Sekolah itu mengutuskan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang Pranav, dan akan menyokong keluarga itu dalam masa sukar ini.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita