Skip to main content

Singapura

Sekolah SG tambah kandungan anti-vape dalam pelajaran sains, CCE

Apa yang akan anda lakukan jika rakan anda menyerahkan vape dan meminta anda untuk menyembunyikannya di dalam poket – dan berlakunya pemeriksaan beg secara rawak?

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah SG tambah kandungan anti-vape dalam pelajaran sains, CCE

Para pelajar mempelajari tentang etomidate dalam kelas sains di Sekolah Presbyterian High pada 22 Oktober 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

SINGAPURA: Apa yang akan anda lakukan jika rakan anda menyerahkan vape dan meminta anda untuk menyembunyikannya di dalam poket – dan berlakunya pemeriksaan beg secara rawak?

Itu merupakan antara senario yang dibincangkan oleh para pelajar sekolah menengah di Singapura dalam sesi Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) yang diperhatikan oleh kumpulan wartawan pada Rabu (22 Okt).

Beberapa pelajar berkata mereka akan menolak permintaan rakan tersebut walaupun boleh menjejaskan hubungan persahabatan, dan sebaliknya akan bertanya sama ada rakan itu menghadapi masalah atau menasihatinya untuk mendapatkan bantuan dengan cara yang selamat.

Sejak September, sekolah rendah, sekolah menengah dan maktab rendah sudah menerima bahan tambahan anti-vape dalam pelajaran sains, termasuk maklumat terkini tentang etomidate dan kesan buruknya.

Sebagai sebahagian daripada kurikulum, para pelajar belajar tentang bahaya produk tembakau dan mitos yang lazim dikaitkan dengan vape.

Dalam kelas sains pada Rabu, pelajar Menengah 3 di Sekolah Presbyterian High menonton video dan mempelajari tentang pelbagai bahan kimia yang dijumpai dalam cecair vape.

Seorang guru turut menjelaskan cara alat vape berfungsi, sebelum menayangkan video mengenai sebab pemerintah Singapura mengklasifikasikan etomidate sebagai dadah Kelas C.

Etomidate, bahan anestetik yang ditemui dalam vape campuran dadah seperti Kpod, disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah mulai 1 September, tarikh yang sama di mana hukuman lebih berat terhadap penyalahguna dan pembekal vape mula dikuatkuasakan.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 60 individu sudah dimasukkan ke dalam program pemulihan menerusi Institut Kesihatan Mental (IMH), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan agensi perkhidmatan sosial.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), kandungan baharu itu turut merangkumi penjelasan saintifik tentang ketagihan, bagi membantu para pelajar memahami bagaimana tabiat berkenaan vape boleh membawa kepada kebergantungan.

Ia juga menyediakan “panduan praktikal” tentang bagaimana para pelajar boleh diajar untuk menolak pelawaan untuk mencuba vape.

Pelajar Muhammad Harith Firas Ismael, 15 tahun, pada awalnya menyangka vape dan rokok sama-sama berbahaya, tetapi kemudian menyedari bahawa vape mungkin boleh menjadi lebih buruk disebabkan oleh maklumat salah yang tersebar.

“Ia berpunca daripada maklumat yang tidak lengkap. Ramai fikir ia kurang berbahaya, jadi mereka rasa tidak mengapa untuk mencubanya,” katanya.

Beliau turut terkejut apabila mengetahui vape boleh mengandungi etomidate, yang boleh menyebabkan halusinasi, keadaan mengantuk, dan kehilangan kawalan tubuh.

“Saya pernah kenal seseorang yang pernah menghisap vape, dan saya belajar daripada dia bahawa ia sangat teruk,” kata remaja itu. “Selain rasa malu dipanggil penghisap vape, dia juga tidak dapat berhenti dan mengalami masalah kesihatan yang serius.”

Ketua Jabatan Sains Presbyterian High, Heng Hui Peng, yang mengendalikan kuiz tentang fakta dan mitos vape, berkata pelajar cenderung mengikut jawapan rakan mereka jika tidak pasti.

“Inilah yang membimbangkan, kerana apabila mereka hanya ikutkan kawan, maklumat salah boleh tersebar dengan cepat dalam kalangan belia,” kata beliau. “Sebab itulah mendidik mereka dengan fakta yang betul menjadi tanggungjawab kami.”

Menurut MOE, sejak 2014, pelajaran CCE turut memasukkan strategi kemahiran sosial dan emosi seperti kawalan diri dan penyelesaian masalah.

“Ini termasuk senario yang melibatkan tingkah laku berisiko, di mana para pelajar belajar tentang daya tahan diri dan memilih aktiviti atau tabiat sihat berbanding yang berbahaya, termasuk di luar isu vape,” menurut kementerian itu.

Dalam satu lagi senario yang diperhatikan Mediacorp, para pelajar ditanya: “Apa yang anda akan lakukan jika kakak anda yang sering menghisap vape mengajak anda mencubanya untuk kurangkan tekanan menjelang peperiksaan?”

Seorang pelajar berkata dia akan berasa “terkejut dengan keadaan yang tidak menyenangkan” jika ahli keluarga sendiri mencadangkan perkara tersebut, manakala seorang lagi berkata dia akan menasihati kakaknya bahawa “ada cara lebih baik untuk bertenang.”

Pelajar Anag Zoanne Sarah Ordonio, 15 tahun, berkata dia akan berasa sedih jika ahli keluarganya bercakap tentang perkara sedemikian.

Beliau menambah bahawa dia mempunyai seorang rakan yang masih menggunakan vape, dan menyedari bagaimana vape boleh merosakkan hubungan dengan keluarga dan rakan.

“Saya rasa penting untuk kita dekati mereka dan memahami masalah mereka, bukan sekadar kata ‘tak boleh buat sebegini’,” kata beliau.

Ketua subjek CCE sekolah itu, Hshieh Szu An, berkata pelajaran hari itu membantu pelajar merenung dan "mendalami" sebab sebenar seseorang mungkin tergoda untuk mencuba vape, akibat "pengaruh atau kerumitan hidup yang berbeza-beza".

“Tetapi selepas itu, apa yang mereka boleh lakukan ialah membuat keputusan berdasarkan nilai diri dan mengingat siapa mereka, apa yang mereka mampu lakukan, dan bagaimana mereka boleh menyokong orang lain juga.”

Beliau menambah, kebanyakan belia sudah tahu tentang kesan buruk vape, tetapi membincangkan senario kehidupan sebenar memberi peluang kepada mereka untuk menilai pilihan ketika menghadapi dilema.

“Kami mahu mereka dilengkapi dengan kemahiran... apa langkah yang boleh mereka ambil sebelum membuat keputusan,” kata beliau.

Walaupun isu vape bukan suatu perbincangan yang baharu di sekolah, peningkatan penggunaan vape bercampur dadah dalam kalangan belia "mendorong" sekolah untuk meningkatkan usaha dalam mendidik para pelajar, tambah beliau.

MOE turut memaklumkan bahawa semua sekolah kini mempunyai struktur sokongan rakan sebaya.

Tahun lalu, HPB melancarkan program perintis untuk melatih para pelajar sebagai duta anti-vape dalam tiga kumpulan berpakaian seragam.

Setakat Oktober 2025, lebih 250 pelajar daripada 35 sekolah sudah dilatih dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mempromosikan gaya hidup bebas vape dalam kalangan rakan sebaya.

Para pelajar tersebut mengikuti kursus latihan online selama dua jam yang merangkumi pendekatan kawal selia Singapura terhadap produk nikotin, bahaya vape, trend semasa remaja berhubung vape, serta strategi pemasaran syarikat vape untuk menyasarkan golongan muda, tambah HPB.

Mereka juga diajarkan kemahiran asas bagi pengurusan projek untuk menganjurkan aktiviti kesedaran di sekolah dan diberikan maklumat tentang bantuan yang tersedia untuk berhenti menghisap vape.

“Duta pelajar bebas vape ini akan berinteraksi dengan rakan mereka untuk menyebarkan mesej anti-vape yang relevan dan mengarahkan mereka kepada sokongan untuk berhenti menghisap vape apabila perlu.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita