Skip to main content

Singapura

Sekolah SG akan terap kandungan antidadah dalam lebih banyak subjek sedang jumlah penyalah guna muda meningkat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Feb 2024 07:56PM Dikemas Kini : 29 Feb 2024 09:41PM
SINGAPURA: Dengan peningkatan pada jumlah penyalah guna dadah baharu berusia bawah 30 tahun di Singapura, para pelajar akan mula belajar tentang bahaya dadah melalui lebih banyak mata pelajaran di sekolah, umum Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Khamis (29 Feb).

Meskipun kandungan antidadah sudahpun diajar dalam pembelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) dan sains, ia akan diperluaskan kepada subjek-subjek lain. Ini termasuk Kertas Am (General Paper), yang baru-baru ini diwajibkan ke atas para pelajar di maktab rendah dan Institut Millennia.

Mulai tahun ini, Singapura juga akan mengisytiharkan hari untuk memperingati mangsa perdagangan dadah yang "lumayan", termasuk penyalah guna dan orang tersayang mereka.

Encik Shanmugam membentangkan rancangan tersebut semasa Parlimen membahaskan peruntukan kementeriannya bagi 2024 menyusuli perbahasan di Parlimen mengenai Belanjawan 2024.

Antara topik-topik yang disentuhnya termasuk penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda - terutamanya dari segi ganja - dan penipuan, yang membentuk sebahagian besar jenayah di Singapura.

Usaha memperluaskan pembelajaran antidadah di sekolah adalah antara tiga inisiatif yang diperkenalkan oleh sebuah jawatankuasa berbilang kementerian, yang memberi tumpuan kepada pencegahan dadah dalam kalangan belia.

Jawatankuasa itu, yang dipengerusikan oleh Encik Shanmugam, ditubuhkan tahun lalu selepas satu tinjauan yang dijalankan ke atas lebih 6,000 penduduk Singapura oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) mendedahkan bahawa usia purata mereka yang mula mengambil dadah adalah 15.9 tahun.

Sebahagian besar responden yang mengatakan bahawa mereka pernah mengambil dadah juga menyebut ganja sebagai dadah pertama yang diambil.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 14 Feb, jumlah penyalah guna dadah baharu yang diberkas berusia bawah 30 tahun, meningkat buat pertama kali sejak 2019, naik sebanyak 20 peratus dalam masa setahun.

Antara remaja tersebut termasuk lima remaja berusia 14 tahun, yang merupakan pesalah termuda yang akan diberkas.

Pada Rabu, Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa semua sekolah menengah sudah selesai menjalani sekurang-kurangnya satu sesi pendampingan pendidikan pencegahan dadah dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Di peringkat sekolah rendah, seramai 42,000 murid daripada 116 sekolah mengambil bahagian dalam aktiviti duta antidadah tahun lalu. Ini adalah acara tahunan yang disasarkan kepada para murid sekolah rendah atas, yang terdiri daripada aktiviti buku panduan dengan mesej antidadah dan peraduan montaj antidadah.

Kandungan antidadah pertama kali disertakan ke dalam kurikulum CCE bagi para pelajar Menengah 1 dan Menengah 3 masing-masing pada tahun 2021 dan 2022.

HARI PERINGATI MANGSA DADAH

Satu lagi inisiatif yang diperkenalkan oleh jawatankuasa berbilang kementerian itu merupakan Hari Memperingati Mangsa Dadah, mulai tahun ini. Ia akan diperingati setiap Jumaat ketiga bulan Mei.

Pemerintah, sekolah dan institut pengajian tinggi akan menganjurkan pelbagai aktiviti, dengan lebih banyak perincian akan didedahkan tidak lama lagi.

Encik Shanmugam turut memberitahu Parlimen: "Aktivisme biasanya memberi tumpuan kepada pengedar dadah dan hukuman mereka, tetapi terdapat beribu-ribu orang lain yang harus kita fikirkan.

"Mereka ini adalah mangsa pengedar dadah dan perdagangan dadah yang lumayan: penagih yang menderita, keluarga mereka, orang tersayang. Mereka dilupakan dalam aktivisme, tetapi kita mesti memperingati mereka dan kita mesti mengingati penderitaan yang telah mereka lalui, dan bahaya yang telah dilakukan oleh dadah ke atas mereka dan keluarga mereka".

Encik Shanmugam juga mendedahkan bahawa pemerintah akan meningkatkan usaha pendidikan pencegahan dadah bagi anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF), dan melengkapkan komander NS untuk mengenal pasti dan menyokong penyalah guna dadah serta mereka yang berisiko.

UJIAN RAMBUT DIJADIKAN KAEDAH PENGESANAN

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim menarik perhatian kepada bagaimana sokongan akan dipertingkatkan bagi para penyalah guna dadah yang sedang menjalani pemulihan.

Beliau mendedahkan bahawa CNB merancang untuk "secara dasarnya menggantikan" ujian air kencing dengan ujian rambut sebagai kaedah pengesanan dadah bagi bekas penyalah guna dadah di bawah pengawasan CNB.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita