Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah-sekolah siap sokong pendidikan wajib bagi semua pelajar berkeperluan khas

Akta Pendidikan Wajib akan diluaskan bagi meliputi juga kanak-kanak berkeperluan khas tahap sederhana hingga serius mulai tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah-sekolah siap sokong pendidikan wajib bagi semua pelajar berkeperluan khas
Diterbitkan : 02 Dec 2018 04:41PM Dikemas Kini : 02 Dec 2018 07:18PM

SINGAPURA: Akta Pendidikan Wajib akan diluaskan bagi meliputi juga kanak-kanak berkeperluan khas tahap sederhana hingga serius mulai tahun depan.

Menjelang pelaksanaannya, beberapa sekolah yang ditemui Mediacorp menyatakan mereka mempunyai sumber-sumber yang mencukupi untuk menampung kanak-kanak sedemikian.

Akta itu mewajibkan kanak-kanak menyempurnakan pendidikan sekolah rendah.

Tenaga kakitangan, kemudahan dan keperluan penjagaan lain sudah disiapkan di sekolah pendidikan khas MINDS Towner Gardens yang menjangkakan kemasukan lebih ramai murid apabila Akta Pendidikan Wajib diluaskan tahun depan.

Ia akan memastikan semua pemohon yang berkeperluan khas tahap sederhana hingga serius akan mendapat tempat di sekolah ini.

Buat masa ini, MINDS Towner Gardens mempunyai kira-kira 200 pelajar dan lebih 60 guru serta pembantu.

Pengetua Sekolah Mathew Ou berkata sekolah-sekolah pendidikan khas atau SPED mengajar kanak-kanak kemahiran untuk berdikari. Para pelajar juga dihantar untuk menjalani latihan amali bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan kelak.

SEBAHAGIAN BESAR PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS BELAJAR DI SEKOLAH BIASA

Menurut MOE, sekitar 20 peratus pelajar berkeperluan khas menuntut di sekolah-sekolah SPED. Baki 80 peratus lagi atau hampir 24,000 pelajar menuntut di sekolah-sekolah biasa.

Kebanyakan mereka mengalami keadaan keperluan khas tahap rendah seperti disleksia.

Di Sekolah Hong Wen, kebanyakan pelajar berkeperluan khasnya mengalami disleksia. Ia mengendalikan satu program pencelahan khusus bagi kanak-kanak itu empat kali seminggu.

Seorang guru terlatih akan menjadi pemudah acara dalam kumpulan-kumpulan lima hingga enam pelajar.

Di samping itu, sekolah tersebut juga memantau para pelajar yang mungkin menghadapi masalah pembelajaran.

Biarpun sudah dilengkapi dengan prasarana khusus, ia lebih memilih untuk menggalakkan interaksi seperti biasa dalam kalangan semua pelajarnya. 

Sumber : CNA/FZ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan