Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah-sekolah harus sedia bincang isu-isu perkauman terkini kata Dr Maliki

Dr Maliki berkata sekolah-sekolah harus bersedia untuk membawa isu-isu perkauman bagi dibincangkan para pelajar bersama dengan guru-guru. Yang pasti, pendekatan berbeza-beza kini diambil dalam pengajarannya dari peringkat prasekolah lagi hinggalah ke maktab rendah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman berkata sekolah-sekolah harus bersedia membawa isu-isu perkauman terkini untuk dibincangkan oleh para pelajar dengan guru-guru.

Sekolah-sekolah juga mesti menjadi tempat untuk mendidik para pelajar berhubung topik kepelbagaian khususnya isu-isu perkauman sedang pendekatan berbeza-beza kini diambil dalam pengajarannya dari peringkat prasekolah lagi hinggalah ke maktab rendah.

Beliau berkongsi dengan dalam satu wawancara dengan BERITAmediacorp sedang pelbagai insiden berbaur perkauman hangat diperbincangkan dan mendapat sorotan besar khususnya di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Ini menyebabkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam amanat Hari Kebangsaan beliau pada Isnin (9 Ogos), menyifatkannya sebagai "membimbangkan" walaupun ia bukan suatu norma. Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jun lalu juga akur bahawa ada lebih banyak insiden perkauman tahun ini yang "besar kemungkinan" disebabkan tekanan dari COVID-19.

Pada zaman media sosial sekarang ini, para pelajar sejak kecil lagi terdedah kepada pelbagai isu termasuklah kandungan insiden perkauman yang boleh menggugat fabrik sosial masyarakat majmuk Singapura.

Lantaran itu, Dr Maliki menekankan peri pentingnya menjadikan sekolah sebagai tempat bagi membimbing para pelajar memahami isu-isu berkenaan.

"Dari segi insiden-insiden yang mungkin berlaku dari masa ke masa, kita tahu bahawa ruang sekolah merupakan ruang yang penting bagi anak-anak kita memahami apakah erti kepelbagaian dan bagaimana kita boleh meraih keuntungan daripada kepelbagaian ini.

"Kepelbagaian bukan sesuatu yang negatif tetapi sesuatu yang positif bagi negara kita," ujar Dr Maliki.

PENDEKATAN PELBAGAI DIAMBIL MOE

Dr Maliki menjelaskan, Kementerian Pendidikan (MOE) mengambil pelbagai pendekatan untuk mendidik para pelajar mengenainya di peringkat berbeza-beza.

Bagi peringkat prasekolah, anak-anak kecil lebih didedahkan kepada kepelbagaian kaum dalam negara seperti melakukan lawatan ke tempat-tempat penting setiap kaum.

Para pelajar sekolah rendah pula terlibat dalam pelbagai kegiatan seharian yang menggalakkan pergaulan antara kaum.

"Bagi mereka yang lebih dewasa di peringkat sekolah menengah misalannya, aktiviti termasuk perbincangan tentang apakah isu-isu perbezaan dan sebagainya dan kadang-kadang, kita harus melihat keadaan yang berlaku hari ini.

"Jika terdapat misalannya baru-baru ini kita lihat berita-berita, insiden-insiden yang berbaur perkauman misalnya, kita harus bersedia untuk membawa isu-isu ini dibincangkan para penuntut kita bersama dengan guru-guru," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

DR MALIKI: PERLU ADA "RUANG SELAMAT"

Namun begitu Dr Maliki menambah bagi memastikan keberkesanan kegiatan dan perbincangan sedemikian, sekitaran yang selamat di sekolah-sekolah perlu diwujudkan terlebih dahulu.

Mentelah lagi, isu kaum merupakan sesuatu yang sensitif dan berisiko menyinggung perasaan para pelajar mahupun guru, menurutnya.

"Ini adalah satu aspek yang sensitif yang harus kita fahami dan insiden-insiden yang berlaku sebelum ini menunjukkan betapa sensitif isu-isu ini.

"Dan yang penting adalah kita memberi ruang di sekolah untuk mereka membincangkan isu-isu ini dalam keadaan yang selamat di mana guru-guru telah dilatih untuk memberi peluang untuk mereka meluahkan kekata-kekata yang saling menghormati," kata beliau.

Latihan-latihan lanjutan terus disediakan bagi guru-guru, tambah Dr Maliki, supaya mereka berupaya menangani isu-isu kontemporari dihadapi "para pelajar zaman media sosial" ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa