Skip to main content

Singapura

Sekolah Rendah Xishan juara Mutiara Tari 2025

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gerak tari yang bertenaga, penuh dengan kesantunan, dan digayakan dengan busana tradisional yang mempesonakan - pasukan dari Sekolah Rendah Xishan berjaya menawan hati para juri dan dinobatkan sebagai juara Mutiara Tari 2025.

Diadakan buat kali ketiga, kali ini sebahagian daripada SG60Bersama, Wisma Geylang Serai (WGS) dengan kerjasama Sri Warisan Performing Arts Ltd menganjurkan pertandingan tarian Melayu itu di Persada Budaya WGS pada Sabtu (19 Jul).
 

Mutiara Tari 2025 tampilkan kategori sekolah rendah buat pertama kalinya. (Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Buat julung-julung kalinya, acara ini menampilkan kategori sekolah rendah dengan penyertaan sekitar 13 sekolah merata Singapura.

Ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya yang lebih tertumpu kepada sekolah menengah dan peringkat tinggi.

SEKOLAH RENDAH XISHAN DINOBAT JUARA

Sekolah Rendah Xishan dinobatkan sebagai Juara Mutiara Tari 2025. (Gambar: Wisma Geylang Serai)

Bagi salah seorang penari dari pasukan Sekolah Rendah Xishan, kemenangan itu merupakan satu kenangan manis bagi pasukannya.

"Saya berasa sangat gembira untuk memenangi nombor satu untuk Mutiara 2025 hari ini. Memenangi hari ini membuat kami semua berasa bangga dan ini salah satu memori untuk 2025," ujar Raisha Sufiya, 11 tahun, yang bersama rakan-rakan pasukannya mempersembahkan tarian Mekar Kasih buat pertandingan itu.

Kemenangan tersebut juga tidak datang dengan mudah, melibatkan latihan intensif sebelum ke pentas pertandingan.

"Kami harus berlatih bersungguh-sungguh setiap hari Khamis. Walaupun kami berasa sangat takut hari ini, (tetapi) kami berasa sangat berjaya," kongsi Raisha lagi.

PRESTASI 13 SEKOLAH MENAKJUBKAN

Para juri Mutiara Tari 2025, termasuk Ketua Juri, Fathurrahman Said (kedua dari kanan). (Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)
Setiap sekolah mempersembahkan tarian Melayu selama tiga hingga lima minit, berdasarkan salah satu daripada lima bentuk tarian tradisional Melayu seperti Zapin, Joget, Inang, atau Asli.

Mereka juga dinilai berdasarkan pelaksanaan teknikal, keaslian, persembahan, dan interpretasi kreatif.

"Apa yang kami nilai adalah mengikut wirasa, wiraga, dan wirama yang kami dapat lihat dalam pembentangan anak-anak itu. Dan juga koreografi dan busana yang ditampilkan penari itu, sama ada busana itu kena atau tidak dengan tarian yang ditampilkan dan pembentangan setiap penari itu baik baik dan menyerlah daripada yang lain," kongsi Ketua Juri, Encik Fathurrahman Said.

Encik Fathurrahman, yang juga seorang koreografer dan alumni Mutiara Tari itu turut kagum melihat prestasi para peserta cilik tahun ini.

"Prestasi 13 sekolah ini sungguh menakjubkan. Semua peserta bekerjasama antara satu sama lain, daripada sekolah, guru-guru jurulatih hingga murid-murid secara keseluruhannya," kongsi Encik Fathurrahman.

KEKAL KUATKAN JATI DIRI SEBAGAI ANAK MELAYU MUDA MASA KINI
Pengarah Kreatif Sri Warisan, Cik Marina Yusoff. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Mutiara Tari 2025 merupakan inisiatif masyarakat bagi memelihara dan melestarikan warisan budaya Melayu kepada generasi akan datang.

Tambah Pengarah Kreatif Sri Warisan, Cik Marina Yusoff, ia juga merupakan satu lagi wadah bagi sekolah-sekolah mempamerkan tarian Melayu, selain di peringkat Festival Belia Singapura (SYF).

"Dengan memasuki pertandingan-pertandingan seperti ini, antaranya Mutiara Tari, saya rasa para pelajar dapat meningkatkan taraf cara mereka menghargai seni tari budaya Melayu itu sendiri," kongsi Cik Marina kepada BERITA Mediacorp.

"Dalam masa yang sama, ia juga dapat mengekalkan dan menguatkan jati diri mereka sebagai anak-anak Melayu muda masa kini untuk lebih berbangga menjadi orang Melayu yang faham tentang seni tari itu sendiri," tambahnya.

PENTING LESTARIKAN SENI TRADISIONAL DI TENGAH ARUS KEMODENAN

Persembahan tarian beramai-ramai di atas pentas, disertai Anggota Parlimen, Sharael Taha. (Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Dalam meraikan SG60 tahun ini, Cik Marina turut berkongsi peri pentingnya memastikan seni tradisional seperti tarian Melayu terus hidup dan dilestarikan.

"Ini antara kegiatan yang harus terus dilestarikan kerana kalau kita lihat dalam zaman canggih, zaman kemodenan dengan teknologi dan sebagainya, seni budaya ini harus terus dikekalkan dan diperkembangkan seperti nilai-nilai murni seperti kesantunan, adab, sesuatu yang mungkin banyak yang telah hilang," ujar Cik Marina.

Selain pertandingan, para penari turut disertai oleh tetamu kehormat, Anggota Parlimen Sharael Taha, dalam satu persembahan tarian beramai-ramai di atas pentas.

Acara itu dihadiri sekitar 1,000 peserta, termasuk keluarga, pendidik, pemimpin masyarakat serta para peminat seni.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita