Skip to main content

Singapura

Sekolah Rendah Townsville, Damai akan dipindahkan pada 2029 dek permintaan kian meningkat bagi tempat kosong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 May 2025 03:15PM Dikemas Kini : 14 May 2025 11:49PM

Sekolah Rendah Townsville, Damai akan dipindahkan pada 2029 dek permintaan kian meningkat bagi tempat kosong

<<Sekolah Rendah Townsville akan berpindah dari Ang Mo Kio Avenue 10 ke persimpangan antara Canberra Walk dengan Canberra Crescent di Sembawang. Sekolah Rendah Damai pula akan berpindah dari Bedok Reservoir Crescent ke Tampines Street 64.>>




SINGAPURA: Dua sekolah rendah akan dipindahkan pada 2029 bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi tempat di East Canberra dan Tampines North, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (14 Mei).

Sekolah Rendah Townsville akan berpindah dari Ang Mo Kio Avenue 10 ke persimpangan antara Canberra Walk dengan Canberra Crescent di Sembawang.

Sekolah Rendah Damai pula akan berpindah dari Bedok Reservoir Crescent ke Tampines Street 64, bersebelahan dengan Stesen MRT Tampines North yang akan datang di Laluan Rentas Pulau.

Tiada pendaftaran Darjah 1 akan dibuka untuk kedua-dua sekolah dari 2025 hingga 2027.

Kedua-dua sekolah akan menerima kumpulan pertama murid Darjah 1 di kampus baharu mereka pada 2029 melalui pendaftaran Darjah 1 2028.

MOE menyatakan bahawa akan ada tempat yang mencukupi di Ang Mo Kio dan Bedok bagi semua kanak-kanak Darjah 1 yang tinggal berhampiran lokasi sedia ada Sekolah Rendah Townsville dan Sekolah Rendah Damai.

Bagi mengurangkan gangguan terhadap murid sedia ada di kedua-dua sekolah, kampus sedia ada mereka di Ang Mo Kio dan Bedok akan terus beroperasi sehingga 2030, membolehkan para murid untuk menyelesaikan persekolahan mereka di lokasi sedia ada sekolah mereka.

Ini bermakna kedua-dua sekolah akan beroperasi dari dua kampus pada 2029 dan 2030.

Kampus baharu Sekolah Rendah Townsville adalah 14.1km dari lokasi sedia ada, manakala Sekolah Rendah Damai yang baharu adalah kira-kira 5.2km dari lokasi lamanya.

Pada 2023, Sekolah Rendah Guangyang bergabung dengan Sekolah Rendah Townsville, dengan sekolah baharu itu mengekalkan nama dan lokasi terakhirnya.

TADIKA MOE, SEKOLAH RENDAH BAHARU

MOE mengumumkan rancangan pada 2022 untuk membuka tadika MOE di kampus Ang Mo Kio Sekolah Rendah Townsville.

Tadika MOE itu tidak akan dibuka seperti yang dirancang kerana Sekolah Rendah Townsville akan dipindahkan ke East Canberra.

Sudah ada "bekalan tetap" (steady supply) bagi tempat prasekolah di East Canberra, termasuk tiga tadika MOE dalam lingkungan 1 kilometer dan 2 kilometer dari kampus baharu Sekolah Rendah Townsville, dedah kementerian itu.

"Permintaan untuk tempat prasekolah di Ang Mo Kio akan terus dipenuhi oleh prasekolah sedia ada di kawasan itu," menurut MOE, sambil menambah bahawa kawasan Ang Mo Kio juga mempunyai tiga tadika MOE.

MOE sebelum ini telah mengumumkan pembukaan tadika baharu MOE di Tampines North pada 2029.

Ia akan ditempatkan di tapak baharu Sekolah Rendah Damai.

Kementerian itu juga menyatakan pada 

Rabu (14 Mei) bahawa dua sekolah rendah baharu akan ditubuhkan di Chencharu di Yishun dan North Coast di Woodlands, menjelang 2031.

Ini akan "menampung anak-anak keluarga yang berpindah ke kawasan tersebut dalam masa beberapa tahun akan datang".

"Maklumat lanjut mengenai sekolah rendah baharu akan dikongsikan apabila ia sudah disediakan," menurut MOE.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita