Sekolah Rendah Tao Nan anjur program silang budaya sempena Aidiladha
SINGAPURA: Sambutan perayaan yang diraikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama di negara ini, akan membolehkan masyarakat majmuk di negara ini berinteraksi secara sensitif dan rasa hormat.
Atas dasar itu, Sekolah Rendah Tao Nan menganjurkan program pendidikan mengenai sambutan Hari Raya Haji, bagi para pelajarnya.
"Pelajar kami adalah sebahagian daripada masyarakat majmuk Singapura. Justeru, kami percaya bahawa mereka perlu memahami kaum-kaum lain seperti Melayu, India dan Serani," menurut Ketua Jabatan Pembangunan Perwatakan dan Kewarganegaraan, Sekolah Rendah Tao Nan Cik Lorraine Alcantra.
"Ini akan membolehkan mereka untuk berinteraksi secara sensitif dengan individu dari kaum dan agama yang berbeza," kata Cik Alcantra sambil menambah selain memupuk persefahaman lebih mendalam mengenai perbezaan perayaan tahunan seperti Hari Raya Haji dan Hari Raya Aidilfitri, program itu juga bertujuan membangunkan asas yang kuat bagi rasa empati dan pemahaman mereka tentang masyarakat pelbagai kaum dan agama di sini.
Mentelah lagi, program silang budaya dapat mempereratkan hubungan dan mencorak pemikiran generasi masa depan.
Lebih 1,000 murid darjah satu hingga tiga menyertai program yang dikendalikan syarikat Wadah Seni Entertainment dalam acara pada pagi Rabu (13 Julai).
Sesi sekitar setengah jam itu mengupas makna di sebalik perayaan Hari Raya Haji, amalan korban dan ibadah Haji yang dilaksanakan.
"Sekadar maklumat yang kita baca online, berbanding visual amat berlainan. Di mana kami mengetengahkan secara praktikal dan juga visual tentang perayaan Hari Raya Haji dan juga proses Haji sebagainya. Jadi mereka (pelajar) mempunyai pemahaman yang lebih jelas dan terperinci," ujar pengacara program, Muhammad Hafiz Hamzah dari Wadah Seni Entertainment.
Inisiatif Sekolah Rendah Tao Nan itu juga diharap menjadi pendorong untuk dicontohi sekolah-sekolah lain.
"Saya berharap sekolah-sekolah lain juga akan melakukan program sebegini agar ia dapat memberi pendidikan kepada pelajar tentang sambutan Hari Raya Haji. Ini selain, mendidik mengenai budaya kita seperti silat, pakaian Melayu, muzik Melayu dan sebagainya," kata pengasas syarikat, Siti Aminah Ismail.
"Jadi dengan adanya pendidkan semasa perhimpunan sekolah, ia dapat menyemai rasa cintakan budaya. Kalau bukan kita, siapa lagi memberi pendidikan kepada mereka?" ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.