Sekolah Rendah Opera Estate dinobatkan juara Katapella 2025

15 murid Sekolah Rendah Opera Estate muncul sebagai Juara Katapella 2025. (Gambar: Hidir Ezat)
SINGAPURA: Sekolah Rendah Opera Estate muncul sebagai juara peringkat sekolah rendah bagi peraduan 'Katapella 2025'.
Ia merupakan pertandingan deklamasi koral berbahasa Melayu yang pertama di peringkat kebangsaan.
'Katapella' yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) itu bertujuan untuk memupuk rasa cinta dalam dan penghargaan yang lebih mendalam dalam diri pelajar terhadap bahasa dan budaya Melayu di luar persekitaran sekolah.
Sebelum ini, ia dikenali sebagai peraduan Bicara Berirama dan telah diadakan sejak 2023.
Namun, ini kali pertama peraduan itu ditayangkan di saluran Mediacorp SURIA pada Jumaat (15 Mei).
Ia menampilkan persembahan oleh 586 murid daripada 38 sekolah rendah.
Bagi peringkat sekolah menengah pula, 190 pelajar daripada 12 sekolah menengah beradu bakat dan rakamannya akan ditayangkan pada 22 Mei 2025.
SEKOLAH RENDAH OPERA ESTATE BUAT PERSIAPAN RAPI
Kerja keras dan komitmen 15 murid darjah 3 dari Sekolah Rendah Opera Estate dan guru-guru mereka berbaloi apabila dinobatkan sebagai Juara Katapella 2025.

Ada juga elemen 'rap' dan juga komedi yang disertakan dalam persembahan mereka yang mendapat tepukan gemuruh para penonton.
Untuk menghafal pergerakan dan skrip yang disiapkan, ia memerlukan latihan dan persiapan yang rapi.
"Saya telah menghadiri bengkel-bengkel yang dijalankan. Saya berlatih dengan gigih di sekolah dengan guru-guru dan kawan-kawan setiap hari. Di rumah pula, saya juga berlatih bersama ibu bapa. Saya juga mengambil serius setiap latihan dan memberikan idea-idea menarik kepada guru," kata salah seorang peserta dari Sekolah Rendah Opera Estate, Muhammad Uwais Al-Qarni Mohamed Maghreb.
"Kami banyak berlatih bersama guru dan rakan-rakan. Kami belajar teknik pernafasan, menyanyi dengan harmoni dan juga berlatih ekspresi muka dan pergerakan semasa persembahan. Setiap sesi latihan sangat menyeronokkan walaupun mencabar," kata seorang lagi pelajar Sekolah Rendah Opera Estate, Daanya Elvyna Mohammad Fursyam.
Guru-guru Sekolah Rendah Opera Estate juga menjadi tulang belakang dalam mempersiapkan para pelajar untuk peraduan itu.
Beberapa cabaran seperti menghafal skrip dan pergerakan cuba ditangani dengan baik.

"Kami ingin memastikan murid-murid Darjah 3 berasa yakin dan disokong sepenuhnya. Dengan itu, pergerakan yang digunakan direka khas mengikut kesesuaian usia mereka, sambil mengekalkan inti pati skrip yang ingin disampaikan," kata seorang lagi guru sekolah tersebut, Nuraihan Abdul Subhan.
Mereka membawa pulang trofi Juara Katapella 2025 serta trofi individu dan baucar buku bernilai $200 setiap seorang.
Sekolah Rendah Estate juga memenangi hadiah bagi kategori "Konduktor Terbaik".
JURI KAGUM & BANGGA MELIHAT KEBOLEHAN PELAJAR
Beberapa faktor seperti kualiti skrip, pergerakan dan kreativiti persembahan juga diambil kira dalam menentukan para pemenang.
Barisan juri bagi peringkat sekolah rendah ialah Pakar Utama Bahasa Melayu Cawangan Bahasa Ibunda Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Tajudin Jaffar, ahli jawatankuasa MLLPC yang juga merupakan pengacara dan personaliti televisyen, Khairudin Saharom dan Pakar Kanan Rekaan Media Pembelajaran Bahagian Teknologi Pendidikan MOE, Cikgu Asnida Daud.

"Penilaian juara merangkumi kualiti skrip, mutu persembahan dan kreativiti koreografi. Kebolehan konduktor memimpin pasukan turut dinilai. Ini membuka ruang untuk pelajar mengembangkan kemahiran kepimpinan mereka," tambahnya lagi.
Selain membangunkan bakat linguistik para pelajar di luar persekitaran sekolah, ia juga dilakukan dengan cara yang seronok buat para pelajar.
"Platform ini mempertingkatkan kemahiran lisan dan pemikiran kritis, membina keyakinan berbahasa Melayu, serta memberi ruang untuk kreativiti. Melalui persembahan berkumpulan, pelajar menggunakan bahasa Melayu secara dinamik dan bermakna," kata Cikgu Asnida.
Dengan sambutan yang menggalakkan dan impak positif yang diperlihatkan dalam kalangan pelajar, jurucakap Jawatankuasa MLLPC memberitahu BERITA Mediacorp bahawa peraduan itu akan diteruskan pada masa akan datang.
Senarai Pemenang Katapella 2025
Peringkat Sekolah Rendah
Juara
Sekolah Rendah Opera Estate
Naib Juara
Sekolah Rendah Punggol View
Tempat Ketiga
Sekolah Rendah White Sands
Konduktor Terbaik
Sekolah Rendah Opera Estate
Skrip Terbaik
Sekolah Rendah White Sands
Koreografi Terbaik
Sekolah Rendah Punggol View
Penerima Hadiah Sagu hati
Sekolah Rendah Changkat
Sekolah Rendah Punggol Green
Sekolah Rendah Seng Kang
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.