Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah Rendah Geylang Methodist dinobat juara Penterjemah Pintar 2023

Anggaran Waktu Membaca:
02:24 Min
Menterjemahkan 20 perkataan, 20 frasa dan 10 ayat dalam masa 30 minit!

SINGAPURA: Menterjemahkan 20 perkataan, 20 frasa dan 10 ayat dalam masa 30 minit!

Itulah di antara cabaran yang perlu dilakukan sekitar 58 murid dari 29 sekolah rendah dalam peringkat saringan Pertandingan Penterjemah Pintar 2023.

Para peserta perlu menterjemahkan perkataan-perkataan Inggeris seperti "debate" dan "presentation".

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Ia mungkin kelihatan mudah, namun mencabar kecekalan mereka kerana harus melakukannya dalam jangka masa yang singkat.

Pusingan kedua pula lebih mencabar.

Mereka perlu menterjemahkan pula kandungan poster dan juga tajuk-tajuk berita.
 

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Lima pasukan dengan markah tertinggi akhirnya dipilih untuk berentap di peringkat akhir dalam pusingan 'Siapa Cepat, Dia dapat'.

Pertandingan Penterjemah Pintar 2023 adalah anjuran Jawatankuasa Bulan Bahasa dan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), yang kembali diadakan secara fizikal selepas tiga tahun.

"Acara sebegini adalah peluang untuk kita mengasah bakat, memberikan peluang untuk anak-anak kita rasa penggunaan bahasa Melayu dalam konteks yang berbeza. Diharapkan dengan pendekatan yang mungkin lebih seronok dengan sesuatu yang mengajak mereka untuk berfikir dengan pantas. Ini adalah sesuatu yang membuat mereka rasa sayang pada bahasa, dan mungkin ingin mengetahui dengan lebih lanjut," kongsi Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Cik Rahayu Mahzam.

"Ini saya rasa seiras dengan usaha masyarakat kita untuk membawa anak-anak kita dan generasi kita, juga mendukung kedwibahasaan," tambah beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa.

SEKOLAH RENDAH GEYLANG METHODIST DINOBATKAN JUARA

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Sekolah Rendah Geylang Methodist dinobatkan juara selepas tiga pusingan sengit.

Dua pelajar Darjah lima yang mewakili sekolah itu merasa bangga kerana kerja keras berbaloi.

"Kami mengulangkaji di dalam kelas dan menghadiri kelas tambahan untuk mengulangkaji semua perkataan," dedah Muhammat Aidil Atomin.
 

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Rakan sepasukannya, Zaara Rehana Mohamed Fazlin berkata: "Saya berasa bangga kerana kami sudah mengulangkaji banyak kali dan kami dapat menjadi juara," menurut Zaara.

"Saya rasa ia (berdwibahasa) penting kerana kita boleh bercakap dengan orang yang tidak mahir berbahasa Inggeris, dalam Bahasa Melayu," tambahnya.

Presiden 4PM, Nassar Mohamad Zain, tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama lagi dengan Majlis Bahasa Melayu Singapura untuk menganjurkan pertandingan serupa pada masa depan.

"Saya berharap lebih ramai lagi sekolah dan para pelajar kita akan terdorong dan terpanggil untuk memasuki pertandingan ini kerana ia sangat bermakna untuk masa hadapan bukan sahaja masa kini semasa mereka sedang di peringkat pelajar, tetapi di masa hadapan apabila mereka menjadi belia dan memasuki alam pekerjaan," ujar Encik Nassar.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif itu sebagai satu wadah penting bagi memupuk minat dan kasih sayang terhadap kedua-dua bahasa itu, yang menurutnya penting untuk berkomunikasi di sekolah, serta "memupuk jati diri sebagai seorang Melayu".
Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan