Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah Rendah ACS akan berpindah dari Barker Road ke Tengah; terima pelajar perempuan mulai 2030

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah Rendah ACS akan berpindah dari Barker Road ke Tengah; terima pelajar perempuan mulai 2030

Kampus ACS di Barker Road kini menempatkan Sekolah Rendah ACS dan ACS (Barker Road), yang merupakan sebuah sekolah menengah. (Gambar: Google Street View)

SINGAPURA: Sekolah Rendah Anglo-Chinese (ACS) akan berpindah ke Tengah pada 2030.

Demikian diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (9 Feb).

Pada tahun yang sama, sekolah jenis pelajar lelaki itu juga akan mula menerima pelajar perempuan buat kali pertama dalam sejarahnya.

Tapak barunya itu terletak lebih 12 kilometer dari tapak sekolah itu di 50 Barker Road.

Kesemua kohort Darjah 1 Sekolah Rendah ACS yang sudah dimasukkan ke sekolah tersebut sehingga 2029 akan kekal belajar di tapak sekolah di Barker Road sehingga mereka tamat Darjah 6.

Apabila tapak di Tengah dibuka pada 2030, ia akan menerima kedua-dua adik-beradik lelaki dan perempuan pelajar sedia ada di sekolah itu di Barker Road bagi kemasukan Fasa 1.

Mulai 2030, sekolah di Barker Road akan hanya menerima pelajar lelaki Darjah 1 yang merupakan adik-beradik kepada pelajar yang sedang belajar di tapak sekolah tersebut.

Dengan saiz kohort yang mengecil, pelajar-pelajar tersebut kemudiannya akan bergabung dengan sekolah ACS Junior di Windstedt Road pada 2033.

Menurut MOE, Sekolah ACS Junior baru itu akan beroperasi daripada kedua-dua kampus sebelum memindahkan kesemua operasinya ke tapak di Barker Road pada 2039.

Sekolah Rendah ACS baru di Tengah akan menerima 11 kelas pelajar Darjah 1, atau kira-kira seramai 330 pelajar.

"Perubahan tersebut membolehkan kami menyemak dan menyusun semula sekolah-sekolah rendah kami secara strategik bagi menangani trend nasional yang lebih luas seperti kadar kelahiran yang rendah dan lebih banyak keluarga muda yang berpindah ke estet-estet yang baru dan sedang muncul", jelas pengerusi lembaga gabenor ACS.

Menurut MOE, ACS yang sebenarnya membentangkan kepada kementerian itu mengenai pemindahan salah satu daripada dua sekolah rendah ACS untuk menawarkan khidmat kepada masyarakat yang lebih luas, dan perbincangan bermula pada awal 2022.

MOE kemudian menawarkan ACS tapak di Tengah berdasarkan rancangan kementerian itu berhubung sekolah rendah baru, dan menjelaskan bahawa sekolah yang dipindahkan itu juga perlu menerima pelajar perempuan demi memenuhi keperluan masyarakat tempatan.

Selain Sekolah Rendah ACS, MOE akan membuka atau memindahkan tiga lagi sekolah aliran utama dan dua sekolah pendidikan khas di sebelah barat dan timur laut Singapura dari 2026.

Sekolah Rendah Pioneer akan berpindah ke Tengah pada 2026, dan sebuah sekolah rendah baru di Tengah akan dibuka pada 2028.

Sekolah Rendah Bukit Vew di Bukit Batok East akan berpindah ke tapak baru yang terletak hanya 2 kilometer dari Bukit Batok West pada 2027 untuk memenuhi permintaan lebih tinggi bagi tempat di sekolah, kata MOE dalam kenyataan media.

Ia akan terus menerima masuk kohort Darjah 1 yang baru, dan semua pelajar akan berpindah ke kampus baru pada 2027.

Sebuah sekolah menengah baru akan buka di Sengkang pada 2026 untuk memenuhi permintaan dari Sengkang dan Punggol.

Nama sekolah-sekolah baru tersebut akan diumumkan kelak. Sekolah-sekolah baru itu akan juga dibuka dengan saiz kohort yang besar sedikit.

SEKOLAH-SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS BARU

Sebuah sekolah pendidikan khas baru juga akan ditubuhkan dengan kerjasama ACS dan Khidmat Kebajikan Methodist. Ia bertujuan memenuhi keperluan pelajar yang mengalami gangguan spektrum autisme, yang membolehkan mereka mendapat akses kepada kurikulum nasional.

Sekolah baru tersebut, menjadi sekolah kelima untuk menerima pelajar sedemikian dan dijangka dibuka pada 2026 di sebuah tapak sementara, atau tapak bekas Sekolah Menengah Chua Chu Kang. Ia juga akan menerima masuk kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan.

Ia akan berpindah ke kampus tetapnya, bersebelahan dengan Sekolah Rendah ACS di Tengah pada 2031, menurut MOE dalam kenyataan media tersebut.

Tapak tetap kampus ketiga Sekolah Pathlight, yang sebelum ini dirancang ditempatkan di Tengah, akan sebaliknya dibuka di Punggol pada 2032.

Sekolah tersebut akan terus beroperasi di tapak sementara sedia ada, iaitu di bekas sekolah rendah dan sekolah menengah Chong Boon.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan