Skip to main content

Singapura

'Sekolah perlu lebih banyak sumber, sokongan bantu pelajar dengan isu kesihatan mental," tegas Presiden Halimah

Presiden Halimah Yacob pada Jumaat (23 Jul) menegaskan bahawa sekolah-sekolah memerlukan lebih banyak sumber dan sokongan untuk membantu para pelajar dengan isu-isu kesihatan mental.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jul 2021 03:02PM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 08:54PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob pada Jumaat (23 Jul) menegaskan bahawa sekolah-sekolah memerlukan lebih banyak sumber dan sokongan untuk membantu para pelajar dengan isu-isu kesihatan mental.

Ini selepas mahkamah diberitahu bahawa pelajar Sekolah Tinggi River Valley yang dituduh membunuh rakan sekolahnya sebelum ini pernah dirujukkan ke Institut Kesihatan Mental (IMH) dua tahun lalu selepas cuba membunuh dirinya sendiri.

Puan Halimah juga berkata bahawa para ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat "tidak dilengkapi secukupnya" untuk menangani golongan muda yang berdepan dengan kesihatan mental selain terdapat "stereotaip" terhadap isu-isu sedemikian.

Beliau mengeluarkan komen-komen tersebut selepas remaja lelaki 16 tahun pada pagi Selasa didakwa dengan tuduhan membunuh seorang pelajar dari sekolah yang sama. Mangsa berusia 13 tahun itu ditemui terbujur di tandas sekolah dengan beberapa kesan luka. Mangsa disahkan mati di tempat kejadian.

Turut didedahkan di mahkamah bahawa tertuduh, yang merupakan seorang pelajar Menengah 4 sebelum ini dirawat di IMH selepas cuba membunuh diri pada 2019.

"Kami turut berduka bersama dengan ibu bapa yang kehilangan anak lelaki 13 tahun mereka ... Tetapi seseorang tidak dapat menahan rasa kasihan terhadap pelajar 16 tahun dan keluarganya juga," tulis Puan Haliman dalam catatan Facebooknya itu.

"Percubaan membunuh diri adalah rayuan meminta pertolongan. Kita tidak tahu perincian penuh khususnya sama ada dia terus menerima bantuan psikiatrik atau perubatan untuk menangani kesihatan mental selepas insiden itu.

"Kita juga tidak tahu sama ada ia disebabkan sekolah atau ada faktor-faktor lain yang menjejasnya kerana punca keruntuhan mental bermacam-macam dan kadangkala terdapat lebih daripada satu faktor."

Puan Halimah menambah: "Namun, kami tahu bahawa ibu bapa, sekolah dan masyarakat tidak dilengkapi secukupnya untuk menangani situasi ini."

Bagi ibu bapa, katanya, cabaran besar adalah tidak mengetahui sama ada anak mereka itu hanya sedang melalui fasa pembangunan "kerana semua remaja dengan hormon dalam tuduh mereka kadangkala bertindak balas" atau adakah kerana sesuatu yang jauh lebih mendalam.

Puan Halimah menambah bahawa para guru sudahpun dibebani dengan tugas berat mereka dan tidak mungkin mereka boleh "mendalami" isu-isu yang menjejas seorang anak murid kerana ia memerlukan pemantauan, pemerhatian dan pendampingan yang teliti.

Meskipun terdapat kaunselor sekolah, mereka mungkin tidak cukup terlatih untuk menangani isu-isu kesihatan mental, tulis beliau.

Dalam catatannya itu, Puan Halimah juga menulis bahawa masyarakat turut meletakkan jangkaan tinggi pada anak-anak khususnya mereka yang kelihatan mencatat prestasi cemerlang dalam bidang akademik.

"Kita menjangkakan mereka akan terus maju dalam prestasi mereka tanpa sebarang gangguan, seperti mesin yang terus berfungsi," tulis beliau.

"Ibu bapa membanding-bandingkan setiap masa. Kita selalu mengatakan bahawa seorang anak yang maju secara menyeluruh dan sihat adalah lebih baik berbanding seorang anak yang bermasalah yang sekalipun mencapai gred A untuk semua mata pelajarannya tetapi sebenarnya sedang menderita, tetapi kita sebenarnya memberikan isyarat yang berbeza kepada mereka."

Beliau turut menekankan stigma yang dikaitkan dengan kesihatan mental juga menyebabkan ibu bapa mengelak daripada meminta pertolongan untuk anak-anak mereka.

"Masih terdapat banyak kejahilan, stereotaip dan prasangka dalam masyarakat kita terhadap mereka dengan isu kesihatan mental sehinggakan ibu bapa berasa bimbang sekiranya dengan mendapatkan rawatan, ia akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan dan mereka menangguhnya lantas membawa kesan buruk," tegas beliau.

Puan Halimah juga menyoal sama ada terdapat program-program untuk menyokong para pelajar dan keluarga mereka sekiranya seorang anak dengan isu kesihatan mental memerlukan masa berehat daripada sekolah.

"Kadangkala kanak-kanak dengan isu kesihatan mental mungkin memerlukan sedikit masa cuti dari sekolah tetapi dilema ibu bapa adalah apa yang patut dilakukan bersama anak itu di rumah sepanjang setahun, misalnya, apabila anak itu bercuti daripada sekolah sedang beliau beransur pulih," ujar beliau.

"Adakah terdapat program-program yang memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak mereka dengan isu kesihatan mental yang duduk di rumah didampingi dengan berkesan dan bukan hanya menerima rawatan psikiatrik atau perubatan?"

Memandang ke hadapan, beliau menyarankan beberapa huraian kepada sekolah-sekolah.

"Sekolah-sekolah perlu lebih banyak sumber dan sokongan untuk membantu para pelajar dengan isu kesihatan mental," tulis beliau.

"Salah satu cara adalah dengan mereka bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial yang menangani kesejahteraan mental, yang boleh menjalankan program-program bagi mendidik para pelajar tentang kesejahteraan mental.

"Sesetengah institusi pengajian tinggi juga ada menyertakan program-program tentang kesihatan mental untuk menyokong para pelajar dan agak berkesan, yang mereka boleh mengongsi bersama pihak sekolah.

"Kita boleh mengkaji pengalaman yang dilalui negara-negara lain dengan sistem lebih maju dalam menghulurkan bantuan sebagai sumber rujukan kita."

Puan Halimah menulis bahawa semua orang berperanan dalam membantu anak-anak dengan isu kesihatan mental.

"Apabila berlaku tragedi seperti ini, ia membuat kita memikirkan semula dengan lebih mendalam tentang kesihatan mental anak muda kita," tulis beliau.

"Sebahagian besar anak-anak kita mampu menanganinya, berdaya bingkas dan boleh membesar dengan baik. Tetapi tidak semua kanak-kanak sama. Ada yang memerlukan lebih banyak bantuan dan ia bukan sahaja daripada pihak sekolah tetapi daripada semua orang." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita