Skip to main content

Singapura

Sekolah Menengah Yishun, ITE Kolej Barat tampil juara Mutiara Tari 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Jul 2026 07:53PM Dikemas Kini : 18 Aug 2026 09:38AM
  • Sekolah Menengah Yishun dan ITE Kolej Barat muncul juara dalam kategori masing-masing di pertandingan Mutiara Tari 2026 anjuran Wisma Geylang Serai dan Sri Warisan.
  • Acara berlangsung di Persada Budaya WGS, Singapura pada 11 Julai, dengan penyertaan 1,500 peserta dari pelbagai sekolah dan institusi pengajian tinggi.
  • Kejayaan peserta didorong latihan intensif selama tiga bulan, keikhlasan serta bimbingan koreografer dan juri profesional dari Singapura dan Malaysia.
  • Penganjur dan tokoh seni menekankan pentingnya usaha berterusan memelihara, menyemarakkan dan mencipta seni budaya Melayu dalam kalangan generasi muda.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Gandingan hayunan kipas lembut dan dandanan kebarung merah jambu yang manis - itulah yang menambat hati para juri untuk menobatkan Sekolah Menengah Yishun sebagai juara kategori sekolah menengah bagi Mutiara Tari 2026.

Mutiara Tari ialah pertandingan tarian Melayu yang dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai (WGS) dan Sri Warisan Som Said Performing Arts.

Edisi keempat pertandingan tersebut berlangsung di Persada Budaya WGS pada Sabtu (11 Julai).

Dengan persembahan yang bertajuk 'Hayunan Gemalai Anak Dara', menurut juri asal Malaysia daripada ASWARA, Imran Shafiq, Sekolah Menengah Yishun dengan jayanya menghiburkan para juri dengan kualiti persembahan yang baik dan mencerminkan latihan yang cukup lengkap.

Namun, kejayaan membanggakan ini tidak datang dengan mudah.

"Saya rasa ia agak sukar sedikit untuk para penari saya kerana mereka tidak mulai dengan latihan tradisional. Jadi, dengan kegigihan mereka, mereka punya kesukarelawanan, mereka punya niat mereka yang ikhlas itu semua, Alhamdulillah, kita dapat sampai di sini," luah koreografer Sekolah Menengah Yishun, Nur Artiqa Faryani Salimi.

Berkat kegigihan dalam masa tiga bulan membuat persiapan, Sekolah Menengah Yishun dapat menggenggam trofi juara buat julung kalinya.
Related article image
Sekolah Menengah Yishun dengan persembahan bertajuk 'Hayunan Gemalai Anak Dara' (Gambar: Wisma Geylang Serai)
Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat pula meraih kemenangan sebagai juara kategori institut pengajian tinggi dengan persembahan zapin bertenaga yang bertajuk 'Irama Pusaka', hasil koreografi Encik Mohammad Syaiful Nizam Khamis.

"Sudah pastinya kita sebagai satu kumpulan terasa amat bangga kerana mencapai tempat pertama untuk pertandingan Mutiara Tari. Jadi, saya harap yang ini akan jadi terus pembakar semangat untuk mereka dan menjadi sumber inspirasi," kata Encik Syaiful.
Related article image
ITE Kolej Barat dengan persembahan bertajuk 'Irama Pusaka' (Gambar: Wisma Geylang Serai)
Ditanya pula tentang sebarang petua yang boleh diberikan kepada peserta-peserta akan datang, Encik Syaiful berkongsi: "Saya rasa keikhlasan dari hati bila menari akan menjadi satu dorongan untuk murid-murid untuk menjadi juara pada (masa) akan datang nanti."

Kedua-dua juara tersebut turut memenangi kategori busana terbaik dan kategori koreografi terbaik.

MUTIARA TARI ANTARA WADAH ANAK MUDA LESTARIKAN BUDAYA MELAYU

Sekolah-sekolah yang menyertai Mutiara Tari 2026 dinilai oleh barisan juri dari Singapura dan Malaysia termasuk ketua juri dan tokoh tarian tradisional Melayu Som Said yang melihat terdapat peningkatan dari segi minat terhadap tarian Melayu dalam kalangan anak-anak muda Singapura.

"Banyak usaha yang dijalankan, bukan hanya oleh individu, tetapi juga dari sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan (MOE), Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Negara (NHB), jadi banyak usaha yang untuk mendekatkan anak-anak kita kepada kesenian. Salah satu daripada contohnya ada Festival Belia Singapura (SYF). SYF adalah penampilan yang mendekatkan seni tari dan seni muzik dan semua seni persembahan untuk mereka mengenal budaya melalui kesenian," jelas Cik Som, yang sudah lebih enam dekad bergiat dalam seni tarian Melayu.

Menurut beliau lagi, usaha melestarikan seni tersebut haruslah berterusan dan dalam tiga fasa - memelihara, menyemarakkan dan mencipta.

"Kita nak memelihara warisan budaya kita supaya anak-anak kita mengenal budaya kita dan mengekalkan jati diri dan setelah memelihara, kita menyemarakkan melalui tarian-tarian yang kita ajarkan di sekolah-sekolah. Dan terakhir sekali adalah memberi ruang untuk remaja kita untuk menciptakan. Mereka sudah ada ilmu, sudah ada pengalaman dan mereka boleh teruskan dengan usaha-usaha selanjutnya," tambah beliau.

Beliau juga menekankan bahawa untuk mencipta, anak-anak muda masih perlukan bimbingan.

"Saya dah 75 dan tahun ini saya menyambut 61 tahun (dalam tarian Melayu) dan selagi sihat, kita akan terus membimbing anak-anak," kata beliau.

Mutiara Tari 2026 disertai 1,500 orang, termasuk penari-penari dari empat sekolah menengah dan enam institusi pengajian tinggi.
Related article image
Para penari, juri dan tetamu kehormat Mutiara Tari 2026 Anggota Parlimen GRC East Coast, Hazlina Halim (Gambar: Wisma Geylang Serai)
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita