Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah Menengah Tanjong Katong juara Bahas 4PM

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekolah Menengah Tanjong Katong muncul sebagai juara pertandingan bahas anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) tahun ini.

Ia berjaya menewaskan Sekolah Menengah Dunman dalam peringkat akhir pertandingan bahas kategori sekolah menengah itu.

Pasukan juara turut membawa pulang piala Pembahas terbaik keseluruhan.

Medan bahas 4PM mengetengahkan mauduk 'Patriotisme Penting dalam Era Globalisasi' di peringkat akhir pertandingan tahunan ini.

Sekolah Menengah Tanjong Katong dan Sekolah Menengah Dunman membentangkan hujah masing-masing bagi mempertahankan dan mencabar tajuk perbahasan.

Segala persiapan sejak hampir sebulan lalu sampai ke kemuncaknya, apabila hujahan Sekolah Menengah Tanjong Katong muncul sebagai paling meyakinkan dan dinobatkan sebagai juara.

"Sudah pasti kami berasa amat bersyukur dan amat bangga kerana usaha-usaha kita semua berbaloi. Bukan sahaja usaha kita dan juga usaha-usaha mentor dan juga guru-guru. Kami sudah berganding bahu dan kami melakukan sedaya-upaya untuk melakukan yang terbaik dan kami mendapat hasil dan amat bangga," kata Danish Zul Iman Haron, pembahas Sekolah Menengah Tanjong Katong.

Sekolah itu juga meraikan kejayaan berganda apabila pembahasnya turut memenangi piala Pembahas Terbaik Keseluruhan.

"Saya kerap membaca skrip saya dan berulang kali untuk memastikan bahawa saya dapat membentangkan hujah saya dengan lebih lancar dan tidak akan tersasul atau tersebut salah perkataan," kata Dhini Izzati Bakhtiar Effendi, pembahas terbaik keseluruhan.

Panel penilai memuji mutu perbahasan pertandingan kali ini khususnya dalam penggunaan bahasa dan bahan rujukan yang sahih.

Ini di samping penegasan istilah-istilah berkenaan globalisasi yang tidak dipelajari di bilik darjah.

Paling menarik perhatian penilai adalah pusingan hujah berapi.

"Dari segi sanggah-menyanggah kami dapati ada usaha untuk meningkatkan ataupun menegaskan pendirian masing-masing. Itu satu usaha yang kami rasa bahagian paling menarik sebenarnya walaupun singkat tetapi itulah yang menjadikan perbahasan kali ini amat bermutu dan juga boleh dijadikan satu standard untuk seterusnya," kata Encik Muslim Hanafiah, Ketua Penilai peringkat akhir Bahas 4PM.

Kesemuanya 20 pasukan sekolah menengah mengambil bahagian dalam pertandingan tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan