Skip to main content

Singapura

Sekolah menengah SG bakal larang penggunaan telefon bijak semasa waktu rehat, CCA

Mulai 2026, pelajar sekolah menengah tidak dibenarkan menggunakan telefon bijak atau jam tangan bijak semasa waktu sekolah, termasuk di luar waktu pembelajaran.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Nov 2025 06:53PM Dikemas Kini : 12 Dec 2025 02:49PM
SINGAPURA: Mulai 2026, pelajar sekolah menengah tidak dibenarkan menggunakan telefon bijak atau jam tangan bijak semasa waktu sekolah, termasuk di luar waktu pembelajaran.

Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan pada Ahad (30 Nov) langkah-langkah yang dipertingkat itu bagi memupuk tabiat penggunaan skrin yang lebih sihat dalam kalangan pelajar.

Di bawah garis panduan semasa, para pelajar sekolah menengah tidak boleh menggunakan telefon bijak atau jam tangan bijak semasa waktu pembelajaran.

Mulai Januari 2026, larangan itu akan diperluaskan kepada waktu bukan pembelajaran - termasuk waktu rehat, kegiatan ko-kurikular, serta kelas tambahan, pengayaan atau pemulihan, menurut MOE dalam satu kenyataan media.

Peranti para pelajar akan disimpan di kawasan penyimpanan khas atau di dalam beg sekolah sepanjang waktu sekolah, menurut kementerian itu.

“Jika perlu, sekolah boleh membenarkan para pelajar menggunakan telefon bijak sebagai pengecualian,” menurut kenyataan tersebut.

Garis panduan yang sama sudah dilaksanakan bagi sekolah rendah sejak pelancaran strategi promosi kesihatan nasional Sihat Membesar SG, menurut MOE sebagai jawapan kepada pertanyaan Mediacorp.

Pada masa itu, beberapa sekolah menengah juga sudah mengguna pakai garis panduan lebih ketat itu dan menyaksikan hasil yang positif, termasuk peningkatan kesejahteraan pelajar, tumpuan yang lebih baik dan interaksi fizikal yang lebih banyak semasa waktu rehat, menurut kementerian berkenaan.

MOE, bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), menyatakan pada Januari bahawa pemerintah akan memperkenalkan garis panduan berhubung penggunaan skrin di sekolah, termasuk prasekolah, sebagai sebahagian daripada Sihat Membesar SG.

Satu tinjauan oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) awal tahun ini mendapati ramai kanak-kanak melebihi had masa skrin harian yang disyorkan MOH.

Walaupun MOE menyediakan garis panduan kepada sekolah, pihak sekolah mempunyai autonomi untuk merumuskan dasar disiplin dan peraturan mereka sendiri yang sejajar dengan garis panduan tersebut, menurut kementerian itu apabila ditanya bagaimana guru diberi kuasa untuk menguatkuasakannya.

“Bagi penyalahgunaan telefon bijak dan jam tangan bijak, sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, sekolah lazimnya bekerjasama dengan pelajar dan melibatkan ibu bapa untuk menangani isu asas serta membangunkan strategi bagi membantu pelajar menguruskan penggunaan peranti mereka dengan bertanggungjawab,” tambah MOE.

“Jika perlu, sekolah juga akan melaksanakan langkah disiplin bagi membantu pelajar memahami akibat daripada tindakan mereka yang tidak wajar.”

Para pelajar yang lebih matang di maktab rendah dan Institut Millennia pula dijangka sudah membangunkan kemahiran pengurusan diri dan disiplin yang mencukupi untuk menggunakan telefon bijak dan jam tangan bijak dengan bertanggungjawab di sekolah, menurut MOE.

“Namun, bagi mengurangkan gangguan, penggunaan peranti tersebut semasa pembelajaran masih harus dihadkan, dan kebenaran jelas perlu diberikan oleh guru,” menurut kementerian itu.

Di luar waktu pembelajaran, para pelajar yang lebih matang ini boleh dibenarkan menggunakan telefon bijak dan jam tangan bijak mereka apabila diperlukan, tambah kementerian tersebut.

Bagi memupuk tabiat digital yang sihat, waktu tidur dalam Aplikasi Pengurusan Peranti pada peranti pembelajaran peribadi akan diawalkan kepada pukul 10.30 malam daripada pukul 11.00 malam, menurut MOE pada Ahad.

“Ini dapat membantu para pelajar menguruskan penggunaan peranti sebelum waktu tidur, dan mendorong mereka untuk tidur lebih awal,” menurut pihak kementerian dalam kenyataan tersebut.

“Kami sangat menggalakkan para ibu bapa yang memilih sekatan lebih longgar bagi peranti pembelajaran peribadi anak mereka selepas waktu sekolah supaya mempertimbangkan untuk mengawalkan waktu tidur sejajar dengan perubahan waktu tidur yang ditetapkan pada pukul 10.30 malam.”

Garis panduan dan rasional di sebaliknya akan disampaikan melalui pelbagai saluran seperti taklimat permulaan tahun di sekolah, buku panduan pelajar, laman web sekolah dan sesi penerangan dengan ibu bapa – sebagai sebahagian daripada proses orientasi pelajar dan ibu bapa bagi tahun persekolahan baharu, menurut MOE dalam kenyataannya.

“Pendekatan ini membantu dalam menetapkan jangkaan yang jelas dan memudahkan kerjasama sekolah-rumah untuk memupuk tabiat digital yang lebih sihat dalam kalangan pelajar.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita