Sekolah Menengah Edgefield beralih ke HBL setelah pelajar diuji positif COVID-19
Sekolah Menengah Edgefield (EFSS) akan mengambil langkah-langkah pencegahan setelah Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Sabtu (1 Mei) bahawa seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sekolah itu adalah dalam kalangan tujuh kes COVID-19 dalam masyarakat di Singapura.

Petikan skrin menunjukkan Sekolah Menengah Edgefield. (Gambar: Google Maps)
SINGAPURA: Sekolah Menengah Edgefield (EFSS) akan mengambil langkah-langkah pencegahan setelah Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Sabtu (1 Mei) bahawa seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sekolah itu adalah dalam kalangan tujuh kes COVID-19 dalam masyarakat di Singapura.
Pelajar itu diuji positif COVID-19 pada Jumaat (30 Apr). Kali terakhir dia berada di sekolah ialah pada Khamis (29 Apr). Dia menunjukkan gejala Jangkitan Pernafasan Akut dan segera berjumpa doktor.
Remaja itu mengalami sakit tekak pada 28 April dan pada hari keesokannya, demam serta hilang deria bau. Dia melaporkan dirinya sakit semasa berada di sekolah pada 29 Apr dan mendapatkan rawatan di klinik doktor keluarga di mana dia diuji positif COVID-19.
Pelajar itu dibawa ke Hospital Universiti Nasional dengan menaiki ambulans. Hasil ujian serologinya masih dinantikan.
Menurut Kementerian Pendidikan (MOE) para pelajar di Sekolah Menengah Edgefield (EFSS) akan beralih ke pembelajaran dari rumah atau HBL mulai Selasa (4 Mei) hingga Jumaat (7 Mei). Isnin (3 Mei) jatuh pada hari cuti sekolah.
Pelajar, kakitangan dan vendor luar yang berhubungan rapat dengan pelajar berkenaan akan diletakkan di bawah Perintah Kuarantin sementara kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang teliti akan dijalankan di premis sekolah.
Memandangkan kesnya tidak berhubung kait dengan mana-mana kes serta jumlah jangkitan dalam masyarakat yang meningkat, semua pelajar lain, kakitangan serta vendor luar di sekolah itu dikehendaki menjalani ujian swab COVID-19.
Sepanjang HBL, tambah MOE, EFSS akan terus menyediakan arahan serta sokongan kepada pelajarnya baik secara maya mahupun menggunakan bahan-bahan cetak agar pembelajaran dapat diteruskan tanpa gangguan.
Tenaga guru juga akan terus berhubungan secara berkala dengan para pelajar serta ibu bapa. Sementara menanti keputusan ujian swab mereka, semua individu yang terlibat dalam ujian swab COVID-19 dinasihatkan supaya mengurangkan kontak bersama orang lain serta mengelakkan tempat-tempat sesak sebagai langkah berjaga-jaga.
MOE menyatakan ia akan terus memantau rapi keadaan itu dan bekerjasama dengan pihak sekolah serta ibu bapa untuk memastikan kesejahteraan kakitangan serta para pelajar.
MOE turut menasihatkan semua pelajar dan kakitangan agar terus mengamalkan kebersihan diri yang baik selain mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.
Ini, tambah kementerian itu, termasuk memakai pelitup, membasuh tangan dengan kerap, mengelap peralatan dan meja, berjumpa doktor jika sakit dan kembali ke sekolah hanya apabila sudah sembuh sepenuhnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.