Skip to main content

Singapura

Sekolah Menengah Ang Mo Kio Juara Kuiz Cepat Tepat 2.0

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah Menengah Ang Mo Kio Juara Kuiz Cepat Tepat 2.0

Dari kiri: Myra Ibtisam Kamarudin, Haneef An-Nasr Reduan, Danish Haziq Yazid, Fatimah Zahra Muhammad Zaki, Ilyusyirah Indrayadi. Pasukan Sekolah Menengah Ang Mo Kio berjaya mengatasi tiga sekolah lain untuk muncul sebagai juara Kuiz Cepat Tepat 2.0. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 30 Aug 2026 10:02PM
SINGAPURA: Sekolah Menengah Ang Mo Kio berjaya mengatasi tiga sekolah lain untuk muncul sebagai juara Kuiz Cepat Tepat 2.0.

Buat julung-julung kalinya, pertandingan yang sebelum ini disertai pelajar sekolah rendah itu diperluaskan kepada peringkat sekolah menengah.

Sebanyak 44 sekolah seluruh negara mengambil bahagian dalam edisi pertama ini dan melibatkan seramai 220 pelajar.

Kuiz itu menguji pengetahuan pelajar dalam bahasa dan budaya Melayu.

Dalam pusingan akhir, Sekolah Menengah Ang Mo Kio muncul di tempat pertama dan Sekolah Menengah Yishun Town sebagai naib juara.

Sekolah Menengah Greendale pula menduduki tempat ketiga manakala Sekolah Menengah Kranji di tempat keempat.

Pasukan juara terdiri daripada Danish Haziq Yazid, Ilyusyirah Indrayadi, Myra Ibtisam Kamarudin, Fatimah Zahra Muhammad Zaki dan Haneef An-Nasr Reduan.

PELAJAR RAIH BANYAK PENGALAMAN BAHARU

Bagi Myra Ibtisam Kamarudin, kemenangan itu menjadi pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya dan rakan sepasukan.

“Kami berasa gembira dan bersyukur diberikan peluang untuk mewakili sekolah kami dalam pertandingan ini. Kami ucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah membimbing kami dan ibu bapa serta rakan-rakan yang telah menyokong kami," kata Myra.

Menurutnya lagi, pertandingan itu bukan sekadar tentang merebut gelaran juara tetapi turut menguji kemampuan mereka untuk bekerjasama dan membina keyakinan diri.

Bagi mempersiapkan diri, pasukan Sekolah Menengah Ang Mo Kio perlu membuat persiapan secara konsisten.

“Persiapan yang paling mencabar ialah menghafal, kosa kata, peribahasa dan fakta bahasa Melayu. Kami juga perlu berlatih dengan konsisten sambil mengimbangi kerja sekolah," kata Myra.

Usaha itu turut membantu meningkatkan keyakinan pasukan itu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

“Kami lebih yakin bertutur dalam bahasa Melayu kerana pertandingan ini telah menambah kosa kata kami dan meningkatkan keyakinan kami untuk menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian," kata Myra.
Related article image
Para penyokong Sekolah Menengah Ang Mo Kio. (Gambar: Mediacorp)
CEPAT BERFIKIR, TEPAT MENJAWAB

Bagi salah seorang juri pertandingan, Dr Mohd Aidil Subhan Mohd Sulor, keupayaan para peserta untuk kekal tenang dan berfikir dalam keadaan tertekan merupakan antara perkara yang paling menyerlah.

“Saya sebenarnya kagum dengan kebolehan mereka untuk berfikir dalam keadaan yang tertekan dan juga menunjukkan penguasaan bahasa mereka. Soalan-soalannya kebanyakannya adalah apa yang ada dalam sukatan tetapi mereka berjaya untuk membawa pengetahuan itu ke luar ke dalam konteks pertandingan ini.

"Ini menunjukkan kebolehan mereka untuk menyesuaikan diri dengan menggunakan bahasa Melayu luar daripada bilik darjah," kata Dr Aidil.

Selain penguasaan bahasa, peserta juga perlu menggunakan pemikiran kritis untuk menentukan jawapan yang bukan sahaja betul tetapi tepat dalam tempoh masa yang diberikan.

“Kalau kita lihat tajuk pertandingan ini sendiri adalah 'Cepat' dan 'Tepat'. Jadi kekuatan mereka adalah perlu berfikir dalam masa yang cepat dan dalam masa itu kemudian menjawab dengan tepat.

"Jadi kebijaksanaan memilih itu adalah penting dan juga pendaya-pendaya yang diberikan itu untuk mengelirukan mereka tetapi nampaknya mereka yang ada keupayaan yang tinggi, jadi mereka kurang kekeliruan itu," kata Dr Aidil.

Menurutnya, para peserta berupaya berbincang dan membuat keputusan bersama.
Related article image
Salah seorang juri pertandingan, Dr Mohd Aidil Subhan Mohd Sulor. (Gambar: Mediacorp)
BUKA PELUANG UJI KEMAHIRAN PELAJAR DALAM SUASANA BERBEZA

Dr Aidil juga melihat pertandingan itu sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan luar darjah yang memberikan pelajar peluang untuk menguji pengetahuan dan kemahiran mereka dalam suasana yang berbeza.

Menurut Dr Aidil, pertandingan seperti ini dapat membuka ruang penggunaan bahasa Melayu dalam konteks yang baharu.

“Kita ada ekosistem yang baharu sekarang iaitu pertandingan menjadi sebahagian daripada domain.Pertandingan-pertandingan ini membawa peluang kepada mereka untuk meluaskan penggunaan bahasa mereka dalam konteks yang tertentu.

"Jadi pada masa hadapan, kita akan ada lebih ramai pelajar yang berkeupayaan untuk menggunakan bahasa Melayu luar daripada konteks sekolah dan membawa ilmu yang mereka ada itu ke dalam ruang yang baharu ini," kata Dr Aidil.

Rakaman episod terakhir kuiz Cepat Tepat 2.0 disiarkan di saluran Suria pada Ahad (30 Ogos).

Bagi yang terlepas menyaksikannya di televisyen, mereka boleh menonton kuiz Cepat Tepat 2.0 menerusi aplikasi MeWatch.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita