Sekolah Menengah Anderson juara Bahas 4PM 2025
Sekolah Menengah Anderson dinobatkan sebagai juara Bahas 4PM 2025 selepas menewaskan Madrasah Aljunied Al-Islamiah dalam perlawanan akhir kategori sekolah menengah pada Sabtu (31 Mei).
Pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Pusat Bahasa Serantau (RELC) menyaksikan persaingan sengit antara pasukan pencadang dari Madrasah Aljunied dan pasukan penyanggah dari Sekolah Menengah Anderson.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Dengan mauduk “Pemerintah memainkan tanggungjawab utama dalam menangani isu kesunyian dalam kalangan warga emas di Singapura”, kedua-dua pasukan tampil dengan hujah yang bernas dan tersusun bagi mencabar dan mempertahankan tajuk perbahasan.
Kemenangan Anderson lebih manis dengan pengiktirafan kepada pembahas kedua mereka, Syed Shameel Syed Mohammed Daneil Alkaff, yang dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan.
Pasukan Anderson turut dianggotai oleh Winsen Lee dan Chau Yong Lin.
"Jujur pada awalnya, kami tidak menjangka bahawa kami akan terus ke peringkat akhir ataupun mara Juara. Kami pada awalnya agak ragu dengan bagaimana kami akan membahas ataupun dengan latihan-latihan kami tetapi akhirnya kami benar-benar bangga. Kami sebenarnya tidak jangka itu," kongsi Chau Yong Lin.
"Sebenarnya saya berasa amat bangga dan lega kerana usaha usaha kita berbaloi dan kita mendapat hasil dari kerja keras kami," ujar Syed Shameel kepada BERITAmediacorp.
NAFEESAH MOHAMMED HADI DINOBAT PEMBAHAS TERBAIK PERINGKAT AKHIR
Pasukan Madrasah Aljunied tidak pulang dengan tangan kosong.
Pembahasnya, Nafeesah Mohammed Hadi, diumumkan sebagai Pembahas Terbaik Peringkat Akhir.
Lebih manis lagi, ini penyertaan sulung beliau dalam pertandingan bahas.
"Saya rasa amat bersyukur kepada Allah dan bahagia kerana mendapatkan pembahas terbaik dan ini tidak boleh dicapai kalau bukan kerana sokongan cikgu sekolah dan keluarga saya," kata Nafeesah.
Pihak penganjur memuji prestasi dan keyakinan peserta sepanjang pertandingan.
"Prestasi kedua-dua pasukan memang sangat baik. Mereka bergaya mereka menggunakan isu-isu dan hujah-hujah yang sangat bernas dan selain daripada itu, mereka juga bertambah baik semenjak mereka di peringkat saringan, mereka dapat nasihat daripada para penilai dan guru-guru mereka dan mereka telah memperbaiki diri mereka sendiri dan membentangkan hujahan dan perbahasan yang sangat baik pada hari ini," menurut Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Encik Kamal Ashraf bin Kamil Jumat.
Sebagai juara, Sekolah Menengah Anderson membawa pulang piala dan baucar tunai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.