Skip to main content

Singapura

Sekolah memasak beri 'kerjasama penuh' dalam siasatan susuli kebakaran rumah kedai River Valley

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Apr 2025 07:48PM Dikemas Kini : 10 Apr 2025 12:16AM
  • Sebuah sekolah memasak yang terletak di tapak kebakaran di River Valley memberi "kerjasama penuh" kepada pihak berkuasa sedang ia menjalankan siasatan ke atas punca kebakaran tersebut.
  • Seramai 22 orang - enam orang dewasa dan 16 kanak-kanak - dibawa ke hospital berikutan kebakaran itu.
  • Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia di salah sebuah hospital.
  • Kebakaran itu dipadamkan dengan tiga jet air dalam masa 30 minit.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah sekolah memasak yang terletak di tapak kebakaran di River Valley memberi "kerjasama penuh" kepada pihak berkuasa sedang ia menjalankan siasatan ke atas punca kebakaran tersebut.

Tomato Cooking School turut menawarkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran itu.

"Kami amat bersedih dan terkejut dengan insiden kebakaran yang berlaku di rumah kedai itu. Ingatan kami bersama semua keluarga dan individu yang terjejas pada masa yang sukar ini," menurut Tomato Cooking School dalam satu catatan di Facebook pada Rabu (9 Apr).

"Keadaan yang membawa kepada kebakaran itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa relevan. Kami memberi kerjasama penuh kami dalam siasatan yang sedang dijalankan.

"Buat masa ini, keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan akan memberi kemas kini pada masa yang sesuai."

Kebakaran itu berlaku pada pagi Selasa di 278 River Valley Road, alamat sebuah rumah kedai tiga tingkat di mana kelas pendidikan untuk kanak-kanak dijalankan.

Selain sekolah memasak, bangunan itu juga menempatkan sebuah kumpulan teater dan sekolah robotik.

Seramai 22 orang - enam orang dewasa dan 16 kanak-kanak - dibawa ke hospital berikutan kebakaran itu.

Orang dewasa berusia antara 23 dengan 55 tahun, manakala kanak-kanak berusia antara enam dan 10 tahun.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia di salah sebuah hospital.

"Kami memohon untuk menghormati dan memberikan privasi kepada keluarga yang terjejas semasa siasatan dijalankan," tambah Tomato Cooking School.

"Kami tidak dapat menzahirkan kesedihan kami dalam bentuk kata-kata kepada keluarga yang terjejas dan apa yang mereka sedang lalui. Jika kami boleh memberikan sebarang sokongan atau bantuan, sila hubungi kami."

KANAK-KANAK DUDUK DI BELEBAS

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan tentang kejadian itu sekitar jam 9.45 pagi pada Selasa.

Video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan kanak-kanak duduk di belebas (ledge) tingkat tiga semasa asap hitam kelihatan berkepul-kepul.

Orang ramai, termasuk beberapa pekerja binaan, dilihat memanjat perancah (scaffolding) dalam usaha untuk menyelamatkan mereka.

Apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian, kebakaran sedang marak di tingkat dua dan tiga bangunan tersebut.

"Orang awam, termasuk pekerja binaan, menggunakan perancah dan tangga untuk sampai kepada mereka yang terperangkap dan membawa beberapa daripada mereka ke tempat selamat," menerut catatan Facebook SCDF pada Selasa.

Tangga menyelamat dan tangga platform gabungan digunakan untuk menyelamatkan baki orang yang terperangkap di belebas, sementara anggota bomba bergegas ke tingkat dua dan tiga untuk memadamkan api.

Kebakaran itu dipadamkan dengan tiga jet air dalam masa 30 minit.

Kira-kira 80 orang di rumah kedai dan premis berdekatan dipindahkan oleh polis dan SCDF.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita