Skip to main content

Singapura

Sekolah manfaatkan geran MOE untuk tingkatkan program pembelajaran alam sekitar; kemampanan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekolah-sekolah menyambut baik geran bernilai S$64 juta yang diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengubah ruang pembelajaran mereka.

Salah satu daripadanya adalah Sekolah Menengah Commonwealth yang ingin mempertingkatkan lagi sokongan pembelajaran berhubung alam sekitar dan kemampanan.

PELAJARI TENTANG ALAM SEKITAR; KEMAMPANAN MELALUI 'VLOG' & 'PODCAST'

Sekolah di kawasan West Coast itu mempunyai sebuah hutan hujan yang digunakan sebagai salah satu ruang pembelajaran bagi para pelajar.

Terdapat lebih 100 jenis spesis tumbuhan di situ, menjadikannya antara sekolah dengan habitat eko yang terbesar di Singapura.

Salah satu teknik pembelajaran yang kreatif dan menyeronokkan adalah aktiviti merakam 'vlog' yang diterapkan ke dalam pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah tersebut.

"Apa yang kami lakukan ialah cuba berikan para pelajar pendedahan kepada hal ehwal semasa, perkara-perkara benar dan betul yang para pelajar ini sendiri akan berhadapan pada masa hadapan. Khususnya tentang isu keselamatan makanan, biodiversiti dan sebagainya," kata guru Bahasa Melayu, Cik Nur Amalina Shalan.

“”

Selain 'vlog', sekolah itu turut menggalak pelajarnya untuk merakam siri-siri 'podcast' tentang biodiversiti.

Menurut Cik Amalina, sekolah memainkan peranan penting untuk memupuk para pelajar sebagai persiapan untuk masa hadapan.

"Pihak sekolah harus memberi para pelajar seberapa banyak pendedahan, pengalaman belajar dan juga mengajar cara-cara yang mana mereka boleh lakukan secara kecil-kecilan pada usia yang muda ataupun dalam lingkungan yang lebih kecil sebelum mereka sendiri mengorak langkah lebih besar lagi apabila mereka meningkat usia yang lebih dewasa pada masa akan datang," ujarnya.

“”
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bagi menyokong pembelajaran tentang penghasilan makanan dan hortikultur pula, aktiviti berkebun diperkenalkan pada 2021.

Ia membantu pelajar menengah dua seperti Muhammad Rayyan Sofyan untuk lebih memahami tentang isu-isu alam sekitar seperti perubahan iklim.

"Pada tahun ini kami ada beberapa topik sains tentang pokok-pokok dan kerana kita yang mempelajari tentang tanam-tanaman itu, kita dapat menjawab soalan-soalannya. Geografi pula tentang alam sekitar kita dapat merasakan macam kesan yang ada kepada alam," kata Rayyan.

PELAJAR LEBIH BERKEYAKINAN

Sebagai guru, Cik Amalina juga dapat menyaksikan peningkatan positif pada anak-anak muridnya.

"Saya dapati bahawa para pelajar saya lebih yakin untuk mengeluarkan contoh-contoh memberikan istilah yang khusus berkenaan dengan persekitaran. Jadi istilah seperti kemampanan, biodiversiti, istilah-istilah ini saya rasa para pelajar saya lebih yakin lagi untuk menggunakannya. Keyakinan dari segi bercakap dan menulis itu terserlah tentang topik ini khususnya," tambahnya.

Bagi memupuk sikap rahmah dalam kalangan para pelajar, sayur-sayuran yang dihasilkan didermakan kepada rumah-rumah tumpangan warga tua dan kepada pegerai kantin

Ia juga digunakan sebagai bahan untuk kelas-kelas 'Makanan dan Pendidikan Pengguna'.

Sebagai penyokong matlamat '30 menjelang 30' negara, sekolah itu turut mengutamakan konsep keselamatan makanan dan kemampanan.

Misalnya, sisa-sisa makanan daripada lapan gerai di kantin sekolah dikumpulkan pada setiap hari dan dimasukkan ke dalam mesin-mesin penghadam makanan untuk dijadikan baja.

Ia kemudian diguna semula untuk menyuburkan tanam-tanaman di sekolah itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita