Sekolah jalankan latihan kecemasan sekurang-kurangnya dua tahun sekali, kata MOE
Latihan 'Run-Hide-Tell' dilakukan semasa kejadian River Valley High baru-baru ini adalah sebahagian latihan yang dijalankan secara kerap di sekolah.
Kereta polis tiba di Sekolah Tinggi River Valley pada 19 Jul 2021. (Gambar: Calvin Oh)
SINGAPURA: Sekolah di sini menjalankan latihan kecemasan bagi pelajar dan kakitangan sekurang-kurangnya dua kali setahun, kata Kementerian Pendidikan (MOE).
Ia termasuk latihan kebakaran dan latihan melindungi diri daripada ancaman seperti "Run-Hide-Tell" atau "Lari-Sembunyi-Lapor", apabila berlaku ancaman pengganas di premis sekolah, namun dapat juga diamalkan semasa ancaman keselamatan yang lain, seperti kejadian di Sekolah Tinggi River Valley pada 19 Julai.
Kakitangan bukan MOE seperti pegerai kantin, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan juga mengambil bahagian dalam latihan-latihan ini, kata seorang jurucakap kementerian.
MOE juga mengadakan latihan kesiapsiagaan kecemasan bersama dengan agensi-agensi Home Team di sekolah-sekolah berlainan setiap tahun, tambah jurucakap itu.
Respons "Lari-Sembunyi-Lapor" adalah sebahagian daripada gerakan SGSecure, yang diperkenalkan pada 2016 sebagai tindak balas masyarakat Singapura terhadap ancaman pengganasan.
Pada 19 Julai, pelajar di Sekolah Tinggi River Valley melakukan tindak balas "Lari-Sembunyi-Lapor" apabila seorang rakan sekolah mereka yang memegang kapak di luar tandas meminta mereka menghubungi polis. Insiden itu dipercayai adalah kali pertama tindak balas itu dilakukan dalam menangani keadaan sebenar di sebuah sekolah.
Para pelajar memasuki bilik darjah mereka, mengunci pintu dari dalam dan menghubungi guru mereka dengan segera untuk mendapatkan bantuan.
Seorang pelajar 13 tahun ditemui terbujur di tandas dan disahkan meninggal dunia. Pelajar 16 tahun yang memegang kapak itu telah didakwa atas kesalahan membunuh.
Jurucakap MOE berkata latihan kecemasan mengajar pelajar bagaimana untuk mengenalpasti tanda-tanda kemungkinan wujud ancaman keselamatan.
Menteri Pendidikan Chan Chun Sing memberitahu Parlimen pada 27 Julai bahawa meskipun tindak balas "Lari-Sembunyi-Lapor" dirancang bagi kejadian pengganasan, para pelajar dan guru Sekolah Tinggi River Valley mengambil inisiatif untuk menggunakannya semasa situasi yang berbeza.
"Meskipun jenis bahaya adalah pelbagai, asas latihan-latihan itu, prinsip di sebalik latihan-latihan itu boleh diguna pakai bagi apa jua situasi. Dan ini jelas ditunjukkan dalam kejadian ini," kata beliau semasa perbahasan di Parlimen menyusuli kenyataan menteri berhubung kejadian itu.
BAGAIMANA CARA HADANG PINTU DAN SEMBUNYI
Pakar pertahanan diri Leon Koh, pengasas Cadre Academy, berkata walaupun latihan di sekolah biasanya dimulakan dengan pengumuman dari pejabat di sekolah, keadaan sebenar mungkin akan lebih kelam-kabut.
Encik Koh berkata pelajar yang lari masuk ke bilik darjah harus memperhatikan bagaimana pintu dibuka dan sama ada pintu itu boleh diselak dari dalam tanpa perlu kunci. Pintu yang menghayun ke luar tidak dapat dihadang dengan berkesan, katanya.
Dalam perbahasan menyusuli kenyataan menteri di Parlimen, Encik Chan berkata tidak semua sekolah pada masa ini mempunyai pintu di kelas yang dapat dikunci dari dalam. Namun, beliau memberi jaminan semua sekolah akan dipasang dengan pintu sedemikian seiring dengan program ubah elok sekolah.
"Bagi sekolah yang belum mempunyai pintu seperti ini, guru dan pelajar juga diajar semasa latihan bagaimana untuk mencari perlindungan dengan apa yang mereka ada buat masa ini," kata beliau.
Encik Koh berkata pelajar seharusnya menggunakan meja berat untuk menghadang pintu dan bersembunyi dekat dengan pintu supaya mereka dapat memberi tindak balas dengan pantas. Namun mereka patut menjauhi tingkap di mana mereka boleh dilihat.
Beliau menambah, pelajar juga harus hanya keluar dari tempat persembunyian mereka selepas ada pengumuman rasmi atau setelah agensi keselamatan memeriksa kawasan.
LATIHAN SIAP SIAGA KECEMASAN
Selain latihan-latihan itu, MOE menyatakan latihan kesiapsiagaan kecemasan kadang-kalanya dilakukan dengan rakan kerja masyarakat seperti kelab masyarakat dan disaksikan oleh guru dan kakitangan sekolah-sekolah lain yang juga merupakan sebahagian anggota Struktur Kecemasan Sekolah (SES).
Ini membantu guru dan kakitangan sekolah lain lebih kenal dengan prosedur kecemasan, kata jurucakap MOE.
SES merangkumi bidang seperti bantuan perubatan segera, operasi mencari, pengurusan trauma, evakuasi, menangani mangsa dan menguruskan pusat operasi kecemasan.
Encik Koh berkata adalah penting untuk melakukan latihan-latihan sebegini secara kerap kerana ada yang mungkin akan ambil sikap sambil lewa dengan tahap keselamatan di Singapura.
Pun begitu, Menteri Chan menekankan MOE bercadang untuk memastikan lebih ramai guru akan menjalani latihan dalam pengurusan kejadian kecemasan "supaya setiap sekolah akan mempunyai keyakinan untuk bertindak balas dengan sewajarnya jika berlaku insiden sedemikian."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.