Sekolah, institut pengajian tinggi terus dibuka dengan langkah pengurusan selamat lebih ketat: MOE
Mulai Isnin (17 Mei), semua sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) akan terus beroperasi dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketat, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat.
SINGAPURA: Mulai Isnin (17 Mei), semua sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) akan terus beroperasi dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketat, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat.
Sejajar dengan peraturan lebih ketat yang diumumkan Pemerintah di bawah Fasa 2 (pengawasan dipertingkat) untuk mengekang penularan COVID-19 dalam masyarakat, MOE menyatakan sekolah dan IHL dikehendaki melaksanakan langkah-langkah berikut:
- Semua pelajar dan kakitangan harus memakai pelitup, dan bukan pelindung muka, ketika berada di sekolah dan di kampus, kecuali jika mereka tidak boleh atas sebab keperluan khas atau keadaan perubatan
- Bagi mengurangkan pergaulan antara pelajar, kelas akan dibahagikan dengan ketat, dengan kuliah dihadkan kepada tidak lebih 50 orang. Saiz kumpulan bagi semua kegiatan akan dikurangkan daripada lima menjadi dua orang, dengan langkah-langkah pengurusan selamat dilaksanakan
- Kelas yang diadakan di pusat pendidikan akan dijalankan secara online
- Semua Kegiatan Kokurikulum (CCA) akan disusun semula dan dijalankan secara online
- Kegiatan luaran lain seperti CCA luaran akan terus digantung sepanjang tempoh ini
- Acara interaksi secara semuka akan ditangguhkan. Semua acara berskala besar akan terus dibatalkan atau ditunda, atau diadakan secara maya, jika sesuai
Sekolah juga akan melaksanakan tempat duduk tetap dengan jarak 1 meter untuk waktu rehat, tanpa pergaulan, tambah kementerian itu.
Kegiatan di sekolah dan aturan penjagaan selepas sekolah akan diteruskan, tertakluk kepada langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketat.
Kedua-dua peperiksaan pertengahan tahun di sekolah dan Peperiksaan Bahasa Ibunda (MTL) GCE peringkat O dan A pertengahan tahun akan diteruskan. Ujian akan diadakan di dalam bilik darjah dengan langkah jarak selamat, tambah MOE.
Ia menegaskan bahawa pelindung wajah "tidak boleh digunakan sebagai pengganti pemakaian pelitup, kecuali atas dasar perubatan atau kanak-kanak itu berusia 12 tahun ke bawah".
LANGKAH UNTUK INSTITUT PENGAJIAN TINGGI
Bagi IHL, institusi-institusi tersebut akan terus mengadakan kelas di kuliah dengan saiz kelas dihadkan tidak melebihi 50 orang. Kelas dan kuliah lain yang lebih besar akan dijalankan secara online.
Makan di kantin dan dewan makan di IHL boleh terus beroperasi dengan langkah-langkah pengurusan selamat sewajarnya, memandangkan pelajar dan kakitangan berada di kampus bagi jangka masa yang lebih lama, jelas MOE.
Peperiksaan akan disusun semula dan dijalankan dalam bilik darjah dengan tidak lebih 50 orang. “Sekiranya boleh dilaksanakan, IHL akan melakukan peperiksaan secara online. Latihan dan penempatan pekerjaan akan diteruskan, dengan para pelajar mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat dimana mereka ditempatkan,” tambah MOE.
PUSAT TUISYEN, PENDIDIKAN SWASTA
Institusi Pendidikan Swasta yang menawarkan kursus pra-pengajian tinggi dan pengajian tinggi harus mematuhi langkah-langkah yang diperketat.
Institusi-institusi tersebut "juga harus merujuk kepada rancangan dan langkah-langkah pengurusan selamat bagi sekolah dan IHL, dan digalakkan supaya melaksanakan langkah-langkah yang lebih ketat sesuai dengan aturan institusi masing-masing", kata MOE.
Pusat tuisyen dan pengayaan privet boleh terus beroperasi. Namun, "pusat-pusat itu digalakkan supaya mempertimbangkan pelajaran online sebagai aturan biasa dalam jangka waktu ini", kata MOE.
Seandainya kelas secara bersemuka diteruskan, pusat-pusat tersebut harus "mematuhi sepenuhnya" langkah-langkah pengurusan selamat nasional termasuk pemeriksaan dipertingkat bagi kakitangan dan pelajar, agar mereka yang tidak sihat tidak mengikuti kelas.
Pelajar di pusat-pusat berkenaan harus menjaga jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter dari yang lain dan tidak berinteraksi. "Sekiranya beberapa pergaulan tidak dapat dielakkan, mereka harus tetap berpasangan, dengan setiap pasangan mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter (2 meter lebih disyorkan) dari kumpulan lain, tanpa pergaulan antara kumpulan," kata MOE, yang menambah bahawa kelas nyanyian dan alat muzik tiupan akan ditangguhkan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.