Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah dibuka semula: Ibu bapa anak Darjah 1 kongsi pandangan, kebimbangan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Murid-murid Darjah 1 akan menjadi kumpulan pertama memulakan persekolahan apabila penggal baru sekolah rendah dibuka Selasa ini (4 Jan). Pelajar Darjah 2 dan ke atas pula akan mula masuk sekolah sehari kemudian.

Walaupun prihatin bahawa sekolah dibuka di tengah-tengah penularan varian Omicron, para ibu bapa yang kami temui ternyata tidak begitu bimbang.

Mereka sebaliknya lebih memikirkan mengenai daya bersosial dan persiapan mental anak mereka.

YAKIN ANAK SELAMAT DI SEKOLAH

Antara yang akan masuk Darjah 1 ialah adik Maryam Abdul Malek. Menurut ibunya, Cik Siti Nurfadiah Muzaini, sejak pakaian seragam sekolah dibeli, jika boleh Maryam ingin memakainya setiap hari.

--

Begitulah ghairahnya perasaan anak sulung Cik Siti itu bakal memulakan persekolahan di Sekolah Rendah CHIJ Kellock.

Meskipun sekolah dibuka dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih berleluasa, khususnya penularan varian Omicron, Cik Siti berkata beliau "tidak berapa bimbang".

Ini memandangkan murid Darjah 1 hingga 3 juga akan mula menjalani vaksinasi COVID-19 bermula 5 Januari ini, sekali gus lebih terlindung.

--

Namun begitu, sebagaimana para ibu bapa lain, selain sibuk membuat pelbagai persiapan terakhir kelengkapan persekolahan, Cik Siti juga sibuk membuat persiapan mental buat anaknya ini.

"Kita kena ingatkan mereka SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dijaga sebab budak-budak kan, bila dah main, suka, ghairah, mereka mudah lupa. Jadi kita kena ingatkan. Macam contoh, pakai pelitup, kalau tak makan kena pakai. Macam kena ingat selalulah," kongsi Cik Siti.

Sebaliknya, Cik Siti berkata beliau lebih bimbang jika anaknya mengalami kesukaran untuk membuat penyesuaian sosial di sekolah.

"Bagi saya lebih kepada penyesuaiannya sebab semasa dia sekolah tadika masa agak singkat tapi apabila beralih ke sekolah rendah, masa panjangkan. Jadi saya harap dia boleh menyesuaikan dirinya dengan keadaan itu," tambah ibu berusia 39 tahun itu.

BAGAIMANA ANAK BELAJAR BERKAWAN DI SEKOLAH NANTI

Seorang lagi ibu, Cik Nursarhani Mokhtiaruddin, yang anaknya akan masuk Darjah 1 di Sekolah Rendah Sembawang,
juga mengaku walaupun bimbang dengan penularan Omicron, beliau juga cukup bimbang tentang kehidupan dan perkembangan sosial anaknya.

--

Beliau risau bagaimana nanti anaknya Rasya Nabilah Mohamed Anis itu akan membuat kawan dan belajar berinteraksi secara fizikal dalam kelas di tengah-tengah pelbagai peraturan jarak selamat di sekolah.

"Semenjak COVID ini anak-anak kita tidak dapat berinteraksi sebebas dahulu. Macam kalau waktu rehat mereka tidak boleh bermain dengan teman-teman dari kelas-kelas lain. Pergaulan itu agak terbatas.

"Jadi macam kemahiran sosial itu macam mereka perlu lebih banyak berusaha untuk memastikan yang mereka dapat membina persahabatan yang lebih bermakna dengan kawan-kawan, berinteraksi," luah Cik Nursarhani.

--

Menurut beliau, zaman persekolahan amat penting kerana banyak memori yang akan dibawa hingga ke dewasa. Lantaran itu, beliau berharap lebih peluang diberikan kepada mereka untuk mengasah kemahiran sosial masing-masing.

Ketika ditanya kepada Rasya Nabilah sendiri, apa perasaannya untuk masuk Darjah 1 Selasa ini, ini jawapan kanak-kanak itu: "Saya ghairah masuk sekolah kerana saya akan dapat jumpa kawan baru."

Cik Nursarhani percaya bahawa setelah dua tahun hidup dalam situasi pandemik, murid-murid seperti anaknya sudah mempunyai "pengalaman COVID" dan faham serta sebati dengan pemakaian pelitup dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Beliau cukup berharap bahawa tahun 2022 ini akan menjadi tahun yang lebih baik untuk menjalani persekolan bagi murid-murid seperti anaknya.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan